Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Peluru Berpandu Iran Sasar Pangkalan Udara Nevatim dan Ramon Tempatkan F-35I, F-16I Israel

(VIDEO) Kedua-dua pangkalan Tentera Udara Israel itu, Nevatim dan Ramon yang terletak di padang pasir Negev dilapor memainkan peranan penting dalam misi pengeboman pesawat-pesawat pejuang Israel terhadap bangunan kedutaan Iran di Damsyik, Syria pada awal bulan ini yang membunuh tujuh pegawai tentera Iran termasuk tiga yang berpangkat Jeneral.

11,211

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pangkalan Tentera Nevatim dan Pangkalan Udara Ramon yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang F-35I Adir serta F-16I Sufa Tentera Udara Israel (IAF)  yang terletak di padang pasir Negev di selatan Israel merupakan antara sasaran utama serangan peluru berpandu ballistik dan dron berani mati Iran dinamakan “Operation True Promise” semalam.

Kedua-dua pangkalan Tentera Udara Israel itu dilapor memainkan peranan penting dalam misi serangan pesawat-pesawat pejuang Israel  mengebom bangunan kedutaan Iran di Damsyik, Syria pada awal bulan ini yang membunuh tujuh pegawai tentera Iran termasuk tiga yang berpangkat Jeneral.

Sumber-sumber mendakwa kepada media Iran bahawa sekurang-kurangnya 15 peluru berpandu ballistik Iran membedil Pangkalan Udara Nevatim di padang pasir Negev itu yang menempatkan skuadron pesawat-pesawat pejuang F-35I Adir milik negara itu.

Bedilan peluru-peluru berpandu ballistik Iran itu turut berjaya dirakam oleh penduduk Israel yang tinggal berhampiran dengan pangkalan udara itu.

Rakaman oleh penduduk Israel memperlihatkan sekurang-kurangnya empat bedilan peluru berpandu Iran mengenai pangkalan udara utama Israel itu.  

(Pangkalan Udara Nevatim dibedil)

 

Ia sekaligus menafikan dakwaan tentera Israel yang menyatakan bahawa ia berjaya menembak jatuh 99 peratus daripada peluru berpandu dan dron berani mati yang dilancar oleh Iran.

“Berikutan dengan serangan peluru-peluru berpandu ballistik itu, pangkalan udara itu mengalami kerosakan yang teruk dan tidak boleh berfungsi sementara waktu,” menurut dakwaan sumber itu kepada media Iran.

Pangkalan Udara Nevatim yang menempatkan Skuadron 140 atau juga dipanggil “Golden Eagle Squadron” Tentera Udara Israel mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang F-35I Adir itu terletak berhampiran dengan bandar Be’er Sheva di tengah-tengah padang pasir Negev.

Iran mendakwa pesawat-pesawat F-35I Adir Tentera Udara Israel yang terlibat dalam misi pengeboman bangunan kedutaan Iran di Damsyik, Syria tempohari berlepas daripada Pangkalan Udara Nevatim, sekaligus menjadikannya sasaran utama serangan peluru berpandu dan dron Iran semalam.

Pada tahun lepas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran telah melakukan simulasi serangan peluru berpandu terhadap Pangkalan Udara Nevatim, yang terletak kira-kira 1,100km sempadan di barat Iran.

Sementara itu sumber-sumber Iran juga mendakwa sekurang-kurangnya tujuh bedilan peluru berpandu ballistik negara itu telah membedil Pangkalan Udara Udara Ramon yang juga terletak di padang pasir Negev.

(Pangkalan Udara Ramon dibedil)

 

Tentera Israel mengakui bahawa Pangkalan Udara Ramon telah dibedil oleh peluru-peluru berpandu Iran tetapi mendakwa ia hanya mengalami kerosakan minimal.

Pangkalan Udara Ramon itu menempatkan pesawat-pesawat F-16I Sufa dan juga helikopter bersenjata AH-64D Apache.

Sementara itu terdapat juga laporan daripada Iran bahawa serangan peluru berpandu dan dron berani mati mensasarkan Pangkalan Tentera Meron  yang terletak di puncak Gunung Jarmak di utara Palestin, yang merupakan antara pangkalan tentera Israel yang paling penting.

Pangkalan tentera Meron milik tentera Israel disifatkan oleh pemerhati sebagai salah sebuah pangkalan terpenting tentera Yahudi itu, dengan pemimpin-pemimpin kanan tenteranya diketahui sering berada di pangkalan itu untuk mengendalikan operasi tentera.

Pangkalan tentera Meron itu dioperasikan oleh Batallion ke-11 506 Tentera Udara Israel.

Pangkalan tentera Meron milik tentera Israel itu adalah satu daripada dua pangkalan tentera yang mengurus, memantau dan mengawal operasi udara di Syria dan Lubnan.

Meron
Pangkalan Udara Meron milik Israel
Israel
Pangkalan Udara Nevatim yang menempatkan pesawat F-35I Adir Israel terletak di Padang Pasir Negev.

 

Satu lagi pangkalan yang berfungsi seperti Meron adalah pangkalan udara Ramon yang terletak di selatan yang mengurus operasi udara di bahagian selatan negara haram itu.

Iran mendakwa Pangkalan Tentera Meron itu mengambil bahagian dalam memberikan maklumat perisikan dan panduan dalam serangan udara pesawat pejuang Israel terhadap bangunan kedutaan Iran di Damsyik,Syria.

Awal bulan ini, pesawat-pesawat pejuang Israel telah melancarkan serangan terhadap sebuah bangunan milik kedutaan Iran di Damsyik, Syria dan membunuh sekurang-kurangnya tiga pegawai tinggi Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berpangkat Jeneral.

Ketiga-tiga pegawai tinggi tentera Iran yang terbunuh dikenali — Brigadier Jeneral Mohammad Reza  Zahedi yang memimpin Angkatan Quds (Quds Force) di Syria dan Lubnan, salah satu cabang di bawah kawalan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC – Iran Revolutionary Guard Corps)

Mohamad Reza adalah orang yang bertanggungjawab mengatur segala operasi tentera Iran dan kumpulan-kumpulan bersenjata yang bersekutunya dengannya di Syria dan Lubnan.

Jeneral kedua Iran yang disahkan terbunuh dikenalpasti sebagai Brigadier Jeneral Mohammad Mehdi Rahimi dan Brigadier Jeneral Hossein Aminollah yang merupakan Ketua Staf Angkatan Quds di Syria dan Lubnan.  — DSA

Comments are closed.