Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jordan Terima Kecaman Hebat Dunia Arab, Islam Kerana “Mempertahankan” Israel

Bukan sahaja Jordan dilaporkan mengarah pesawat-pesawat pejuangnya bertindak menembak jatuh peluru berpandu dan dron Iran yang mensasarkan Israel,tetapi Amman juga telah “membuka” ruang udaranya kepada pesawat pejuang Israel dan Amerika Syarikat untuk menembak jatuh peluru berpandu dan dron dilancar Teheran itu.

0 45,230

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan Jordan mengarah pesawat-pesawat pejuangnya untuk menembak jatuh peluru-peluru berpandu dan dron berani mati dilancar Iran terhadap Israel telah mengundang kecaman dan kritikan keras daripada keseluruhan dunia Arab dan Islam.

Bukan sahaja Jordan dilaporkan mengarah pesawat-pesawat pejuangnya bertindak menembak jatuh peluru berpandu dan dron Iran yang mensasarkan Israel,tetapi Amman juga telah “membuka” ruang udaranya kepada pesawat pejuang Israel dan Amerika Syarikat untuk menembak jatuh peluru berpandu dan dron dilancar Teheran itu.

“Kemurahan hati” kerajaan Jordan membuka ruang udaranya kepada pesawat Israel dan Amerika Syarikat adalah untuk memastikan peluru berpandu dan dron Iran itu berjaya dimusnahkan di dalam ruang udara Jordan sebelum ia memasuki ruang Israel.

Ramai dikalangan warga Arab dan penduduk Islam seluruh dunia menyifatkan tindakan Jordan itu amat mengejutkan kerana negara itu dilihat sebagai “mempertahankan” Israel pada ketika rejim Yahudi pimpinan Benjamin Netanyahu itu membunuh lebih daripada 33,000 penduduk Palestin menerusi tindakan ketenteraannya di Gaza ketika ini.

Walapun penduduk Jordan itu menyokong perjuangan penduduk Palestin untuk bebas daripada pendudukan haram Israel, namun kerajaan negara itu mengambil tindakan tegas terhadap perhimpunan menyokong penduduk Palestin.

Iran
Pelancaran peluru berpamdu Iran

 

Lebih daripada 1,000 rakyat Jordan telah ditahan oleh pihak berkuasa negara itu kerana terlibat dalam perhimpunan menyokong penduduk Palestin.

Menurut agensi berita antarabangsa, Reuters, penduduk Jordan itu mendengar bunyi enjin pesawat pejuang di ruang udara negara itu serta melihat dron berani mati Iran ditembak jatuh di selatan ibu negara, Amman.

Berhadapan dengan kecaman keras daripada dunia Arab dan Islam di atas tindakannya “mempertahan dan melindungi” Israel yang disifatkan seperti “menikam belakang” penduduk Palestin,  kerajaan Jordan terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk menjernihkan keadaan.

Kerajaan Jordan menyatakan bahawa tindakannya mengarahkan pesawat-pesawat pejuang menembak jatuh peluru berpandu dan dron Iran itu dan membuka ruang udaranya adalah suatu tindakan mempertahankan diri dan bukan bertujuan untuk membantu Israel.

Ia berkata peluru berpandu dan dron Iran yang memasuki ruang udaranya menuju ke Israel ditangani supaya ia tidak membahayakan penduduk dan rakyatnya serta mereka yang mendiami kawasan-kawasan penempatan yang padat di Jordan.

Kerajaan Jordan berkata ia akan terus mempertahankan negara, rakyat serta ruang udaranya  daripada sebarang pencerobohan oleh mana-mana pihak.

Shahed-136
Dron berani mati Iran, “Shahed-136”

 

Walaupun rata-rata rakyat Jordan menyokong perjuangan Palestin tetapi pada masa yang sama kerajaannya mempunyai hubungan yang baik daripada segi ketenteraan dengan “pelindung utama Israel” iaitu Amerika Syarikat.

Selain Mesir, Jordan adalah antara negara Arab yang menerima paling banyak bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat setiap tahun.

Pesawat-pesawat pejuang, dron bersenjata Amerika Syarikat juga kerapkali ditempatkan di pangkalan udara Jordan seperti Pangkalan Udara Muwaffaq Salti.

Selain itu tentera Amerika Syarikat turut memiliki sebuah pangkalan tentera rahsia di Jordan dipanggil “Tower 22” di Rukban, daerah Rwaished, tidak jauh dairpada sempadan negara itu dengan Syria dan Iraq.

Menurut laporan media sebelum ini, dianggarkan 350 orang anggota tentera darat dan udara Amerika Syarikat ditempatkan di “Tower 22”.

Pada Januari lalu, serangan dron berani mati dipercayai dilancarkan oleh kumpulan bersenjata proksi Iran terhadap “Tower 22” telah mengorbankan tiga orang anggota tentera Amerika Syarikat yang bertugas di pangkalan tentera negara itu di Jordan.

Jordan
Lokasi kem tentera Amerika di Jordan dinamakan “Tower 22”

 

“Tower 22” itu juga terletak tidak jauh daripada satu lagi pangkalan tentera Amerika di Al-Tanf di sempadan Syria dengan Iraq dan Jordan.

Washington menggunakan pangkalan tentera Al-Tanf untuk melatih kumpulan-kumpulan bersenjata Syria yang rapat dengannya untuk menentang kumpulan pengganas Daesh.    

Selain Jordan, beberapa negara Teluk termasuk Arab Saudi juga didakwa telah memberi bantuan secara tidak langsung dalam usaha “mempertahankan” Israel daripada serangan peluru-peluru berpandu dan dron Iran.

Bantuan tidak langsung daripada negara-negara Teluk itu sebagaimana didakwa oleh pemerhati pertahanan serantau itu melibatkan penggunaan kompleks-kompleks radar berkuasa tinggi dan stesen pemantau milik Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara-negara terbabit.

Israel
Peluru berpandu ballistik Iran melintasi bangunan Knesset Israel .

 

Maklumat daripada kompleks radar berkuasa tinggi dan stesen pemantau itu membantu Israel dengan maklumat-maklumat kritikal bagi membolehkan Tel Aviv bersedia lebih awal terhadap serangan daripada Iran itu.

Selain itu, negara-negara Teluk itu turut menempatkan pesawat-pesawat pengisi minyak yang tugasnya amat penting untuk operasi berterusan pesawat pejuang Amerika Syarikat di Timur Tengah. — DSA

Comments
Loading...