Pegawai Kanan Perisikan Indonesia Mati Ditembak Di Wilayah Konflik, Papua
BIN itu merupakan agensi perisikan paling utama di Indonesia dan kematian salah seorang pegawai paling kanannya itu juga adalah satu tamparan hebat kepada Tentera Nasional Indonesia (TNI) selepas insiden kapal selam KRI Nanggala yang menyebabkan 53 anak kapalnya terkorban.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan Kepala Badan Intelligen Negara (BIN) daerah Papua iaitu Brig Jen Gusti Putu Danny Karya Nugraha maut selepas ditembak di bahagian kepada oleh Kelompok Kriminal Bersenjata/Separatis Papua di daerah Beoga, Papua semalam.
BIN itu merupakan agensi perisikan paling utama di Indonesia dan kematian salah seorang pegawai paling kanannya itu juga adalah satu tamparan hebat kepada Tentera Nasional Indonesia (TNI) selepas insiden kapal selam KRI Nanggala yang menyebabkan 53 anak kapalnya terkorban.
Kematian jeneral satu bintang itu telah disahkan oleh timbalan BIN itu sendiri, Wawan Hari Purwanto hari ini.
Sebelum kejadian, Brig Jen Gusti terlibat dalam satu rondaan bersama antara anggota BIN dan POLRI di KP Dambet di Papua sebelum dihalang oleh Kelompok Kriminal Bersenjata/Separatis Papua sehingga menyebabkan insiden tembak-menembak.
“Dalam insiden tembak-menembak itu telah mengakibatkan kematian Brig Jen Gusti,” kata Wawan.
Brig Jen Gusti bersama pegawai-pegawainya bergerak ke KP Dambet untuk meninjau kejadian pembakaran bangunan dan sekolah dipercayai oleh Kelompok Kriminal Bersenjata Papua.
Jenazah jeneral satu bintang pasukan keselamatan Indonesia itu telah pun dipindahkan ke Jakarta untuk diserahkan kepada keluarganya.
Pihak berkuasa Indonesia juga telah menaikkan pangkat Gusti kepada Mejar Jeneral.
Barat Papua telah dilanda dengan insiden-insiden keganasan oleh konflik separatis sejak bekas koloni Belanda itu menjadi sebahagian daripada Indonesia berikutan referendum PBB pada 1969.
Media tempatan menyatakan daerah Beoga di mana pegawai kanan tentera itu terbunuh telah menyaksikan peningkatan keganasan termasuk pembunuhan pelajar dan guru pada awal bulan ini.
Sementara itu Presiden Joko Widodo telah mengarahkan Panglima TNI dan Polri untuk menangkap kesemua anggota kelompok criminal bersenjata itu sama ada di Papua atau seluruh Indonesia.
Comments are closed.