Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF Cadang Belanja RM120 Juta Tambah 13 Lagi Bot Fast Interceptor Craft (FIC)

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) telah menerima enam bot berkenaan bernilai RM80 juta pada 19 Mac yang lalu.

0 2,682

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kementerian Pertahanan bercadang menambah 13 lagi bot pemintas Fast Interceptor Craft (FIC) bernilai lebih RM120 juta untuk memperkasakan lagi pertahanan di kawasan sempadan khususnya di perairan negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) telah menerima enam bot berkenaan bernilai RM80 juta pada 19 Mac yang lalu.

FIC melalui Projek Peralihan Operasi Benteng (Op Benteng) yang dibina Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI) itu diletakkan dalam Skuadron Fast Combat Boat (FCB).

Skuadron itu berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim negara terutama kepada kapal TLDM dalam penugasan Op Benteng dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan berpulau.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyaksikan Demonstrasi Fast Interceptor Craft (FIC) sempena lawatan kerja beliau ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak, hari ini.

FIC
Bot Fast Interceptor Craft (FIC) milik TLDM yang baru, (gambar TLDM)

 

Bot pemintas FIC yang dilengkapi dua buah jentera utama dengan sistem dorongan jet air itu mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 50 knot.

Ia dikendalikan oleh lima kru serta mampu membawa sehingga lapan anggota Quick Reaction Force (QRF) pada satu-satu masa.

TLDM akan menggunakan enam bot berkenaan di seluruh perairan  negara termasuk Sabah.

Menteri Pertahanan juga ditanya mengenai status projek kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS), di mana beliau berkata perkara itu akan dibawa ke perhatian Kabinet tidak lama lagi,

“LCS itu sekarang itu dalam tindakan kita untuk membawanya ke dalam Mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan keputusan seterusnya apa yang patut dilakukan. Ada dua pilihan yang kita cadangkan iaitu Boustead teruskan projek ini, dengan beberapa hala tuju baharu yang dikemukakan.

FIC
Gambar TLDM

 

“Jika Kabinet tidak bersetuju, kita mungkin akan batalkan dan lantik syarikat lain. Setakat ini, kita masih lagi dengan pilihan pertama iaitu Boustead teruskan projek ini,” kata Ismail.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata kira-kira 200 vendor dan kontraktor “gulung tikar” berikutan kelewatan  projek berkenaan .

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...