Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Hanya 17 Daripada 87 Peserta Berjaya Tamatkan Kursus Asas PASKAL

“Senario ini membuktikan PASKAL adalah sebuah pasukan yang mengutamakan kualiti dalam memastikan hanya anggota yang benar-benar layak boleh digelar seorang anggota PASKAL, bersesuaian dengan cogan kata, “Sentiasa Yang Terbaik”.

0 2,890

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya 17 daripada 87 orang pelatih yang menyertai Kursus Asas PASKAL (Pasukan Khas Laut TLDM)  Siri 73/23 telah berjaya menamatkan ujian akhir kursus itu, sekaligus membuktikan bahawa pasukan khas itu adalah pasukan yang mengutamakan kualiti dikalangan anggotanya.

Menurut kenyataan media sosial oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini, kursus itu bermula pada 11 September 2023 dengan penyertaan 87 pelatih terdiri daripada seorang Pegawai TLDM, 77 Anggota Lain-Lain Pangkat TLDM dan 9 Anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

“Setelah melalui lima peringkat tahap latihan, hanya 17 orang pelatih yang terdiri daripada 14 anggota TLDM dan 3 anggota APMM sahaja yang berjaya melepasi ujian akhir kursus ini.

“Senario ini membuktikan PASKAL adalah sebuah pasukan yang mengutamakan kualiti dalam memastikan anggota adalah benar-benar layak untuk bergelar seorang anggota PASKAL sesuai dengan cogan kata, “Sentiasa Yang Terbaik” serta menjadi salah seorang anggota pasukan elit yang terbaik dan menjadi kebanggaan TLDM.”

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada warga Markas Pemerintahan Pasukan Khas Laut di atas usaha serta iltizam dalam melahirkan anggota PASKAL yang berkemahiran tinggi dan disegani.

PASKAL
Anggota PASKAL (TLDM)

 

Beliau juga telah dianugerahkan dengan Beret Kehormat PASKAL dalam satu majlis di Kapal Diraja PANGLIMA GARANG, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak hari ini. 

Penganugerahan Beret Kehormat PASKAL yang ke-14 ini dianugerahkan kepada Panglima Tentera Laut bagi mengiktiraf kepimpinan, sumbangan, jasa yang telah dicurahkan dalam pembangunan keupayaan operasi dan latihan, infrastruktur, kelengkapan dan pembahangunan organisasi PASKAL. 

Selesai Penganugerahan Beret Kehormat PASKAL, Panglima TLDM telah merasmikan Tapak Rempuh Halangan (Assault Course) dengan nama Rempuh Halangan ARBA 1989 yang baru siap dibina dan bertujuan untuk meningkatkan fizikal dan mental anggota PASKAL ke tahap maksimum.

Pembinaan rempuh halangan ini telah bermula pada September 2023 dengan kos keseluruhan RM439,410.60.

Ia terdiri daripada 13 halangan dengan jarak litar sejauh 1.15 kilometer.

PASKAL
(TLDM)
PASKAL
(TLDM)

 

Rempuh halangan ini menekankan aspek kekuatan upper body yang sinonim dengan tugas PASKAL yang memerlukan daya ketahanan tinggi dan mencabar, selain kemudahan itu juga dapat meningkatkan lagi nilai tambah keupayaan khas yang dimiliki TLDM.

Dalam satu kenyataan berasingan,  halangan dan trek yang dibina adalah setanding dengan standard pasukan khas antarabangsa seperti SEAL dan Foreign de Legion. 

Assault Course itu yang terletak di PASKAL Hut adalah melebihi 1km dengan elevation gain mencapai 160 meter.

Hasrat menghasilkan rempuh halangan yang memenuhi keperluan penugasan dicetus oleh warga TLDM pada tahun 2021. 

Setelah melalui kajian kesesuaian dan keselamatan, pembinaan secara berperingkat bermula pada tahun 2022, dan siap sepenuhnya pada penghujung tahun lepas. 

Dimensi baharu Tapak Rempuh Halangan ini akan diadaptasi di pangkalan TLDM yang lain secara berperingkat, dengan pendekatan selaras dengan dasar 3K TLDM iaitu Kecergasan, Kesegakan dan Kesihatan yang baik di kalangan warga Navy People. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...