Boeing, ST Engineering Kaji Bangunkan Pusat Selenggara P-8 “Poseidon” Di Singapura
Adakah kerjasama di antara Boeing dan syarikat Singapura itu juga menunjukkan bahawa republik itu semakin hampir untuk menjadi negara pertama di Asia Tenggara memiliki dan mengoperasi pesawat peronda maritim dan peperangan anti-kapal selam (ASW) P-8 “Poseidon”?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Boeing dan syarikat Singapura, ST Engineering telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melihat potensi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk bersama-sama membangunkan pusat penyelenggaran untuk pesawat P-8 “Poseidon” di Singapura.
P-8 “Poseidon” merupakan pesawat pelbagai misi (multi-mission) jarak jauh yang memberikan kemampuan tidak boleh disaingi dalam peperangan anti-kapal selam dan peperangan permukaan laut, perisikan, pemantauan dan bantuan kemanusiaan serta misi kemanusian.
“Boeing telah menandatangani MoU dengan ST Engineering untuk menggariskan bidang-bidang yang berpotensi untuk kerjasama dalam aspek integrasi sistem, latihan, pengedaran alatan dan komponen, bantuan dan kerja-kerja pengoperasian pesawat P-8A Poseidon.”

“Boeing dan ST Engineering telah mengenalpasti peluang-peluang kerjasama dalam beberapa bidang dan akan menerokanya dengan lebih terperinci termasuk bersama-sama membangunkan pusat penyelenggaran P-8 di Singapura dengan jurutera dan anggota teknikal penyelenggaran pesawat untuk menyokong perkhidmatan penyelenggaraan dan kejuruteraan,” menurut kenyataan Boeing.
Adakah kerjasama di antara Boeing dan syarikat Singapura itu juga menunjukkan bahawa republik itu semakin hampir untuk menjadi negara pertama di Asia Tenggara memiliki dan mengoperasi pesawat peronda maritim dan peperangan anti-kapal selam (ASW) P-8 “Poseidon”?
Pesawat P-8A “Poseidon” yang berdasarkan kepada pesawat komersial 737-800 Next Generation menggabungkan prestasi dan daya tahan dengan sistem misi yang canggih bagi memastikan ia terus relevan dan interoperabiliti dengan peperangan pada masa depan.
Antara sistem sensor yang digunakan oleh pesawat P-8A “Poseidon” termasuklah radar pemantauan maritime Raytheon AN/APY-10, sensor L-3 Wescam MX-20HD digital electro-optic/infrared (EO/IR), Northrop Grumman AN/ALQ-240(V)1 sistem electronic support measures (ESM) and sistem pengurusan peperangan elektronik Terma AN/ALQ-213(V).
Pada ketika ini, sebanyak 160 buah pesawat P-8 “Poseidon” beroperasi di seluruh dunia termasuk dengan Tentera Laut Amerika Syarikat, Royal Air Force United Kingdom, Tentera Udara Diraja Australia, Tentera Udara Diraja New Zealand, Tentera Laut India, Tentera Udara Diraja Norway, Tentera Laut Korea Selatan dan Tentera Laut Jerman.

Amerika Syarikat yang memiliki perjanjian keselamatan dengan Singapura mula menempatkan pesawat P-8 “Poseidon” di republik itu pada 2015 dipercayai untuk menjalankan rondaan-rondaan pemantauan di perairan Laut China Selatan.
Seperti biasa, China mengkritik penempatan pesawat P-8 “Poseidon” di Singapura.
Comments are closed.