Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Tidak Benarkan “Pesawat Pengintip” AS Mendarat

0 405

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia diberitakan telah beberapa kali menolak permintaan Amerika Syarikat untuk membenarkan pesawat peronda maritim miliknya, P-8 Poseidon untuk mendarat dan mengisi minyak di negara Asia Tenggara itu.

Media antarabangsa membuat dakwaan tersebut hari ini dengan mengatakan permintaan oleh Amerika Syarikat itu diajukan terhadap empat pegawai tinggi kerajaan Indonesia.

Pegawai-pegawai Amerika Syarikat mengemukakan permohonan “peringkat tertinggi” itu Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Indonesia pada Julai dan Ogos tahun ini, menurut seorang pegawai kanan negara kepulauan itu.

Presiden Indonesia Joko Widodo akhirnya membuat keputusan menolak permintaan Amerika Syarikat itu, kata media antarabangsa itu.

Laut China Selatan
Laut China Selatan yang menjadi rebutan ramai. (sumber internet)

Wakil daripada Kementerian Pertahanan dan Luar Negeri Indonesia enggan mengulas mengenai dakwaan itu ketika ditanya, manakala jurucakap Presiden Joko Widodo tidak melayan sebarang pertanyaan mengenainya.

Jurucakap kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta juga hanya mendiamkan diri ketika ditanya oleh media.

Menurut seorang pegawai Indonesia, permintaan Amerika Syarikat supaya pesawat peronda maritimnya P-8 Poseidon dibenarkan mendarat dan mengisi minyak di negara itu amat memeranjatkan kerana ia berlaku ketika Washington sedang bertelingkah dengan Beijing mengenai Laut China Selatan.

Indonesia sebagaimana Malaysia mengamalkan dasar luar yang berkecuali.

 

Jokowi
Presiden Indonesia Joko Widodo diatas kapal perang tentera laut Indonesia. (sumber internet)

Walaupun Jakarta bukan pihak yang terlibat secara langsung dalam pertikaian di Laut China Selatan, tetapi pertembungan di antara pihak penguatkuasanya dengan kapal-kapal China di perairan terbabit semakin meningkat akhir-akhir ini.

Pesawat maritim P-8 Poseidon yang kerapkali dirujuk sebagai “pesawat pengintip” oleh media barat merupakan antara aset utama yang digunakan oleh Amerika Syarikat untuk memantau aktiviti tentera China di Laut China Selatan.

Bejing menuntut keseluruhan Laut China Selatan termasuk perairan yang dimiliki oleh Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Coast Guard China
Kapal Pengawal Pantai China. (sumber internet)

Pada 2014, Malaysia didakwa membenarkan pesawat P-8 Poseidon berlepas daripada pengkalan udara di Malaysia Timur.

Ketika berucap pada satu forum di Washington, Komander Operasi Tentera Laut Amerika Syarikat Laksamana Jonathan Greenert  berkata, tawaran Malaysia supaya pesawat Amerika itu berlepas daripada Malaysia Timur memberikan kelebihan kepadanya  kerana kedudukannya yang hampir dengan Laut China Selatan.

Greenert
Laksamana Jonathan W.Greenert. (sumber internet)

Bagaimanapun ketika ditanya oleh pemberita, Menteri Pertahanan negara ketika itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan kenyataan oleh Greenert itu.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...