NGAD, Tempest Dan FCAS, Perlumbaan Bangunkan Pesawat Pejuang Gen-6
Walaupun era pesawat pejuang generasi kelima baru sahaja bermula, usaha telah dimulakan sejak beberapa tahun lepas untuk merekabentuk pesawat pejuang generasi ke-enam yang dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2030-an.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah telah mula melabur berbilion-bilion Dollar dalam program untuk membangunkan pesawat pejuang masa depan (Future Combat Air System) atau dipanggil pesawat pejuang generasi ke-enam untuk keperluan tentera udara masing-masing.
Walaupun era pesawat pejuang generasi kelima baru sahaja bermula, usaha telah dimulakan sejak beberapa tahun lepas untuk merekabentuk pesawat pejuang generasi ke-enam yang dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2030-an.
Dipanggil Next Generation Air Dominance (NGAD), Tentera Udara Amerika Syarikat memulakan program itu dengan tujuan utamanya adalah untuk menggantikan pesawat pejuang generasi kelima F-22 “Raptor”.
Pesawat F-22 itu bakal dibersarakan pada awal tahun 2030 dan mungkin pada ketika itu, pesawat generasi ke-enam Amerika Syarikat sudah bersedia untuk terbang dan menjalankan tugasnya.
Pegawai kanan Tentera Udara Amerika Syarikat pernah mengaku kepada media pertahanan negara itu bahawa ia telah pun memiliki pesawat prototaip NGAD itu dan ia telah berjaya diterbangkan.
Program itu walaupun diakui memang wujud oleh tentera Amerika, tetapi ia dilaksanakan dengan tahap kerahsiaan yang amat tinggi kerana sudah tentu ia tidak mahu China atau Russia mengetahui mengenainya.
Pesawat generasi ke-enam Amerika Syarikat di bawah program NGAD dipercayai akan beroperasi bersama-sama pesawat tanpa pemandu (UAV) di bawah konsep Loyal Wingman.
Selain Amerika Syarikat, sekutunya Britain bersama-sama rakanya Sweden dan Itali serta syarikat-syarikat BAE Systems, Saab Group dan Leonardo juga sedang membangunkan pesawat generasi ke-enam dipanggil “Tempest.”

Jepun juga terlibat dalam program itu, dalam peranan yang terhad.
Tim projek “Tempest” yang bermula pada tahun 2015 tetapi hanya didedahkan pada umum ketika Pameran Farnborough pada 2018 mempunyai kira-kira 2,000 petugas dengan bajet sebanyak US$2.6 bilion untuk tempoh selama 10 tahun.
Comments are closed.