43 Kes Pencerobohan Ruang Udara Negara Sepanjang Jan-Mei 2023 — MINDEF
“Jumlah keseluruhan pesawat asing yang dikesan dan direkodkan menceroboh ruang udara negara dari bulan Januari 2023 sehingga Mei 2023 ialah berjumlah 43 kes pencerobohan.” -- Kementerian Pertahanan memberitahu Dewan Negara pada 20 Jun 2023.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dewan Negara dimaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah mengesan dan merekod sebanyak 43 kes pencerobohan pesawat-pesawat asing terhadap ruang udara negara untuk tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Terdapat dua kategori pencerobohan ruang udara iaitu Pencerobohan Ruang Udara Berdaulat (within Malaysia Territorial Airspace – MTA) dan Pencerobohan Ruang Udara Berkepentingan (within EEZ until MTA).
Pemantauan pula dilakukan mengikut wilayah iaitu Region 1 (Semenanjung) dan Region 2 (Sabah dan Sarawak).

“Jumlah keseluruhan pesawat asing yang dikesan dan direkodkan menceroboh ruang udara negara dari bulan Januari 2023 sehingga Mei 2023 ialah berjumlah 43 kes pencerobohan.”
“Pecahan kes pencerobohan adalah seperti berikut iaitu — Kategori Pencerobohan Ruang Udara Berdaulat hanya berlaku di Region 1 sahaja adalah sebanyak 6 kes pencerobohan yang melibatkan 2 kes tidak mengikuti laluan seperti yang dimohon dan 4 kes tanpa permohonan.”
“Kategori Pencerobohan Ruang Udara Berkepentingan pula, sebanyak 37 kes pencerobohan direkodkan iaitu kes pencerobohan di Region 1 dan 34 kes pencerobohan di Region 2,” menurut jawapan Kementerian Pertahanan terhadap pertanyaan lisan Datuk Dominic Lau Hoe Chai di Dewan Negara pada 20 Jun.
Kementerian Pertahanan memandang serius terhadap sebarang bentuk ancaman kedaulatan dan pencerobohan oleh pesawat asing yang memasuki ruang udara negara tanpa kebenaran.
Bagi pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat asing, mekanisme tindak balas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhadap pencerobohan adalah melalui Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN) di mana pelan operasi khusus seperti Operasi CURIGA, Operasi SIERRA WATCH dan Operasi JEDI WATCH akan diaktifkan.

“Selain mengaktifkan pelan operasi khusus oleh TUDM, pihak Kementerian turut mengemukakan laporan pencerobohan yang telah dikenal pasti dan cadangan Bantahan Diplomatik secara berkala kepada Kementerian Luar Negeri untuk tindakan lanjut.”
Kementerian Pertahanan juga menyatakan bahawa sebagai perisai kedaulatan ruang udara negara, diantara tindakan yang dilaksanakan oleh TUDM adalah antaranya dengan memantau, melapor dan merekod segala penerbangan memasuki ruang angkasa negara yang mencurigakan melalui OP CURIGA.
Comments are closed.