Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 Dikesan Dalam Perairan ZEE Malaysia

Kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 itu dipercayai mensasarkan kawasan-kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas serta menempatkan aktiviti cari gali minyak dan gas membabitkan Petronas dan rakan-rakan perniagaannya.

0 2,846

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 yang pernah mencetus insiden di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia tiga tahun lepas, dilaporkan telah kembali ke perairan ZEE Malaysia dipercayai untuk melakukan kerja-kerja kajian dasar laut.

Menurut posting akaun Twitter pemerhati Laut China Selatan, Duan Dang @duandang hari ini, kapal penyelidik China  itu telah berada di dalam perairan ZEE Malaysia.

Beliau juga berkata bahawa kapal auxiliari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bunga Mas 5 sedang dalam pelayaran menuju ke lokasi di mana kapal penyelidikan China itu berada.

Haiyang
Lokasi terkini kapal penyelidik Haiyang Dizhi 8. (kredit Duan Dang)

 

Kapal penyelidik Haiyang Dizhi 8 itu dipercayai mensasarkan kawasan-kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas serta menempatkan aktiviti cari gali minyak dan gas membabitkan Petronas dan rakan-rakan perniagaannya.

Tiga tahun lepas, kapal penyelidik China itu dikesan beroperasi di lokasi perairan berhampiran dengan aktiviti kapal ultra drillship, West Capella yang dikontrak oleh Petronas untuk menjalankan kerja-kerja penggerudian.

Kapal drillship West Capella itu dimiliki oleh syarikat Seadrill yang berpengkalan di London tetapi dikontrakkan kepada Petronas.

Sejak akhir 2019, kapal West Capella telah menjalankan kerja-kerjanya di dua blok minyak dan gas di dalam kawasan ZEE Malaysia iaitu di Arapaima-1 di Blok-ND1 dan Lala-1 di Blok ND-2.

Kehadiran kapal Haiyang Dizhi 8 di dalam perairan ZEE Malaysia pada April 2020 telah dikawal ketat oleh beberapa buah kapal pengawal pantai serta maritim militia China, berkemungkinan sama dengan apa yang sedang berlaku pada ketika ini.

Haiyang Dizhi 8
Kapal penyelidik Haiyang Dizhi 8 kelihatan menunda sonar ketika berada di perairan ZEE Malaysia pada April 2020. (AMTI)

 

Pada satu ketika, kapal penyelidik China itu dikesan hanya berada 8.5 batu nautika daripada kapal West Capella.

Dalam insiden yang berlaku pada 2020 itu,kapal-kapal penguatkuasa Malaysia turut membayangi kapal penyelidik dan rombongan pengawal pantai China yang menjadi “pengawalnya.”

Kapal Haiyang Dizhi 8 itu juga dikesan melakukan kajian dasar laut di kawasan pelantar benua milik Brunei serta Malaysia.

Menerusi gambar-gambar satelit, jelas kelihatan kapal penyelidik China itu menunda sonar yang membuktikan bahawa ia sedang menjalankan aktiviti kajian dasar laut di kawasan yang kaya dengan minyak dan gas itu.

Aktiviti dilakukan oleh kapal penyelidik China itu di kawasan perairan ZEE Malaysia itu bukan sahaja menarik perhatian kapal-kapal daripada TLDM dan penguatkuasa Malaysia yang lain, tetapi ia juga telah menarik respons daripada tentera Amerika Syarikat.

Da Yang Hao
Sebuah kapal perang Littoral Combat Ship (LCS) Amerika Syarikat USS Gabrielle Giffords berlayar hampir dengan kapal ultra deepwater drillship, West Capella di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada 2020.

 

Pada April 2000 itu, tiga buah kapal perang Amerika Syarikat iaitu USS America, USS Bunker Hill dan USS Barry serta sebuah kapal perang Australia, HMAS Parramatta telah menghampiri West Capella yang berhadapan dengan “gangguan” daripada kapal-kapal China itu.

Beberapa hari selepas itu, kapal Littoral Combat Ship (LCS) Amerika Syarikat USS Gabrielle Gifords juga dikesan menghampiri perairan di mana kapal penyelidik China Haiyang Dizhi 8 sedang beroperasi itu.

Kapal perang Amerika Syarikat itu dikesan berada 24 batu nautika daripada Haiyang Dizhi 8.

Apakah kehadiran Haiyang Dizhi 8 di perairan ZEE Malaysia kali ini akan mencetus insiden antarabangsa sebagaimana yang berlaku tiga tahun lepas? — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...