Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF Keluarkan LOI Pada STM Dari Turkiye Bagi Perolehan Kapal LMS Batch 2

Selepas Surat Niat (Letter of Intent) untuk sistem meriam bergerak (SPH) “EVA” 155mm, kini kita dimaklumkan pula tentang Surat Niat (LOI) untuk perolehan kapal-kapal Littoral Mission Ship Batch 2 pula. Minggu yang amat baik untuk pertahanan negara.

0 4,402

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Defence Security Asia beberapa kali sebelum ini, syarikat pembuat kapal Turkiye Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) disahkan telah menerima Surat Niat (Letter of Intent) berkenaan perolehan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS)  Batch 2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kini sudah hampir pasti (bergantung kepada rundingan selanjutnya sehingga ke peringkat menandatangani kontrak), rekabentuk kapal kelas-Ada oleh STM akan menjadi pilihan kepada TLDM untuk kapal-kapal LMS Batch 2.

Selepas LOI untuk sistem meriam bergerak (SPH) “EVA” 155mm, kini kita dimaklumkan oleh LOI untuk perolehan kapal-kapal LMS Batch pula.

 Minggu yang amat baik kepada usaha-usaha memperkasa pertahanan negara.

Maklumat tentang LOI untuk kapal LMS Batch 2 negara itu telah dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan lisan Dewan Rakyat kepada soalan daripada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) pada 13 Mac lalu.

Ada
Kapal korvet kelas Ada oleh STM

 

“Kementerian Pertahanan akan melaksanakan perolehan Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui pendekatan Government to Government (G to G) dengan syarikat berkaitan Kerajaan Turkiye secara rundingan terus iaitu Savunma Teknolojieri Muhendislik (STM).

“Kementerian Kewangan (MOF) pada 18 Januari 2024 telah memberi kelulusan terhadap perkara ini. Susulan itu, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan surat niat kepada pihak syarikat pada 5 Februari 2024 dan pihak syarikat telah memberikan maklum balas pada 8 Februari 2024 untuk berunding dengan Kementerian Pertahanan sebagai wakil Kerajaan,” menurut Menteri Pertahanan.

Beliau seterusnya berkata Kementerian Pertahanan melalui TLDM sedang di peringkat rundingan terperinci berhubung spesifikasi yang ditawarkan dan seterusnya akan melaksanakan rundingan harga sebelum perolehan ini dimuktamadkan.

Menurut laporan Defence Security Asia sebelum ini,  Malaysia akan memperolehi tiga buah kapal LMS Batch 2 di bawah fasa pertama manakala lapan buah lagi kapal diperolehi dalam fasa kedua merangkumi dua Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Pada ketika ini, Tentera Laut Turki mengoperasikan empat buah kapal korvet kelas-Ada pada manakala empat buah kapal korvet kelas-Ada juga dibina untuk Tentera Laut Pakistan manakala sebuah kapal korvet kelas-ADA untuk Tentera Laut Ukraine.

LMS

Kapal korvet kelas-ADA ini merupakan kapal korvet anti-kapal selam dan peronda yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turki dibawah program pembinaan kapal perang kebangsaan, MILGEM.

Kapal korvet kelas-ADA ini dipacu oleh sistem Combined Diesel and Gas (CODAG) terdiri daripada satu gas turbin dan dua gas diesel bagi membolehkan kapal mencapai kelajuan maksimum 30 knot dan beroperasi pada radius 3,500 batu nautika dalam kelajuan 15 knot.

Ia boleh membawa 93 orang krew kapal.

Dengan panjang keseluruhan kapal 99.56 meter, kapal korvet kelas-ADA memiliki berat maksimum 2,400 tan.

Kapal perang kelas-ADA ini dilengkapi dengan sistem pengurusan peperangan “GENESIS” yang dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat pertahanan Turki iaitu, HAVELSAN, Electronic Chart Precise Integrated Navigation System (ECPINS), Integrated Platform Management System (IPMS), SMART-S Mk2 search radar, X-band radar dan fire control radar. 

Kelas-Ada

Manakala daripada segi persenjataan pula, ia dilengkapi dengan meriam Oto Melara 76mm Super Rapid, dua Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm dan lapan pelancar peluru berpandu anti-kapal Harpoon dan kini digantikan dengan peluru berpandu anti-kapal  “Atmaca” yang dibangunkan oleh Turki sendiri. 

Kapal kelas-ADA juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-pesawat, RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM) dan dua pelancar torpedo 324 mm Mk. 46. 

Sudah pasti segala spesifikasi kapal korvet kelas-Ada ini akan menjadi perkara dirundingi antara TLDM dan STM.

Walaupun Kementerian Pertahanan telah memilih rekabentuk kapal kelas-Ada, namun TLDM akan menentukan sendiri spesifikasi fizikal dan teknikal kapal LMS Batch 2, sama ada mengikut 100 peratus rekabentuk Turkiye itu atau tidak. — DSA

Comments
Loading...