Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

M’sia Pilih Korvet Kelas-ADA Untuk Program LMS Batch II – Laman Web Turki

“Peruntukan untuk pembinaan tiga buah kapal LMS Batch II itu akan dilakukan di bawah fasa pertama dengan program berkenaan menelan belanja US$530 juta (RM2.2 bilion),” menurut laman web Turki itu dalam artikel yang disiarkan pada 8 Mac yang lalu.

0 5,936

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sumber-sumber memberitahu laman web pertahanan Turki, SavunmaSanayiST.com bahawa rekabentuk kapal korvet kelas-ADA yang dibangunkan oleh syarikat perkapalan negara itu, STM berkemungkinan besar akan menjadi pilihan Kementerian Pertahanan untuk program pembinaan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II.

Menurut laman web itu lagi, Malaysia akan memperolehi tiga buah kapal LMS Batch II di bawah fasa pertama manakala lapan buah lagi kapal diperolehi dalam fasa kedua.

“Peruntukan untuk pembinaan tiga buah kapal LMS Batch II itu akan dilakukan di bawah fasa pertama dengan program (pembinaan tiga buah kapal) berkenaan menelan belanja US$530 juta (RM2.2 bilion),” menurut laman web Turki itu dalam artikel yang disiarkan pada 8 Mac yang lalu.

Ia juga berkata bahawa Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Hassan telah menerima kunjungan daripada Duta Turki ke Malaysia Emir Salim Yuksel dipejabatnya baru-baru ini,di mana kedua-dua pihak telah berbincang tentang program LMS Batch II TLDM.

Perbincangan kedua-dua pihak turut menyentuh tentang hubungan industri pertahanan di antara Malaysia dan Turki.

Turki
Pertemuan diantara Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Turki ke Malaysia, Emir Salim Yuksel baru-baru ini. (kredit SavunmaSanayiST.com)

 

Pada 8 Mac lepas, Mohamad memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa beliau akan ke Turkiye dalam tempoh terdekat ini bertujuan mengadakan rundingan dengan kerajaan negara serta agensi pertahanannya berkaitan perolehan kapal-kapal LMS Batch II untuk kegunaan TLDM.

Perolehan tiga buah kapal LMS Batch II yang pertama daripada lapan buah keseluruhan itu akan dilakukan menggunakan kaedah Government-to-Government (G-to-G) bagi mengelak sebarang kelewatan dalam pembinaannya, sebagaimana yang berlaku dalam program pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS). 

“Saya diarahkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)  untuk pergi ke Turkiye. Untuk berunding dengan rakan sejawatan saya dan juga agensi pertahanan negara di sana untuk kita mendaftarkan minat kita terhadap perolehan kapal-kapal LMS itu.

“Dan kita lihat bagaimana perundingan ini boleh kita segerakan, supaya perolehan kapal-kapal LMS Batch II dibuat secara telus yang mungkin,

“Kita tidak akan menggunakan pihak ketiga tetapi urusan antara kerajaan dengan kerajaan,” katanya, sambil menambah bahawa apa yang penting adalah kaedah G-to-G itu dapat memastikan TLDM memperolehi kapal-kapal perang terbabit dalam keadaan yang baik dan tepat pada masanya.

Ada
Kapal korvet Tentera Laut Turkiye daripada kelas-ADA.

 

Perolehan tiga buah kapal LMS Batch II itu akan dilakukan dengan cara yang paling telus, bagi memastikan TLDM memperolehi aset yang diperlukan supaya dapat memastikan kedaulatan dan keselamatan maritime negara.

Dalam satu temuramah dengan media pertahanan antarabangsa sempena pameran DSA 2022, pengarah pembinaan tentera laut syarikat STM Mehmet Selahettin Deniz berkata hasil daripada pembincangan syarikat itu dengan TLDM, maka ia telah diminta untuk mengemukakan rekabentuk bersesuaian dengan kapal LMS Batch II.

Hasil daripada perbincangan dengan TLDM  itu, syarikat STM telah mengemukakan rekabentuk kapal korvet kelas-“ADA” yang dioperasikan oleh Tentera Laut Turki pada ketika ini.

Tentera Laut Turki mengoperasikan empat buah kapal korvet kelas-ADA pada masa ini manakala empat buah juga untuk Tentera Laut Pakistan manakala sebuah kapal korvet kelas-ADA untuk Tentera Laut Ukraine.

Kapal korvet kelas-ADA ini merupakan kapal korvet anti-kapal selam dan peronda yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turki dibawah program pembinaan kapal kebangsaan, MILGEM.

Kapal korvet kelas-ADA ini dipacu oleh sistem Combined Diesel and Gas (CODAG) terdiri daripada satu gas turbin dan dua gas diesel bagi membolehkan kapal mencapai kelajuan maksimum 30 knot dan beroperasi pada radius 3,500 batu nautika dalam kelajuan 15 knot.

Ia boleh membawa 93 orang krew kapal.

Dengan panjang keseluruhan kapal 99.56 meter, kapal korvet kelas-ADA memiliki berat maksimum 2,400 tan.

LMS

Kapal perang kelas-ADA ini dilengkapi dengan sistem pengurusan peperangan “GENESIS” yang dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat pertahanan Turki iaitu, HAVELSAN, Electronic Chart Precise Integrated Navigation System (ECPINS), Integrated Platform Management System (IPMS), SMART-S Mk2 search radar, X-band radar dan fire control radar. 

Manakala daripada segi persenjataan pula, ia dilengkapi dengan meriam Oto Melara 76mm Super Rapid, dua Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm dan lapan pelancar peluru berpandu anti-kapal Harpoon atau Atmaca yang dibangunkan oleh Turki sendiri. 

Terdapat laporan mengatakan bahawa kapal-kapal LMS Batch II milik TLDM itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) buatan firma Kongsberg daripada Norway, sepertimana yang terdapat pada kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM.

Kapal kelas-ADA juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-pesawat, RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM) dan dua pelancar torpedo 324 mm Mk. 46.  — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...