Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF Sewa Empat Buah Helikopter Pengangkut Sederhana Untuk PUTD

Penyewaan helikopter itu berkemungkinan adalah langkap sementara (stop-gap measures) oleh Kementerian Pertahanan sebelum ia membuat perolehan sebenar untuk mendapatkan helikopter pengangkut bersaiz sederhana untuk PUTD.

6,633

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini Kementerian Pertahanan telah mengiklankan tender untuk menyewa (leasing) empat buah helikopter pengangkut sederhana yang akan digunakan oleh Pasukan Udara Tentera Darat  (PUTD).

Tender bagi penyewaan keempat-empat buah helikopter itu telah diiklankan pada 5 Julai lepas dan akan tamat pada 11 Ogos depan.

Penyewaan helikopter itu berkemungkinan adalah langkap sementara (stop-gap measures) oleh Kementerian Pertahanan sebelum ia membuat perolehan sebenar untuk mendapatkan helikopter pengangkut bersaiz sederhana untuk PUTD.

Nuri

Helikopter pengangkut sederhana (mula disewa sebelum dibeli) itu adalah untuk menggantikan helikopter Nuri yang telah pun ditamatkan khidmatnya pada tahun 2019.

Keempat-empat helikopter yang akan disewa untuk tempoh tiga hingga lima tahun itu akan dioperasikan oleh Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD untuk tujuan latihan dan penerbangan-penerbangan operasional.

Helikopter terbabit perlulah mendapat peraturan pendaftaran daripada Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan perlu mengikuti konsep Performance Base Contract (PCB) selama tempoh ia dibawah kontrak.

Mengenai spesifikasi helikopter pengangkut sederhana sebagaimana dikehendaki oleh Kementerian Pertahanan adalah berkemampuan membawa dua orang krew dan 10 penumpang, selain maximum take-off load adalah daripada 6,000 kg hingga ke 20,000 kg.

AW139
Salah sebuah daripada empat helikopter AW139 yang disewa oleh Kementerian Pertahanan untuk kegunaan TUDM (gambar kredit FB Hishammuddin)

 

Tempoh masa operasi (endurance) helikopter berkenaan pula  adalah di antara empat hingga lima jam dan boleh beroperasi pada waktu malam.

Helikopter yang bakal disewa oleh Kementerian Pertahanan untuk PUTD itu perlu memiliki dua enjin serta dilengkapi dengan sistem Full Authority Digital Engine Control (FADEC) dan pelbagai lagi sistem lain sebagaimana yang disenaraikan dalam dokumen tender.

Selain melakukan penerbangan-penerbangan operasional, helikopter berkenaan juga perlu berkemampuan untuk membawa bebanan seberat 1,814 kg secara “underslug” sebagaimana yang kerap dilakukan oleh helikopter Nuri yang sering mengangkut pelbagai bebanan secara “underslug” seperti meriam 105mm Pack Howitzer dan lain-lain lagi.

AW139
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berada di dalam helikopter AW139 di Pangkalan TUDM Butterworth, hari ini. (gambar kredit FB Hishammuddin)

 

Syarikat yang berjaya dalam tender untuk membekalkan empat buah helikopter pengangkut sederhana secara sewaan kepada Kementerian Pertahanan itu mestilah menyediakan latihan kepada instructor penerbangan, juruterbang, pembantu juruterbang, krew, jurutera dan anggota teknikal.

Keempat-empat helikopter pengangkut sederhana yang bakal dioperasi oleh PUTD atas konsep sewaan itu akan berpengkalan di Kuantan, di mana Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD beroperasi di Kem Batu 10 di Gambang. 

PUTD bakal menjadi pasukan kedua selepas TUDM yang mengoperasi helikopter secara konsep sewaan selepas Kementerian Pertahanan menyewa empat buah helikopter AW139 untuknya beberapa bulan yang lepas menggunakan kaedah GOCOM (Government-Operates-Company-Owns and Maintains)  — DSA

 

Comments are closed.