Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dua Anggota Tentera Darat Maut Dihempap Pokok

Menurut kenyataan Tentera Darat Malaysia malam tadi, kejadian berlaku pada kira-kira 2.30 pagi di sebuah pangkalan sementara dalam kawasan operasi pasukan tersebut yang telah dilanda ribut kencang. 

0 1,688

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut selepas dihempap pokok sewaktu menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak dalam insiden yang berlaku pada awal pagi tadi. (hari Ahad)

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh TDM malam tadi, ia memaklumkan kedua-dua mangsa dikenalpasti sebagai Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

Kejadian berlaku pada kira-kira 2.30 pagi di sebuah pangkalan sementara dalam kawasan operasi pasukan tersebut yang telah dilanda ribut kencang. 

Hutan Belum
Hutan Belum

 

“Setelah keadaan tenang pada kira-kira 2.50 pagi, pemeriksaan keselamatan dibuat sebelum mendapati kedua-dua anggota telah meninggal dunia akibat ditimpa pokok,” menurut kenyataan itu.

TDM menzahirkan ucapan takziah kepada kedua-dua isteri anggota tentera terbabit,  Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir dan Nurummi Amirah Chepa, serta seluruh ahli keluarga mangsa.

 “TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam memastikan kebajikan keluarga mereka terjaga,” katanya.

Jenazah Mohd Kamal akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah manakala jenazah Muhammad Zaki pula di Chuping, Perlis.

Tentera Darat
Kenyataan Tentera Darat

 

Di IPOH, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian kedua-dua anggota tentera pada 11.50 pagi.

“Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan dari kawasan operasi tentera dengan menggunakan helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia ke 2 RAMD, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

Tentera Darat

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

“Mangsa dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata polis Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa.

 

Comments
Loading...