Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Menteri Pertahanan Malaysia Lawat Charles de Gaulle, TUDM-Tentera Udara Perancis Adakan Latihan Bersama

Kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Perancis Charles de Gaulle itu menempatkan, antara lain, pesawat pejuang Rafale dan pesawat AEWC (Aircraft Early Warning Control) Hawkeye, serta diiringi kapal-kapal pengiringnya yang lain seperti kapal-kapal pemusnah dan kapal sokongan lain.

0 1,303
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada hari pertama Ramadan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah melakukan lawatan terhadap kapal pengangkut pesawat milik Tentera Laut Perancis, Charles de Gaulle yang sedang melalui perairan negara di Laut China Selatan.
Ketibaan Menteri Pertahanan di kapal pengangkut pesawat Charles de Gaulle telah disambut kawalan kehormatan yang dikendalikan oleh Tentera Laut Perancis.
Kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Perancis itu tersebut merupakan “center force” bagi Carrier Strike Group (CSG) Perancis.
“CSG tersebut adalah satu daya Tentera Laut Perancis yang menggabungkan pelbagai sumber dan kekuatan di sekitarnya, bagi membolehkan kapal pengangkut pesawat Charles de Gaulle menjalankan misi yang pelbagai,” kata Mohamed Khaled di dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
Beliau juga berkata semasa melawat kapal pengangkur pesawat Charles de Gaulle itu, Menteri Pertahanan telah menerima taklimat terperinci mengenai kapal tersebut dan operasinya oleh Rear Admiral Jacques Mallard.
Kapal pengangkut pesawat itu menempatkan, antara lain, pesawat pejuang Rafale dan pesawat AEWC (Aircraft Early Warning Control) Hawkeye, serta diiringi kapal-kapal pengiringnya yang lain seperti kapal-kapal pemusnah dan kapal sokongan lain.
Charles de Gaulle
(kredit FB Mohamed Khaled/Kementerian Pertahanan)
Charles de Gaulle
(kredit FB Mohamed Khaled/Kementerian Pertahanan)
Carrier Strike Group Tentera Laut Perancis itu menurut Menteri Pertahanan baru sahaja menamatkan latihan bersama tentera laut negara-negara rakan di rantau ini dan sedang mengadakan pertemuan melibatkan pelbagai negara.
“Ia merupakan antara usaha negara tersebut dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama pertahanan di rantau ini, termasuklah dengan Malaysia,” kata Mohamed Khaled.
Turut hadir dalam lawatan Menteri Pertahanan terhadap kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Perancis, Charles de Gaulle adalah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan  Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris yang mewakili Panglima Tentera Udara.
Sementara itu Kedutaan Perancis di Malaysia dalam satu kenyataan berkata, misi Carrier Strike Group (CSG) di Indo-Pasifik yang dinamakan CLEMENCEAU 25 telah diperkenalkan kepada pihak berkuasa Malaysia dan Perancis, bersama dengan keupayaan kapal induk serta sayap udaranya.
Ia juga berkata bersempena dengan kehadiran Carrier Strike Group Tentera Laut Perancis, maka telah diadalah latihan udara bersama membabitkan pesawat-pesawat pejuang Tentera Laut Perancis dengan pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Pada 2 Mac, di perairan timur Semenanjung Malaysia (berhampiran Kuantan), empat pesawat ‘Rafale’ milik Tentera Laut Perancis daripada Carrier Strike Group (CSG) dan enam jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (dua Su-30MKM, dua F/A-18D Hornet, dan dua Hawk) telah melaksanakan latihan pertempuran udara.”
Charles de Gaulle
(kredit FB Mohamed Khaled/Kementerian Pertahanan)
“Latihan seperti ini meningkatkan keupayaan interoperabiliti serta mengukuhkan mekanisme dan proses kerjasama ketenteraan.”
“Latihan berprestasi tinggi ini, serta secara lebih luas, interaksi yang dijalankan dengan rakan serantau—terutamanya Malaysia—mencerminkan komitmen Perancis untuk terus menggerakkan aset ketenteraannya dari tanah besar Perancis ke Indo-Pasifik. Ini adalah sebagai tambahan kepada aset yang telah ditempatkan secara tetap di wilayah luar negara Perancis, dalam usaha menegakkan undang-undang antarabangsa, mempertahankan kedaulatan, serta memastikan kebebasan dan keterbukaan akses ke kawasan maritim yang dikongsi bersama,” menurut kenyataan kedutaan itu.
Malaysia dan Perancis adalah rakan pertahanan yang telah lama bekerjasama, dan Perancis sangat menghargai kerjasama pertahanannya dengan Malaysia, yang diperkukuhkan melalui pertemuan peringkat tinggi.
Satu contoh penting ialah lawatan Menteri Angkatan Bersenjata Perancis ke Malaysia pada Disember 2023.
“Kerjasama ketenteraan kedua-dua negara juga sangat kukuh, dengan penempatan pesawat PEGASE, latihan Pasukan Khas Udara, serta kunjungan pelabuhan dan latihan transit secara berkala antara Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Laut Perancis.”
“Akhir sekali, dan yang paling penting, kerjasama dalam industri pertahanan telah mencapai tahap tinggi, di mana Angkatan Bersenjata Malaysia dan Perancis telah memperoleh pelbagai peralatan ketenteraan daripada syarikat-syarikat Perancis,” menurut kenyataan.
Charles de Gaulle
(kredit FB Mohamed Khaled/Kementerian Pertahanan)
Charles de Gaulle
Kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Perancis, “Charles de Gaulle.”
Menurut kenyataan Kedutaan Perancis ke Malaysia itu, kapal pengangkut pesawat Charles de Gaulle telah dikerahkan ke Lautan Hindi dan Lautan Pasifik sebagai sebahagian daripada misi CLEMENCEAU 25 dalam CCSG)Perancis.
“CSG ini terdiri daripada kapal pengangkut pesawat , sayap udaranya yang diangkut serta kapal-kapal pengiring termasuk frigat, kapal selam, dan kapal sokongan. Sejak Januari, ia telah beroperasi di rantau Indo-Pasifik dan menjalankan pelbagai aktiviti bersama negara rakan serantau, khususnya Malaysia pada pertengahan Januari 2025 semasa latihan multilateral LA PEROUSE 25.”
Latihan ini menurutnya memfokuskan kepada keselamatan maritim dan diadakan di Selat Melaka, Selat Sunda, serta Selat Lombok.
Bermula dari 16 hingga 18 Januari, kapal KD Lekir (bersama helikopter yang diangkutnya, serta KD Gagah Samudera (korvet) TLDM telah melaksanakan manuver bersama dengan kapal pemusnah pertahanan udara Forbin, menurutnya.
Unit-unit ini berpeluang menjalankan latihan bersama seperti operasi ketenteraan ke atas kapal yang disyaki terlibat dalam aktiviti haram (latihan lawatan – VISITEX), berkongsi pandangan mengenai pelbagai strategi maritim, dan meningkatkan keupayaan operasi bersama di salah satu selat paling sibuk di dunia.
Selepas itu, CSG berlayar ke Lautan Pasifik untuk melaksanakan latihan PACIFIC STELLER bersama Amerika Syarikat dan Jepun, sebelum singgah di Filipina.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.