Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Peluru Berpandu Kruis Atmaca UM Turkiye Pecah Rekod Jarak dan Tempoh Penerbangannya

(VIDEO) Presiden Industri Pertahanan Turkiye (SSB) Prof Haluk Gorgun menyatakan bahawa peluru berpandu kruis serangan darat yang direkabentuk berdasarkan kepada peluru berpandu anti-kapal Atmaca kini berkemampuan membedil sasaran lebih jauh.

0 11,313
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Peluru berpandu kruis serangan darat Atmaca UM yang sedang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Turkiye, ROKETSAN telah memecahkan rekod jarak dan tempoh penerbangannya dalam ujian pelancarannya yang terbaru.
Presiden Industri Pertahanan Turkiye (SSB) Prof Haluk Gorgun menyatakan bahawa peluru berpandu kruis serangan darat yang direkabentuk berdasarkan kepada peluru berpandu anti-kapal Atmaca kini berkemampuan membedil sasaran lebih jauh.
“Kejayaan peluru berpandu kruis Atmaca UM dalam menyempurnakan penerbangan terjauh dan terpanjangnya, sekali lagi memecahkan rekod sendiri, membuktikan keupayaan kejuruteraan, kecanggihan teknologi, serta keteguhan daya cegah strategik industri pertahanan Turkiye.”
“Setiap ujian pelancaran yang berjaya terus memperkukuh ekosistem teknologi nasional dan visi negara ke arah industri pertahanan yang berdikari. Saya mengucapkan tahniah kepada para pegawai kepresidenan, pasukan Roketsan, serta semua subkontraktor yang telah bekerja keras sepanjang proses ini,” kata beliau.
Terdapat dakwaan menyatakan peluru berpandu kruis serangan darat Atmaca UM itu kini berkemampuan membedil sasaran sejauh 600km dengan membawa peledak seberat 250kg.
Laporan menyatakan bahawa dalam ujian pelancaran terkini, peluru berpandu kruis serangan darat terbaru Turkiye itu kini terbang di altitude yang lebih tinggi bagi membolehkan ia membedil sasaran yang lebih jauh.
Peluru berpandu kruis serangan darat Atmaca UM merupakan varian ketiga dalam siri peluru berpandu kruis Atmaca, susulan daripada versi peluru berpandu anti-kapal Atmaca yang dilengkapi IIR (Imaging Infra Red) seeker dan dilancarkan dari trak.
Varian ini direka untuk peranan serangan darat dengan Sistem Pemetaan Digital Kawasan (DSMAC) melalui IIR seeker, membolehkannya terbang pada altitud rendah mengikut bentuk muka bumi serta membawa peledak yang lebih berat.
Peluru berpandu ini juga lebih panjang dan berat berbanding versi asas Atmaca, sekali gus meningkatkan jarak tembak dengan ketara.
Selain itu, Atmaca UM merupakan varian pertama yang dibangunkan dengan enjin turbojet buatan tempatan sejak dari awal.
Kale Jet Engines telah membangunkan enjin turbojet KTJ-3700 yang menawarkan daya tujahan lebih tinggi dan kecekapan lebih baik berbanding enjin KTJ-3200 yang digunakan pada peluru berpandu Atmaca dan SOM.
ROKETSAN turut membangunkan tiga lagi konfigurasi bagi Atmaca, iaitu versi pelancaran dari kapal selam, versi dengan hybrid seeker (RF+IIR), serta versi pelancaran udara untuk memenuhi pelbagai keperluan operasi.
Atmaca UM
Atmaca UM
Atmaca UM
Pembangunan peluru berpandu kruis Atmaca UM tertumpu kepada penghasilan varian darat-ke-darat bagi kegunaan Tentera Darat Turkiye.
 Kejayaan ujian peluru berpandu ini menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh keupayaan serangan tepat jarak jauh Turkiye.
Kontrak pembangunan Atmaca UM telah ditandatangani pada 18 Ogos 2021 antara SSB dan ROKETSAN.
Peluru berpandu kruis ini dilengkapi dengan peledak seberat 250 kilogram serta IIR seeker, membolehkannya melaksanakan manuver agresif dan menghancurkan sasaran dengan ketepatan pada sentimeter.
Peluru berpandu kruis serangan darat Atmaca UM dijangka memasuki perkhidmatan angkatan tentera Turkiye pada tahun ini.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.