Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lockheed Martin Terpaksa Bayar RM133 Juta Kerana Kenakan Caj Berlebihan Program F-35

Bayaran US$30juta (RM133 juta) yang dikenakan terhadap Lockheed Martin itu berlaku ketika program F-35 sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk kelewatan pengeluaran dan peningkatan kos.

0 5,082
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pertahanan yang bertanggungjawab membangunkan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 Lightning II dikehendaki membayar US$30 juta (RM133 juta) kerana mengenakan caj berlebihan terhadap Jabatan Pertahanan Amerika atas kerja-kerja membangunkan dan menyelenggara pesawat itu.
Bayaran yang dikenakan terhadap Lockheed Martin itu telah diumumkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
Langkah itu diambil ketika Presiden Donald Trump menyatakan bahawa pembantunya, Elon Musk yang mengetuai Jabatan Keberkesanan Kerajaan (Department of Government Efficiency – DOGE) akan mengenal pasti pembaziran bernilai berbilion-bilion dolar dalam perbelanjaan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon).
Baru-baru ini, Musk yang merupakan penyokong kuat Trump dilaporkan berkata, “Masih ada segelintir yang bodoh membina pesawat pejuang mempunyai juruterbang seperti F-35 dalam era yang semakin mengutamakan penggunaan dron.”
Bayaran yang dikenakan terhadap Lockheed Martin itu berlaku ketika program F-35 sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk kelewatan pengeluaran dan peningkatan kos.
Kos keseluruhan sepanjang kitaran hayat pesawat pejuang F-35, merangkumi pembangunan, pengeluaran, dan penyelenggaraan, dianggarkan mencecah sehingga US$485 bilion (RM2.1 Trillion).
F-35
F-35
Syarikat Lockheed Martin Corp dilaporkan telah gagal di antara tahun 2013 dan 2015 untuk mendedahkan secara tepat maklumat berkenaan kos kepada Pejabat Program Bersama F-35 di Jabatan Pertahanan Amerika semasa rundingan tentang kontrak.
Kerajaan Amerika Syarikat mendakwa bahawa syarikat Lockheed Martin telah melanggar False Claims Act dan Truth in Negotiations Act.
Kedua-dua  undang-undang itu yang diperkenalkan pada tahun 1962 mewajibkan kontraktor kerajaan yang memohon kontrak secara eksklusif (tanpa persaingan) untuk mendedahkan semua maklumat tentang kos yang digunakan dalam penyediaan cadangan harga mereka.
Lockheed Martin yang menerima peruntukan kontrak Pentagon paling tinggi di dunia, sebelum ini telah membayar sebanyak US$11.3 juta (RM50.1 juta) kepada Jabatan Pertahanan Amerika bagi maklumat kos dan harga yang tidak didedahkan.
Kerajaan Amerika Syarikat berhujah bahawa sekiranya pegawai Lockheed Martin memberikan maklumat yang tepat, Pejabat Program Bersama F-35 di Jabatan Pertahanan akan menganugerahkan kontrak pada harga yang lebih rendah, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman.
F-35C
Pesawat F-35C dengan kepaknya yang boleh dilipat bagi membolehkannya beroperasi di kapal pengangkut pesawat.
Sehingga tahun 2024, Lockheed Martin telah menghasilkan dan menyerahkan lebih daripada 1,000 unit pesawat pejuang F-35 kepada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.
 Pada tahun 2024 sahaja, syarikat ini berjaya menghantar sebanyak 110 unit F-35, mencapai sasaran tertinggi yang ditetapkan untuk tahun tersebut.
Program F-35 ini merangkumi tiga varian utama:
  1. F-35A: Varian lepas landas dan pendaratan konvensional (CTOL) yang digunakan oleh Tentera Udara.
  2. F-35B: Varian lepas landas jarak pendek dan pendaratan menegak (STOVL) yang digunakan oleh Kor Marin dan beberapa negara lain.
  3. F-35C: Varian yang direka khas untuk operasi di atas kapal pengangkut pesawat, digunakan oleh Tentera Laut.
Pesawat pejuang F-35 ini direka untuk menggantikan beberapa pesawat lama seperti F-16 Fighting Falcon, F/A-18 Hornet, dan AV-8B Harrier II, dengan tujuan menyediakan keupayaan tempur yang lebih canggih dan serba boleh.
F-35B
F-35B (VSTOL) sebagaimana yang bakal dimilik oleh Singapura bermula 2026.
Harga pesawat pejuang F-35 berbeza mengikut variannya, dengan harga purata bagi bagi setiap unit F-35A adalah sekitar AS$77.9 juta (RM345.7 juta).
Manakala bagi F-35B, harga purata bagi setiap unit adalah sekitar AS$101.3 juta (RM448 juta) dan dan varian F-35C yang digunakan oleh Tentera Laut mempunyai harga purata bagi setiap unit pada sekitar AS$94.4 juta (RM419 juta).
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.