Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kelewatan Terima Kapal LCS Beri Kesan Negatif Pada TLDM

Perolehan kapal-kapal LCS merupakan perolehan kritikal bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara dan ia perlu memiliki keupayaan tempur sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.

0 1,618

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kelewatan projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bukan sahaja telah menjejaskan keupayaan tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tetapi moral anggotanya, menurut kenyataan oleh TLDM hari ini.

Ia berkata, TLDM memerlukan kapal-kapal tersebut untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

“Sebagai pengguna akhir, kelewatan projek berkenaan telah memberi kesan negatif bukan sahaja kepada keupayaan tempur TLDM malahan kepada moral warganya yang memerlukan kapal-kapal tersebut untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan,” menurut Cawangan Komunikasi Strategiknya.

LCS

Perolehan kapal-kapal LCS kata TLDM, merupakan perolehan kritikal bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara dan ia perlu memiliki keupayaan tempur sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.

Sehubungan dengan itu, TLDM menyokong sebarang siasatan yang dibuat berhubung ketirisan di dalam projek pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion itu seperti dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis.

“Justeru, TLDM ingin menyatakan sokongan agar sebarang ketirisan dalam projek ini disiasat dan pihak yang terbukti terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan seberapa segera,” menurut kenyataan itu.

Disamping itu TLDM menurutnya menghargai keputusan kerajaan untuk meneruskan projek berkenaan dan berpandangan ia adalah keputusan tepat didorong keprihatinan kerajaan mengutamakan kedaulatan negara.

Menurut laporan oleh PAC yang dibentang di Dewan Rakyat itu, didapati TLDM selaku pengguna akhir (end user) dalam program pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS),

Mawilla
(TLDM)

 

Menurut laporan itu, ia adalah antara sebab berlakunya lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang dianugerahkan kepada BNS pada 2021.

“Pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.”

Laporan itu menyebut bahawa pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM dipersetujui pada Mei 2011 oleh menteri pertahanan tetapi dua bulan kemudian keputusan itu berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind.

“Keputusan untuk menukar kepada reka bentuk Gowind dibuat pada 11 Julai 2011, berikutan cadangan yang dibawa oleh BNS kepada menteri pertahanan pada 8 Julai 2011,” menurut laporan PAC itu.

Laporan PAC yang memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima TLDM pada ketika itu, sebagai berkata keputusan tersebut adalah “something is gravely wrong” (sesuatu yang amat tidak kena).

LCS
TLDM

 

PAC juga mendapati terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan yang mana pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

“Ini adalah luar biasa dan menyebabkan bayaran kemajuan LCS 1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, laporan PAC turut mendedahkan rekaan akhir belum dimuktamadkan oleh kerajaan dan BNS.

“Hal ini menyebabkan arahan perubahan kerja (VO) dikeluarkan secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi berlaku. Malah, pembayaran diterima tidak digunakan untuk projek LCS sepenuhnya menyebabkan BNS menghadapi ‘cost overrun’ sebanyak RM1.4005 bilion.

“Peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15 peratus telah pun usang.”

LCS

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Pada 20 April lepas, Kementerian Pertahanan telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berhubung cadangan penyelesaian bagi Kontrak Perolehan 6 Buah Kapal Second Generation Patrol Vessel Berkeupayaan LCS Untuk TLDM.

Jemaah Menteri telah bersetuju untuk meneruskan perolehan ini tertakluk kepada terma dan syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak BNSSB dalam pelan pemulihan tersebut.

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Bagaimanapun sehingga 31 Oktober tahun lepas, kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. — DSA

Comments
Loading...