Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF, Boustead Abai Pandangan TLDM Dlm Projek Bina Kapal LCS

Laporan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu menyebut bahawa pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM dipersetujui pada Mei 2011 oleh menteri pertahanan tetapi dua bulan kemudian keputusan itu berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind.

0 4,343

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir (end user) dalam program pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), menurut laporan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)  yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan itu, ia adalah antara sebab berlakunya lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang dianugerahkan kepada BNS pada 2021.

“Pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.”

LCS

Laporan itu menyebut bahawa pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM dipersetujui pada Mei 2011 oleh menteri pertahanan tetapi dua bulan kemudian keputusan itu berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind.

“Keputusan untuk menukar kepada reka bentuk Gowind dibuat pada 11 Julai 2011, berikutan cadangan yang dibawa oleh BNS kepada menteri pertahanan pada 8 Julai 2011,” menurut laporan PAC itu.

Laporan PAC yang memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima TLDM pada ketika itu, sebagai berkata keputusan tersebut adalah “something is gravely wrong” (sesuatu yang amat tidak kena).

PAC juga mendapati terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan yang mana pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

“Ini adalah luar biasa dan menyebabkan bayaran kemajuan LCS 1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus),” katanya.

LCS

Mengikut jadual asal syarikat terbabit yang diberikan kontrak secara runding terus, ia sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada kerajaan.

Dalam pada itu, laporan PAC turut mendedahkan rekaan akhir belum dimuktamadkan oleh kerajaan dan BNS.

“Hal ini menyebabkan arahan perubahan kerja (VO) dikeluarkan secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi berlaku. Malah, pembayaran diterima tidak digunakan untuk projek LCS sepenuhnya menyebabkan BNS menghadapi ‘cost overrun’ sebanyak RM1.4005 bilion.

“Peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15 peratus telah pun usang.”

Pada 20 April lepas, Kementerian Pertahanan telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berhubung cadangan penyelesaian bagi Kontrak Perolehan 6 Buah Kapal Second Generation Patrol Vessel Berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS) Untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

LCS

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Jemaah Menteri telah bersetuju untuk meneruskan perolehan ini tertakluk kepada terma dan syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak BNSSB dalam pelan pemulihan tersebut.

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Bagaimanapun sehingga 31 Oktober tahun lepas, kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. — DSA

 

Comments
Loading...