Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Russia Dakwa Serangan Dron Terhadap Kremlin Cubaan Bunuh Presiden Putin

“Pihak Kremlin telah menilai insiden serangan dron itu dan mengkategorinya sebagal tindakan keganasan dan percubaan untuk membunuh Presiden (Vladimir Putin) beberapa hari sebelum Victory Day dan perbarisan pada 9 Mei ini,” menurut media milik kerajaan Russia.

0 1,244

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam insiden yang bakal memarakkan lagi konflik di antara Russia dan Ukraine,  Kiev didakwa telah melancarkan serangan dron terhadap bangunan Kremlin,yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Russia.

Selepas bangunan Kremlin itu diserang oleh dua dron membawa bahan letupan, kerajaan Russia dalam satu kenyataan mendakwa serangan dron itu bertujuan mahu membunuh presiden negara itu,Vladimir Putin.

“Dua buah pesawat tanpa pemandu mensasarkan bangunan Kremlin. Hasil tindakan yang diambil oleh pihak tentera dan pasukan khas menggunakan radar, serangan dron itu berjaya digagalkan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan komunikasi Presiden Russia.

Kremlin

Video-video yang dikeluarkan oleh media di Russia mendakwa serangan dron pertama berlaku pada pukul 2.27 pagi manakala serangan kedua pula dilaporkan berlaku pada 2.43 pagi.

Putin tidak berada di dalam bangunan Kremlin itu dan serangan tidak menyebabkan kemusnahan yang besar, menurut kenyataan Moscow dan menambah bahawa ia berhak untuk membalas serangan dron itu.

“Pihak Kremlin telah menilai insiden serangan dron itu dan mengkategorinya sebagal tindakan keganasan dan percubaan untuk membunuh Presiden (Vladimir Putin) beberapa hari sebelum Victory Day dan perbarisan pada 9 Mei ini,” menurut media milik kerajaan, RIA.

Ia juga menyatakan bahawa Putin meneruskan aturcaranya dan tidak membatalkan jadualnya, meneruskan kerjanya daripada kediamannya di Novo Ogaryovo di luar Moscow.

Speaker Parliament Russia Vyacheslav Volodin mahukan kerajaan negara itu menggunakan “senjata yang boleh menghentikan dan memusnahkan rejim pengganas Kiev.”

Kremlin

Bekas Presiden Russia Dmitry Medvedev yang kini timbalan ketua Majlis Keselamatan Russia lebih lantang dalam kenyataannya dengan berkata bahawa insiden serangan dron itu “memaksa kami untuk memusnahkan Volodymr Zelensky (Presiden Ukraine) dan kliknya.”  

Baru-baru ini,portal berita tempatan Moscow Times dalam laporannya menyatakan bahawa  sekurang-kurangnya lima sistem pertahanan udara telah ditempatkan oleh tentera Russia di beberapa lokasi sekitar Moscow sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Diantara sistem-sistem pertahanan udara yang kini ditempatkan di beberapa lokasi di Moscow termasuklah Pantsir-S1 yang ditempat di atas ibu pejabat bangunan Kementerian Pertahanan yang terletak tidak jauh daripada Kremlin.

Selain itu, tentera Russia juga telah meletakkan sistem pertahanan udara S-400 Stesen Metro  Timiryazevskaya yang juga terletak di utara Moscow.

Selain terdapat juga laporan mengatakan bahawa sistem-sistem pertahanan udara telah ditempatkan berhampiran kediaman rasmi Presiden Vladimir Putin di Novo-Ogaryovo yang terletak di luar Moscow.

Moscow
Sistem pertahanan udara “Pantsir” di atas bangunan milik Kementerian Pertahanan Russia di Moscow.

 

Sementara itu seorang penganalisis ketenteraan Russia, Yury Fedorov berkata Ukraine memiliki kemampuan teknikal untuk menghantar dron yang boleh sampai ke Moscow.

Sementara itu Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu sebagaimana dipetik sebagai berkata oleh media bahawa Russia akan selesai memodenkan sistem pertahanan udara di Moscow pada akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian selepas sebuah dron Ukraine yang dilengkapi dengan bahan letupan terhempas di sebuah bandar yang terletak kira-kira 175km di selatan Moscow pada awal Mac lalu.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, dron Tu-141 milik Ukraine itu terhempas selepas sistem navigasinya berjaya dipintas oleh pihak tentera Russia.

Dron Tu-141 telah dibangunkan pada era Kesatuan Soviet tetapi diperkenalkan semula oleh Ukraine pada 2014 dan memiliki kemampuan untuk membedil sasaran musuh sejauh 1,000km. 

@defencesecurityasia

[VIDEO] Russia Dakwa Serangan Dron Terhadap Kremlin Cubaan Bunuh Presiden Putin

♬ Suspenseful and tense orchestra(1318015) – SoLaTiDo

Moscow merupakan pusat pemerintahan Russia dan simbol kepada kekuasaan serta kekuatan ketenteraan negara itu dan ia adalah sesuatu yang memalukan sekiranya Ukraine berjaya melakukan serangan udara terhadap bandar itu.

Kebimbangan tentang kemungkinan Moscow diserang oleh Ukraine semakin meningkat selepas Kiev melancarkan serangan udara menggunakan dron terhadap tiga pangkalan udara strategik Russia yang terletak tidak jauh daripada Moscow pada awal Disember tahun lepas.

Ketiga-tiga pangkalan udara strategik Russia yang menjadi sasaran dron-dron Ukraine itu pada 5 Disember itu adalah, Engels dan Dyagilevo yang terletak kira-kira 500km dan 460km daripada sempadan Ukraine.

Sehari selepas itu, pangkalan udara tentera Khalino turut diserang oleh pihak Ukraine. — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...