270 Ribu Orang Tandatangan Kontrak Berkhidmat Dengan Tentera Russia Secara Sukarela – Putin
Presiden Vladimir Putin yang mendedahkan perkara itu berkata, setiap hari di antara 1,000 hingga 1,500 individu menandatangani kontrak untuk berkhidmat secara sukarela dengan Angkatan Tentera Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam tempoh di antara enam hingga tujuh bulan, seramai 270,000 orang telah menandatangani kontrak untuk berkhidmat secara sukarela dengan Angkatan Tentera Russia.
Presiden Vladimir Putin yang mendedahkan perkara itu berkata, setiap hari di antara 1,000 hingga 1,500 individu menandatangani kontrak untuk berkhidmat secara sukarela dengan Angkatan Tentera Russia.
“Sebagaimana yang anda tahu, kita (kerajaan Russia) telah melaksanakan sebahagian daripada mobilisasi melibatkan 300,000 orang. Kini selepas di antara enam hingga tujuh bulan, seramai 270,000 orang telah menandatangani kontrak untuk berkhidmat secara sukarela dengan Angkatan Tentera Russia,” kata beliau.
Putin berkata demikian ketika menghadiri siding plenari Eastern Economic Forum (EEF) baru-baru ini.
Dengan kejayaan mendapatkan 270,000 sukarelawan angkatan tentera, kerajaan Russia menyatakan tiada keperluan untuknya memobilisasi 300,000 orang untuk perkhidmatan angkatan tentera negara itu.
Presiden Russia itu telah menandatangani dekri perlaksanaan sebahagian mobilisasi pada 21 September tahun lepas dan pada Oktober 28, Menteri Pertahanan negara itu Sergey Shoigu telah menyatakan bahawa proses perlaksanaan sebahagian mobilisasi telah selesai.
Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov sebahagian daripada keperluan Angkatan Tentera Russia itu telah diperolehi ketika perlaksanaan sebahagian daripada mobilisasi.
Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Russia Dmitry Medvedev dalam satu kenyataan berkata bahawa data-data daripada Kementerian Pertahanan negara itu menunjukkan bahawa seramai 231,000 telah diserapkan ke dalam perkhidmatan sukarelawan angkatan tentera sejak 1 Januari yang lalu.
Baru-baru ini, laporan daripada media tempatan di Nepal menyatakan bahawa ramai dikalangan etnik Gurkha yang terkenal dengan kemampuan dan keberanian mereka di medan perang telah memohon untuk menyertai tentera Russia.
Golongan muda Nepal tertarik untuk menyertai tentera Russia berikutan tawaran pekerjaan serta kewarganegaraan Russia kepada mereka yang menyertai tentera negara itu.
Comments are closed.