Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jerman Bimbang Kemungkinan Amerika Guna “Kill Switch” Terhadap F-35 Miliknya

Kerisauan mengenai kemungkinan Washington menggunakan apa yang disebut sebagai “kill switch” terhadap pesawat pejuang F-35 yang canggih itu bagi menegakkan agenda politiknya semakin meningkat berikutan keputusan terbaru Trump menggantung bantuan ketenteraan terhadap Ukraine bagi memaksanya berdamai dengan Russia.

0 1,822
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Perolehan 35 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II oleh Jerman kini menjadi tumpuan di negara itu selepas timbul kebimbangan bahawa Amerika Syarikat, di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, berpotensi melumpuhkan pesawat pejuang itu dari jauh (remote) bagi mencapai agenda politiknya.
Kerisauan mengenai kemungkinan Washington menggunakan apa yang disebut sebagai “kill switch” terhadap pesawat pejuang F-35 yang canggih itu bagi menegakkan agenda politiknya semakin meningkat berikutan keputusan terbaru Trump menggantung bantuan ketenteraan terhadap Ukraine bagi memaksanya berdamai dengan Russia.
Perjanjian bernilai €8.3 bilion (RM39.7 billion), yang akan melihat Jerman dibekalkan dengan beberapa pesawat pejuang generasi kelima dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin bermula tahun depan, kini menjadi isu perdebatan lebih luas mengenai kebergantungan negara-negara Eropah terhadap kelengkapan ketenteraan buatan Amerika Syarikat.
Walaupun spekulasi mengenai kewujudan “kill switch” dikawal oleh Washington dalam pesawat pejuang F-35 telah diperkatakan selama bertahun-tahun, perkembangan terkini telah memberikan dimensi baru serta mendesak kepada perbincangan ini.
Laporan bahawa pesawat pejuang F-16 yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine gagal beroperasi—bukan akibat dinyahaktifkan secara langsung, tetapi kerana Washington menggantung sokongan terhadap sistem peperangan elektroniknya—telah mengukuhkan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat mungkin mempunyai keupayaan untuk mengenakan kawalan yang sama  terhadap pesawat-pesawat pejuang F-35 Jerman pada masa hadapan.
Baru-baru ini, Amerika Syarikat enggan mengemaskini komponen peperangan elektronik AN/ALQ-131 yang digunakan pada pesawat F-16 Ukraine dibekalkan oleh Washington bagi menangkis sistem pertahanan udara Russia, satu keputusan yang berpotensi mengurangkan keupayaan tempur pesawat pejuang itu secara ketara.
Britain
F-35 Lightning II
“Jika kita perlu bimbang bahawa Amerika Syarikat akan melakukan perkara yang sama terhadap pesawat pejuang F-35 Jerman pada masa hadapan seperti yang mereka lakukan di Ukraine sekarang, maka isu pembatalan kontrak (pembelian pesawat pejuang F-35 oleh Jerman) itu mungkin perlu dipertimbangkan,” kata bekas Pengerusi Persidangan Keselamatan Munich, Wolfgang Ischinger, seperti yang dipetik oleh Bild.
Sebaliknya, syarikat Airbus mendesak kerajaan Jerman memilih pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 5 yang memiliki beberapa ciri pesawat pejuang generasi kelima.
Minggu lalu, Panglima Angkatan Tentera Belgium Jeneral Frederik Vansina menegaskan bahawa pesawat pejuang F-35 “bukan pesawat yang dikawal dari jauh”, manakala Kementerian Pertahanan Switzerland baru-baru ini menekankan bahawa pesawat F-35 miliknya boleh digunakan secara autonomi.
Bagaimanapun, kementerian itu turut mengakui bahawa tiada pesawat pejuang canggih Barat yang benar-benar bebas daripada sistem komunikasi data selamat (secure) Amerika Syarikat serta navigasi satelit GPS.
Amerika Syarikat masih belum memberikan sebarang komen tentang dakwaan sama ada ia mempunyai keupayaan untuk “melumpuhkan” penggunaan senjata miliknya yang telah dijual atau dipajak kepada sesebuah negara secara jarak jauh (remote).
Bagaimanapun, terdapat dakwaan beberapa negara tertentu menangguhkan keputusan memperolehi senjata daripada Amerika Syarikat akibat isu-isu sebegini.
Pada tahun 2021, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memutuskan untuk menggantung pembelian 50 pesawat pejuang F-35, yang merupakan sebahagian daripada perjanjian bernilai US$23 bilion (RM101 billion) yang turut merangkumi perolehan dron dan peluru berpandu.
F-35
F-35 Lightning II
F-35
F-35 Lightning II
Keputusan itu dibuat berikutan apa yang digambarkan oleh seorang pegawai UAE sebagai “sekatan operasi yang menjejaskan kedaulatan”.
Selain itu, UAE turut mengaitkan keperluan teknikal serta analisis kos-manfaat yang tidak menguntungkan sebagai faktor utama penangguhan perjanjian tersebut.
Ketika Jerman bersiap sedia untuk menerima 35 buah pesawat pejuang F-35 pada tahun 2026, ahli-ahli parlimen negara itu mula mempersoalkan sama ada mereka—seperti UAE—tidak sepatutnya membuat perolehan senjata daripada Amerika Syarikat tersebut sejak awal.
“Kita perlu meneliti perkara ini dengan lebih mendalam dan berhati-hati,” kata Ingo Gädechens, bekas anggota tentera dan ahli parti pemerintah kerajaan Jerman, kepada Bild.
“Jika kita membelanjakan sejumlah wang yang begitu besar untuk sistem senjata seperti pesawat pejuang F-35, kita juga mesti mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk menentukan bagaimana ia akan digunakan.”
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.