Untuk Tangani China, Amerika Bina Kapal Selam Nuklear Untuk Australia
Dibawah pakatan keselamatan di antara Australia,United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS), Australia berharap ia dapat memperolehi lapan buah kapal selam berkuasa nuklear untuk tentera lautnya untuk berhadapan dengan peningkatan aktiviti ketenteraan China di Indo-Pasifik.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi memastikan sekutu utamanya, Australia mempunyai “kekuatan sendiri” untuk berhadapan dengan kapal-kapal selam berkuasa nuklear milik China di Indo-Pasifik, Amerika Syarikat dilaporkan hampir bersetuju untuk membina beberapa buah kapal selam berkuasa nuklear untuk Canberra.
Perbincangan bagi membolehkan Amerika Syarikat membina beberapa kapal selam berkuasa nuklear untuk Tentera Laut Australia sedang berlangsung hebat pada ketika ini, sebagaimana dilaporkan oleh Wall Street Journal yang memetik sumber daripada pegawai-pegawai.
Rancangannya adalah untuk membekalkan beberapa kapal selam berkuasa nuklear kepada Australia bagi membolehkan ia beroperasi pada pertengahan 2030-an.

Pada ketika ini, Tentera Laut Australia hanya dilengkapi dengan kapal-kapal selam konvensional berkuasa diesel-elektrik yang mempunyai ketahanan dan kemampuan yang terhad berbanding kapal-kapal selam nuklear yang boleh berada di bawah permukaan air lebih lama.
Pada masa Australia cuba memiliki kapal selam berkuasa nuklear, China pula telah meningkatkan pembinaan kapal-kapal selam berkuasa nuklear bagi tentera lautnya yang berkemampuan membawa “berbelas-belas” peluru berpandu Inter-Continental Ballistic Missile (ICBM).
Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dalam laporan “China Military Power” yang dikeluarkan pada awal tahun ini menyatakan bahawa China dipercayai mengoperasikan enam buah kapal selam berkuasa nuklear dengan kemampuan peluru berpandu ICBM dan enam buah kapal selam penyerang berkuasa nuklear (nuclear-powered attack submarines).
Disamping kapal-kapal selam berkuasa nuklear, China juga mengoperasikan 45 buah kapal selam berkuasa diesel-elektrik.
Selain kapal-kapal selam, Tentera Laut China juga diperkasa dengan kehadiran kira-kira 355 kapal tentera laut pelbagai jenis dan saiz.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Australia yang juga merupakan negara anggota Five Power Defence Arrangement (FPDA) bersama-sama Malaysia, Singapura, Britain dan New Zealand telah meningkatkan peruntukan pertahannya ketika China meningkatkan aktiviti ketenteraannya di Indo-Pasifik.
Pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat seperti F-35 dan F-22 Raptor juga telah meningkatkan kekerapan “persinggahan” mereka di Australia berikutan peningkatan kerjasama pertahanan di antara dua negara itu.
Comments are closed.