Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Australia “Bimbang” Kemampuan Kapal Selam Perancis Tangani Ancaman China

Menurut Perdana Menteri Australia Scott Morrison, negara itu mempunyai “kebimbangan yang amat mendalam” terhadap kemampuan kapal selam konvensional yang dipesannya daripada Perancis dalam memenuhi kehendak strategik negara itu, terutamanya apabila berdepan dengan Beijing.

0 9,064

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Australia membatalkan kontrak pembinaan 12 buah kapal selam diesel-elektrik dengan Perancis selepas melahirkan “kebimbangan” tentang kemampuan kapal-kapal selam buatan Perancis dalam menangani peningkatan ancaman China di Indo-Pasifik dan Laut China Selatan.

Menurut Perdana Menteri Australia Scott Morrison, negara itu mempunyai “kebimbangan yang amat mendalam” terhadap kemampuan kapal selam konvensional yang dipesannya daripada Perancis dalam memenuhi kehendak strategik negara itu, terutamanya apabila berdepan dengan Beijing.

Australia menandatangani perjanjian dengan Perancis pada 2016 untuk membekalkan 12 buah kapal selam konvensional bernilai US$40 bilion.

“Saya tidak menyesal kerana meletakkan kepentingan strategik Australia terlebih dahulu,” kata Perdana Menteri Australia itu dan menambah bahawa negara itu telah menyuarakan tentang kebimbangannya terhadap Perancis beberapa bulan lepas.

Perdana Menteri Australia itu berkata beliau memahami kemarahan Perancis di atas keputusan negara itu membatalkan perjanjian awal mereka, tetapi ia tidak dapat dielakkan kerana membabitkan kepentingan strategik negara Oceania itu.

USS Ohio
Kapal selam Amerika Syarikat, USS Ohio.

 

Perancis yang marah dengan keputusan Australia itu mendakwa Washington dan London sebagai “penipu” kerana merampas kontrak pertahanan paling besar pernah diraih oleh syarikat negara itu.

Presiden Emannuel Macron juga bertindak memanggil duta Perancis ke Amerika Syarikat dan Australia untuk berbincang, suatu tindakan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini yang menggambarkan betapa hubungan antara Perancis dengan dua negara sekutunya itu sedang menghadapi masalah yang amat serius pada ketika ini.

Selepas membatalkan perjanjian dengan Perancis itu, Australia mengumumkan bahawa ia telah merangka perjanjian keselamatan yang baru dengan Amerika Syarikat dan Britain yang dipanggil AUKUS.

Tujuan utama perjanjian keselamatan baru itu adalah untuk menangani ancaman keselamatan daripada China di Indo-Pasifik.

Di bawah perjanjian keselamatan baru itu, Australia akan membina lapan buah kapal selam nuklear menggunakan teknologi kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat dan Britain.

Shang
Kapal selam Type 093 kelas-Shang Tentera Laut China.

 

Walaupun proses membina kapal selam berkuasa nuklear itu rumit dan mengambil masa, tetapi Australia telah pun menyatakan bahawa ia terbuka untuk menyewa kapal selam daripada Amerika Syarikat sementara menunggu kapal selam nuklear miliknya sendiri siap dibina.

Apa yang pasti, Australia bakal menyertai kelab pemilik kapal selam nuklear dunia selepas ini.

Dengan kapal selam berkuasa nuklear, Australia kini mempunyai kuasa deteren jika terjadi konflik bersenjata dengan China.

Tidak ada negara yang mahu berperang dengan kuasa nuklear.

Berbanding dengan kapal selam konvensional yang terpaksa naik ke permukaan selepas beberapa ketika, kapal selam berkuasa nuklear boleh berada di dalam lautan lebih lama dan ini membolehkan kapal selam nuklear itu beroperasi dengan jarak yang lebih jauh.

Selain itu,kapal selam yang dipacu dengan reactor nuklear itu dikatakan lebih senyap apabila beroperasi, menyukarkan lagi sebarang usaha untuk mengesannya.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...