Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Australia Berdepan Kesukaran Perolehi Kapal Selam Berkuasa Nuklear

Dibawah pakatan keselamatan AUKUS yang sebenarnya bermatlamat mengekang pengaruh ketenteraan China di Indo-Pasifik, Australia berharap ia dapat membeli sekurang-kurangnya lapan buah kapal selam berkuasa nuklear daripada Amerika Syarikat atau Britain, yang kos-nya dianggar boleh mencecah sehingga US$171 bilion.

0 2,795

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dibawah pakatan keselamatan di antara Australia, Britain dan Amerika Syarikat atau “AUKUS”,  Canberra berharap ia akan memperolehi kapal selam berkuasa nuklear daripada kedua-dua negara sahabat karibnya itu.

Dibawah pakatan keselamatan itu yang sebenarnya bertujuan mengekang pengaruh ketenteraan China di Indo-Pasifik, Australia berharap ia dapat membeli sekurang-kurangnya lapan buah kapal selam berkuasa nuklear daripada Amerika Syarikat atau Britain yang kos dianggar boleh mencecah sehingga US$171 bilion.

Memandangkan Britain tidak memiliki program pembinaan kapal selam berkuasa nuklear yang besar, maka Australia mengharapkan kapal selam nuklearnya akan datang daripada limbungan-limbungan kapal Amerika Syarikat.

Kapal Selam
Kapal Selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat.

 

Australia menaruh harapan yang tinggi untuk memperolehi kapal selam berkuasa nuklear daripada Amerika Syarikat, yang sedang cuba meningkatkan pegangan kapal selam nuklearnya kepada kira-kira 60 buah untuk bersaing dengan China dan Russia.

Bagaimanapun laporan kepada Kongres Amerika Syarikat beberapa bulan yang lepas menyatakan bahawa usaha Washington untuk meningkatkan pegangan kapal selam nuklearnya kepada 60 buah sedang bergelut dengan masalah.

Laporan kepada kongres itu menyatakan bahawa program pembinaan kapal selam Amerika Syarikat sedang bergelut dengan beberapa masalah seperti kekurangan alat ganti, kelewatan penyelenggaran bagi kapal-kapal selam nuklear sedia ada dan kebimbangan tentang kemampuan limbungan kapal negara itu untuk meningkatkan kapasitinya.

Kesemua masalah ini termasuk kelewatan akibat pandemik COVID-19 telah menyukarkan usaha Washington untuk meningkatkan pembinaan kapal-kapal selam nuklear untuk tentera lautnya.

Ini ditambah pula kapal-kapal selam konvensional kelas-Collins Australia bakal ditamatkan perkhidmatannya, yang “memeningkan” lagi tentera laut negara Oceania itu.

USS Ohio
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Ohio Tentera Laut Amerika Syarikat.

 

Pemerhati pertahanan di Australia mempersoalkan, sekiranya Washington sendiri bergelut untuk memenuhi sasarannya sendiri untuk meningkatkan bilangan kapal selam nuklearnya, bagaimana pula ia mampu membekalkan Australia dengan kapal selam nuklear.

Sudah tentu keutamaan limbungan-limbungan kapal Amerika Syarikat adalah untuk memenuhi permintaan daripada tentera lautnya sendiri.

Laporan kepada Kongress itu menyatakan bahawa Tentera Laut Amerika Syarikat akan hanya mempunyai 46 buah kapal selam nuklear pada tahun 2028 dan bukan 60 buah sebagaimana yang disasarkan sebelum ini.

Washington hanya dijangka mampu mencapai sasaran pemilikan 60 buah kapal selam nuklear itu pada pertengahan tahun 2050-an.

Amerika Syarikat dikatakan cuba meningkatkan kapasiti pembinaan kapal-kapal selam nuklearnya, tetapi negara kuasa besar itu dijangka akan bergelut untuk mencapai sasaran pemilikan 60 buah kapal selam nuklear itu untuk beberapa dekad akan datang.

Malah usaha Washington untuk membina lebih banyak kapal-kapal selam nuklear kelas-Virginia turut berhadapan dengan kelewatan selepas ia dirudung dengan pelbagai masalah.

Queen Elizabeth
Kapal HMS Queen Elizabeth dan kapal selam nuklear kelas-Astute Britain di Laut Mediterranean.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Persoalannya kini adalah, dimana Australia mahu mendapatkan lapan buah kapal selam berkuasa nuklear yang disasarkannya menjelang tahun 2030 ini?

Tidak banyak negara di dunia ini memiliki kemampuan untuk membina kapal selam berkuasa nuklear.

Ia tidak boleh berpaling kepada Perancis, apatah selepas Australia membatalkan kontrak pembinaan 12 buah kapal selam diesel-elektrik dengan Paris.

Pembatalan itu adalah selepas Australia melahirkan “kebimbangan” tentang kemampuan kapal-kapal selam buatan Perancis dalam menangani peningkatan ancaman China di Indo-Pasifik dan Laut China Selatan.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata negara itu mempunyai “kebimbangan yang amat mendalam” terhadap kemampuan kapal selam konvensional yang dipesannya daripada Perancis dalam memenuhi kehendak strategik negara itu, terutamanya apabila berdepan dengan Beijing.

Australia menandatangani perjanjian dengan Perancis pada 2016 untuk membekalkan 12 buah kapal selam konvensional bernilai US$40 bilion.

Perancis yang marah dengan keputusan Australia itu mendakwa Washington dan London sebagai “penipu” kerana merampas kontrak pertahanan paling besar pernah diraih oleh syarikat negara itu. — DSA

 

 

Comments
Loading...