Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

70 Krew Kapal Selam China Maut Pada 2003, Apa Yang Berlaku?

Ketika kejadian, kapal selam yang malang itu sedang melaksanakan latihan anti-kapal selam yang berbahaya dipanggil "silent running" di kawasan perairan berhampiran Pulau Changshan di Laut Kuning, di antara Korea Utara dengan Wilayah Shandong di China.

2,009

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 25 April 2003, sekumpulan nelayan China yang sedang menangkap ikan terjumpa periskop di tengah-tengah lautan dan melaporkannya kepada pihak tentera negara itu yang kemudiannya menghantar dua buah kapal perangnya untuk memeriksa periskop yang akhirnya dipastikan adalah milik sebuha kapal selam negara itu.

Pada mulanya, Tentera Laut China menjangkakan bahawa periskop itu adalah milik sebuah kapal selam musuh, sama ada kapal selam daripada Korea Selatan atau Jepun yang sedang di dalam misi perisikan di dalam perairan China.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mereka amat terperanjat apabila mendapati periskop itu dimiliki oleh kapal selam mereka sendiri iaitu kapal selam kelas-Ming dengan nombor pengenalan “361.”

kapal selam
Periskop kapal selam

 

Kapal selam kelas-Ming ini adalah kapal selam berteknologi lama yang direkabentuk berdasarkan rekabentuk kapal selam kelas-Romeo Russia.

Pemeriksaan lanjut terhadap kapal selam yang tersadai di tengah-tengah lautan itu lebih telah membawa penemuan yang menyedihkan selepas mereka telah menemui jasad 70 krew kapal selam diesel/elektrik itu  termasuk seorang pegawai kanan tentera laut negara itu dikenali dengan nama Komodor Chen Fuming.

Insiden membabitkan kapal selam kelas-Ming “361” itu adalah di antara insiden terbesar membabitkan tentera China pada waktu aman.

Bagaimanapun maklumat terperinci mengenai insiden  itu masih tidak diketahui memandangkan negara China  “amat berahsia” tentang apa yang berlaku di dalam angkatan tenteranya terutama yang melibatkan insiden-insiden kemalangan membabitkan anggotanya.

Diberitakan, selain membawa krew biasanya, kapal selam itu turut membawa 13 pelatih daripada akademi tentera laut China.

 

Kapal selam
Kapal selam kelas-Ming China

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar China, ketika kapal selam itu sedang menjalani latihan di perairan Pulau Changshan di Laut Kuning, kapal selam “361” itu telah mengalami masalah mekanikal sehingga menyebabkan ia kehilangan kuasanya.

Apa yang diketahui adalah, ketika kejadian, kapal selam yang malang itu sedang melaksanakan latihan anti-kapal selam yang berbahaya di kawasan perairan berhampiran Pulau Changshan di Laut Kuning di antara Korea Utara dengan Wilayah Shandong di China.

Kapal selam malang itu didakwa sedang melaksanakan latihan dipanggil “silent running” yang membawa maksud operasi halimunan bagi kapal selam.

Objektif utama latihan “silent running” itu adalah untuk mengelak pengesanan oleh passive sonar milik kapal selam musuh dengan menghapuskan sebarang bunyi seperti menutup alatan tidak penting manakala krew dikehendaki berehat dan elak daripada menghasilkan sebarang bunyi.

Kelajuan kapal selam itu diperlahankan kepada minimum untuk mengurangkan bunyi kipas kapal selam.

Kapal Selam

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Selama 10 hari, kapal selam “361” milik China itu tidak membuat sebarang perhubungan radio dengan  pangkalannya menyebabkan pihak berkuasa tidak menyedari bahawa kapal selamnya itu sedang  berhadapan dengan situasi “hidup atau mati” akibat masalah teknikal yang dihadapinya.

Itu adalah satu daripada teori yang sering dimainkan oleh penganalisis ketenteraan China dan negara luar berhubung insiden yang masih diselubungi misteri.

Satu lagi teori yang sering didakwa sebagai punca insiden malang itu adalah kapal selam “361” itu telah mengalami kebocoran menyebabkan air laut telah bercampur dengan asid bateri milik kapal selam itu  yang kemudiannya menghasilkan gas klorin sehingga meracun krew-krew yang berada di dalam kapal selam itu.

Dalam inkuiri yang dijalankan selepas kemalangan itu, seramai lima orang pegawai kanan Tentera Laut China telah dibuang kerja. — DSA

 

Comments are closed.