Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Filipina Kesan Tiga Kapal Perang China Di Dalam Perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE)

Kapal perang kelas Houbei Type 022 ini adalah daripada jenis kapal serang laju berbentuk katarmaran yang berkeupayaan melancarkan peluru berpandu anti kapal.

0 2,284

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak tentera Filipina telah mengesan kehadiran tiga buah kapal perang China daripada kelas Houbei Type 022 sedang berlabuh di Mischief Reef (Panganiban Reef) yang terletak di bahagian barat Filipina.

Kapal perang kelas Houbei Type 022 ini adalah daripada jenis kapal serang laju berbentuk katarmaran yang berkeupayaan melancarkan peluru berpandu anti kapal.

Mischief Reef
Mischief Reef

Ia juga dikatakan halimunan.

Kehadiran kapal-kapal perang China di Mischief Reef itu menunjukkan sikap agresif Beijing untuk terus menuntut sebahagian besar Laut China Selatan termasuk struktur di atas permukaan walaupun dibantah oleh negara-negara serantau dan antarabangsa.

Mischief Reef itu dikatakan terletak di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina dan terletak berhampiran dengan Kepulauan Spratly dan tidak jauh daripada Pulau Palawan.

Kapal perang Houbei ini disifatkan sebagai generasi terbaru kapal serang laju tentera laut China yang mampu belayar selaju 70km sejam berbentuk katamaran untuk mengatasi ombak.

Pihak tentera Filipina mengesan kehadiran ketiga-tiga buah kapal serang laju Houbei bersama kapal bekalan “Dayun” di Mischief Reef  pada 29 Mac yang lalu.

Houbei
Kapal serang laju kelas-Houbei Type 022

 

Pakar maritime Filipina Dr Jay Batongbacal mengatakan kehadiran kapal-kapal serang laju Houbei di Mischief Reef itu menunjukkan kemampuan tentera laut China bukan sahaja untuk mempertahankan terumbu karang itu tetapi juga untuk melakukan serangan terhadap musuh.

Batongbacal mengatakan kapal-kapal serang laju itu boleh digunakan untuk menahan mana-mana kapal asing yang menggunakan Laut China Selatan tanpa kebenaran China.

Portal berita nasionalis China, Global Times mengatakan, kapal serang laju Houbei bukan sahaja untuk pertahanan pesisir pantai tetapi ia juga mampu melancarkan serangan terhadap kapal-kapal yang lebih besar.

Pihak tentera China nampaknya sedang mengkaji sama ada untuk menggunakan kapal serang laju Houbei ini untuk operasi-operasi di laut dalam.

Kapal serang laju Type 022 Houbei ini juga pernah terlibat dalam latihan besar-besaran tentera laut China di Laut China Selatan pada tahun lepas yang menggunakan senario peperangan sebenar di perairan yang amat penting bagi perdagangan dunia itu.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...