Kapal Friget Kelas-Jinnah Pakistan Bakal Dilengkapi Peluru Berpandu Supersonik ASBM SMASH
Direkabentuk sebagai kapal friget pelbagai guna, kapal friget kelas-Jinnah itu akan dilengkapi dengan sensor, sistem persenjataan terkini dan juga sistem peluru berpandu supersonik SMASH yang dibangunkan dalam negara untuk misi-misi anti-kapal dan anti-permukaan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Pakistan akan melancarkan kapal friget yang direkabentuk dan dibuatnya sendiri dalam negara tidak lama lagi, dalam usahanya untuk memodenkan tentera lautnya dan memastikan ia berkemampuan menghasilkan peralatan pertahanannya sendiri.
Ketua Staf Tentera Laut Laksamana Naveed Ashraf mengesahkan bahawa kapal friget seberat 3,500 tan itu akan dilancarkan tidak lama lagi, memperkukuhkan lagi Tentera Laut Pakistan dengan kapal-kapal perang yang berkeupayaan tinggi.
Direkabentuk sebagai kapal friget pelbagai guna, kapa friget kelas-Jinnah itu akan dilengkapi dengan sensor, sistem persenjataan terkini dan juga sistem peluru berpandu ballistik anti-kapal (ASBM) supersonik SMASH yang dibangunkan dalam negara untuk misi-misi anti-kapal dan anti-permukaan.
Dengan lapan buah kapal friget kelas-Jinnah akan dibina untuk Tentera Laut Pakistan, ia bakal memainkan peranan penting dalam mengukuhkan lagi pertahanan maritim negara Asia Selatan itu.
Ia direkabentuk untuk melaksanakan pelbagai peranan kombat termasuk peperangan anti-permukaan, peperangan anti-kapal selam dan pertahanan udara.
Pembinaan kapal perang itu adalah berdasarkan kepada pengalaman yang ditimba daripada kerjasama Pakistan dan Turkiye dalam pembinaan kapal-kapal korvet di dalam program MILGEM.

Program MILGEM itu telah memberikan jurutera-jurutera Pakistan untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang rekabentuk dan pembinaan kapal-kapal perang, sekaligus membolehkan negara itu menjadi lebih berdikari dalam pembuatan kapal-kapal tentera laut.
Antara ciri paling utama dalam program pembinaan kapal friget kelas-Jinnah itu adalah integrasi sistem peluru berpandu SMASH, peluru berpandu supersonik yang boleh melaksanakan serangan terhadap kapal-kapal serta sasaran darat.
Dengan kemampuan untuk membedil sasaran sejauh 350km dan meluncur selaju lebih daripada Mach 2.5, peluru berpandu supersonik SMASH itu memberikan Pakistan kuasa deterren yang kukuh terhadap aset-aset tentera laut musuh.
Kemampuan Maneuverable Reentry Vehicle (MaRV) yang dimiliki oleh peluru berpandu supersonik SMASH itu memastikan ketepatan dalam bedilannya, sekaligus memastikan ia adalah sistem persenjataan yang berkesan terhadap misi untuk memusnahkan sasaran yang diperkukuh dan dikawal rapi.
Kapal friget kelas-Jinnah Tentera Laut Pakistan itu akan turut dilengkapi dengan Vertical Launch System (VLS) yang canggih bagi membolehkannya melancarkan peluru-peluru berpandu bagi misi pertahanan udara dan juga misi anti-permukaan.
Sistem meriam yang moden juga akan melengkapi kapal friget itu bagi mempertahankan kapal daripada ancaman peluru berpandu dan dron-dron musuh.
Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan sistem sonar yang moden, sistem torpedo bagi memberikannya kemampuan untuk menangani musuh daripada setiap dimensi.
Pada November tahun lepas, Tentera Pakistan telah melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu ballistik anti-kapal (Anti-Ship Ballistic Missile ASBM) terbaru miliknya dinamakan SMASH.
Tidak banyak maklumat tentang ujian peluru berpandu ballistik anti-kapal milik Pakistan itu, tetapi kenyataan yang dikeluarkan menyatakan bahawa peluru berpandu itu “dilengkapi dengan sistem navigasi moden dan ciri-ciri manuver yang tinggi.
Peluru berpandu terbabit dilancarkan daripada salah sebuah kapal friget kelas-Zulfiquar (F-22P).
Dengan jarak bedilan mencecah 350km, peluru berpandu ballistik anti-kapal “SMASH” (dipanggil P282) meningkatkan kemampuan serangan dan pertahanan dimiliki oleh Tentera Laut Pakistan terutamanya dalam Anti-Area Access Denial.
Selain berkemampuan membedil sasaran darat dan laut, teknologi navigasi membolehkannya mengubah arah dan kelajuan ketika dalam penerbangan, menjadikannya sistem peluru berpandu yang sukar untuk dipintas oleh sistem pertahanan udara.

Peluru berpandu ballistik anti-kapal “SMASH” memperkuatkan lagi keseimbangan strategik Pakistan di kawasan Lautan Hindi.
Peluru berpandu ballistik anti-kapal dibangunkan oleh Pakistan itu berkongsi spesifikasi yang sama dengan peluru berpandu ballistik anti-kapal CM-401 yang dibangunkan oleh China, berkemampuan membedil kapal-kapal bersaiz besar dan sederhana.
Kerjasama erat antara Pakistan dan China dalam membangunkan teknologi ketenteraan membuktikan hubungan pertahanan yang rapat antara kedua-dua negara.
Eksport persenjataan China ke Pakistan adalah aspek dasar luar yang penting buat Beijing, sekaligus membenarkan negara Asia Selatan itu meningkatkan kemampuan ketenteraannya.
Kerjasama yang rapat di antara kedua negara sekutu membolehkan Islamabad memiliki sistem persenjataan halimunan, tepat dan laju, dimana ia adalah sukar diperolehi jika ia bergerak berseorangan tanpa menyekutukan dirinya dengan kuasa besar seperti China.
Friget Kelas Jinnah (Pakistan) – Spesifikasi Teknikal Ringkas
Friget kelas Jinnah (Jinnah-class frigate) merupakan kapal perang generasi baharu yang sedang dibangunkan untuk Tentera Laut Pakistan (Pakistan Navy) sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempertingkatkan keupayaan armada permukaan mereka. Kapal ini dijangka memiliki ciri-ciri reka bentuk halimunan (stealth) yang canggih dengan teknologi peperangan moden.
Spesifikasi Umum (Anggaran):
-
Panjang: Sekitar 140-150 meter
-
Berat Sesaran: Lebih 4,000 tan (anggaran)
-
Kelajuan Maksimum: 28+ knot
-
Jarak Operasi: 6,000 batu nautika pada kelajuan ekonomi
-
Krew: Sekitar 150-200 orang
Sistem Persenjataan:
-
Peluru Berpandu: Sistem peluru berpandu anti-kapal dan peluru berpandu jarak sederhana untuk pertahanan udara
-
Meriam Utama: Kaliber 76mm atau 127mm
-
Sistem CIWS: Close-In Weapon System (CIWS) untuk pertahanan jarak dekat
-
Torpedo: Pelancar torpedo untuk peperangan anti-kapal selam
Sistem Sensor dan Elektronik:
-
Radar pelbagai fungsi AESA
-
Sistem sonar terpasang di badan kapal dan towed array sonar untuk pengesanan bawah air
-
Sistem peperangan elektronik (EW) terkini
Ciri-ciri Lain:
-
Keupayaan untuk mengoperasikan helikopter maritim dan UAV
-
Reka bentuk modular untuk fleksibiliti misi
-
Reka bentuk siluman untuk mengurangkan jejak radar dan inframerah
