Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mengapa Lapangan Gas Kasawari Milik Petronas Jadi Sasaran China?

Kapal-kapal pengawal pantai China termasuk kapal seberat 12,000 tan digelar "The Monster"  “mensasarkan” projek pembangunan Lapangan Gas Kasawari, yang merupakan lapangan gas luar pantai yang sedang dibangunkan oleh syarikat minyak kebangsaan Malaysia di dalam kawasan perairan ZEE negara di Laut China Selatan.

0 17,846

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kehadiran berterusan kapal-kapal pengawal pantai China di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara di luar pantai Sarawak, sememangnya didorong oleh projek pembangunan lapangan gas mega bernilai berbilion-bilion Ringgit yang sedang dilaksanakan oleh syarikat minyak kebangsaan, Petronas.

Kapal-kapal pengawal pantai China termasuk kapal seberat 12,000 tan digelar “The Monster”  “mensasarkan” projek pembangunan Lapangan Gas Kasawari, yang merupakan lapangan gas mega luar pantai yang sedang dibangunkan oleh syarikat minyak kebangsaan Malaysia di dalam kawasan perairan ZEE negara di Laut China Selatan.

Petronas Carigali, anak syarikat penuh Petronas merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan dan adalah operator Lapangan Gas Kasawari itu.

Kasawari
Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang diusahakan oleh PETRONAS.

 

Ditemui pada Novermber 2011, Lapangan Gas Kasawari itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.

Penemuan Lapangan Gas Kasawari oleh Petronas itu hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport gas asli dibekukan (Liquified Natural Gas – LNG) terbesar dunia. 

Dijangka mula beroperasi pada tahun ini, lapangan gas mega itu bakal menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas setiap hari dan 3.5 juta tong kondensat setiap hari.

Gas yang diekstrak daripada Lapangan Gas Kasawari itu akan dihantar menggunakan paip untuk diproses di Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

Kompleks LNG Petronas di Bintulu itu terdiri daripada sembilan keretapi produksi (production trains) dengan kapasiti keseluruhan mencecah 29.3 juta tan setahun (million tonnes per annum –Mtpa).

Ia adalah di antara kemudahan produksi LNG terbesar di dunia.

Kasawari
Platform di Lapangan Gas Kasawari

 

Lapangan Gas Kasawari terletak di Laut China Selatan di luar pantai Sarawak di Malaysia. Lapangan gas itu terletak di perairan dengan kedalaman airnya mencecah 108 meter di dalam Blok SK316 kira-kira 200km di utara Bintulu, Sarawak.

Lapangan gas mega ini terletak di gugusan Beting Patinggi Ali dan kapal-kapal pengawal pantai China memang gemar “singgah” di kawasan perairan ini.

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), pada tahun lepas sahaja kapal-kapal pengawal pantai China menghabiskan masa sebanyak 316 hari daripada 365 hari dalam setahun di gugusan Beting Patinggi Ali itu.

Blok SK316 yang menempatkan Lapangan Gas Kasawari itu juga mengandungi lapangan NC3 dan NC8.

Blok SK316 menempatkan beberapa penemuan gas berskala besar dan prospek eksplorasi dengan tahap kandungan karbon dioksida yang tinggi.

The Monster
“The Monster” aka kapal pengawal pantai China, CCG 5901 sering menceroboh kawasan EEZ Malaysia.

 

Pembangunan Lapangan Gas Kasawari itu turut melibatkan penggunaan teknologi tinggi untuk menangani isu tahap Karbon Dioksida yang tinggi ketika menghasilkan gas itu.  

Pelan pembangunan empat-fasa Lapangan Gas Kasawari termasuklah Central Processing Platform seberat 47,000 tan, Wellhead Platform seberat 8,600 tan dan struktur Flare.

Central Processing Platform akan dihubungkan dengan Wellhead Platform dan struktur Flare oleh dua jambatan yang berasingan.

Berupaya memproses 900 juta kaki padu gas dalam sehari, Central Processing Platform milik lapangan gas Kasawari itu dipercayai adalah yang plaform luar pantai paling berat dan paling besar di Malaysia.

Lapangan Gas Kasawari adalah lapangan gas “sour field” yang mengandungi tahap karbon dioksida yang tinggi.

Selain usaha-usaha mengekstrak gas asli di Lapangan Gas Kasawari itu, terdapat juga projek Carbon Capture Storage (CCS) bernilai RM4.5 bilion yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara di lapangan gas mega di perairan ZEE negara itu.

Kapal China
(kredit pembaca Defence Security Asia)

 

Projek CCS multi-bilion ringgit itu merupakan fasa kedua pelan pembangunan Lapangan Gas Kasawari itu dan merupakan usaha bersejarah oleh Petronas dalam usahanya untuk nyah Karbon Dioksida terutamanya bagi 900 juta kaki padu gas asli yang bakal dihasilkannya sehari bermula pada tahun ini.

Apabila siap kelak, projek CCS di Lapangan Gas Kasawari itu akan menempatkan platform penyimpanan CCS luar pantai terbesar di dunia.

Projek CCS di lapangan gas mega itu yang dijangka siap sepenuhnya pada2025 dilihat sebagai pemangkin kepada keseluruhan sektor perkhidmatan, peralatan minyak dan gas (OGSE). — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...