Kebakaran Kecil Di KD Laksamana Muhammad Amin – Bomba Perak
"Kebakaran membabitkan bahagian bilik penyimpanan peluru kapal perang jenis korvet F136. Bagaimana ketika kejadian tiada peluru di situ dan anggaran kebakaran adalah 10 peratus." -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Satu kebakaran kecil telah berlaku di kapal KD Laksamana Muhammad Amin Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang menjalani kerja-kerja refit di Grade One Marine Shipyard, Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini, pagi Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.03 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan bahagian bilik penyimpanan peluru kapal perang jenis korvet F136. Bagaimana ketika kejadian tiada peluru di situ dan anggaran kebakaran adalah 10 peratus.

“Tindakan pemadaman dilakukan oleh Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) pelabuhan, manakala pasukan bomba membuat ‘ventilation’.
Katanya, operasi terkawal jam 10.25 pagi dan operasi pemadaman masih berjalan.
Kenyataan media sosial TLDM sebelum ini menyatakan bahawa kapal KD Laksamana Muhammad Amin dari Skuadron Korvet Ke 24 sedang menjalani pasang pulih (refit) di Grade One Marine Shipyard Sdn Bhd.
Di atas inisiatif luar kotak (out of the box) warga the Navy People dan Kementerian Pertahanan, pelaksanaan refit KD Laksamana Muhammad Amin adalah amat unik.
Diantara keunikan yang dimaksudkan ialah pelaksanaan “repowering” serta penukaran sebahagian besar badan kapal (hull) menggunakan konsep re-hull.

“Repowering” adalah skop perkhidmatan selenggaraan melibatkan penggantian kesemua jentera utama, kotak gear, shafting, propeller dan set janakuasa termasuk switchboard serta kabel berkaitan.
Manakala bagi konsep “re-hull, blok hull yang baharu dibina dan sebahagian peralatan yang terdapat di badan kapal yang lama dibawa keluar, dirombak pulih dan dipasang di hull baharu tanpa mengubah sepenuhnya reka bentuk asal.
Comments are closed.