Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MNEK23, Platform TLDM Perkukuh Hubungan Antarabangsa

Edisi keempat Multilateral Naval Exercise Komodo (MNEK 2023) ini telah melibatkan sebanyak 36 negara termasuklah Malaysia yang diwakili KD KELANTAN PV175 dan KD KEDAH.

0 1,103

 

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Latihan non-perang terbesar yang dikenali sebagai Multilateral Naval Exercise Komodo atau singkatannya #MNEK2023 menutup tirai secara rasmi semalam di Makassar, Indonesia.

Edisi keempat ini telah melibatkan sebanyak 36 negara termasuklah Malaysia yang diwakili KD KELANTAN PV175 dan KD KEDAH.

Kedua buah aset daripada Skuadron Kapal Peronda (PV) ke-17 ini telah memulakan pelayaran pada 3 Jun dan tiba di Makassar keesokan harinya.

TLDM

Dalam siri ini, Malaysia berperanan sebagai ‘observer’ dan turut bergiat aktif dalam segala aktiviti yang dirancang.

Majlis pembukaan yang gilang gemilang telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Yudo Margono.

Dengan tema, ‘Partnership To Recover and To Rise Stronger’, latihan mega ini memfokuskan kepada kerjasama angkatan laut serantau di samping memperkasakan interoperabiliti antara angkatan laut dalam menghadapi bencana alam demi mempertahankan kestabilan dan keamanan sejagat.

Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy, Panglima Armada Timur telah turut serta dalam acara yang berlangsung selama empat hari ini.

Beliau mewakili barisan kepimpinan tertinggi TLDM telah berkongsi pendirian serta pandangan strategik TLDM dalam beberapa program rasmi seperti Mesyuarat Bilateral antara negara serta Simposium Keselamatan Maritim Antarabangsa (IMSS).

TLDM

Warga #NavyPeople yang mengikuti pelayaran kali ini tidak hanya terlibat dalam Perbarisan Armada (IFR), malahan turut berpeluang mempromosikan kebudayaan Malaysia yang penuh warna warni melalui penyertaan dalam ‘City Parade’, Persembahan Kebudayaan serta Pertandingan Memasak di mana chef-chef TLDM turut membanggakan apabila meraih tempat kedua antara negara yang bertanding.

Demi menyulam kesepaduan antara peserta, warga turut berpeluang menyertai sukan rakyat dan pelbagai acara lain seperti ‘Medical Civic Action Program’ (MEDCAP) dan ‘Engineering Civic Action Program’ (ENCAP).

TLDM positif untuk terus memperkukuh hubungan diplomasi pertahanan bersama TNI-AL dan negara lain dengan mengambil bahagian dalam pelbagai eksesais bersama.

Ruang dan peluang terus dimanfaatkan bagi meningkatkan interoperabiliti dan profesiome TLDM. – – DSA

Comments
Loading...