Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal-Kapal Selam Nuklear Russia “Berkumpul” Hanya 60km Daripada Sempadan Norway

Kehadiran aset bawah permukaan dengan keupayaan strategik ini mencerminkan peningkatan aktiviti maritim Russia di kawasan Artik, satu wilayah yang semakin menjadi tumpuan geopolitik akibat kepentingan sumber asli serta laluan perkapalan yang semakin terbuka akibat perubahan iklim.

0 29,544
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pada awal Mac lalu, imej-imej satelit telah menunjukkan kehadiran lima buah kapal selam milik Armada Utara Tentera Laut Rusia di pangkalan tentera laut terbesar negara itu, Zapadnaya Litsa, yang terletak di Semenanjung Kola, hanya kira-kira 60km daripada sempadan Norway.
Antara kapal selam yang dikesan termasuk tiga unit kelas Oscar II, sebuah kapal selam kelas Yasen, serta sebuah kapal selam moden kelas Yasen-M.
Kehadiran aset bawah permukaan dengan keupayaan strategik ini mencerminkan peningkatan aktiviti maritim Russia di kawasan Artik, satu wilayah yang semakin menjadi tumpuan geopolitik akibat kepentingan sumber asli serta laluan perkapalan yang semakin terbuka akibat perubahan iklim.
Kapal selam Oscar II, misalnya, direka untuk melancarkan peluru berpandu kruis anti-kapal, sementara kelas Yasen dan Yasen-M adalah kapal selam berkuasa nuklear yang mampu melaksanakan operasi serangan jarak jauh dengan peluru berpandu hypersonik.
Perkembangan ini berpotensi meningkatkan ketegangan antara Russia dan negara anggota NATO, khususnya Norway, yang berkongsi sempadan maritim dengan Russia dan menjadi sebahagian daripada strategi pertahanan Atlantik Utara.
Pangkalan laut Zapadnaya Litsa, yang terletak hanya 60 kilometer dari wilayah NATO, merupakan pangkalan strategik bagi Armada Utara Tentera Laut Rusia.
Pangkalan ini memainkan peranan penting sebagai lokasi utama operasi kapal selam berkuasa nuklear Russia, sekali gus mengukuhkan kehadiran Moscow di perairan Artik yang semakin menjadi medan persaingan kuasa besar.
Oscar
Kapal selam kelas-Oscar
Pangkalan Zapadnaya Litsa terletak di dalam Fjord Litsa, di titik paling barat Semenanjung Kola, yang merupakan sebahagian daripada wilayah utara Russia.
Pangkalan ini berada kira-kira 120 kilometer dari Murmansk dan hanya 45 kilometer dari sempadan Norway, menjadikannya lokasi strategik bagi operasi maritim Russia di kawasan Artik.
Pangkalan ini merangkumi empat kemudahan tentera laut utama, iaitu Malaya Lopatka, Teluk Andreyeva, Bolshaya Lopatka, dan Nerpichya.
Kemudahan ini berfungsi sebagai pusat penyelenggaraan, penempatan dan operasi kapal selam berkuasa nuklear, termasuk kapal selam penyerang serta kapal selam peluru berpandu ballistik yang menjadi komponen utama dalam Triad Nuklear Russia.
Kapal selam peluru berpandu kelas Oscar II (Projek 949A/kelas Antey) direka khusus untuk menyerang kumpulan pertempuran kapal pengangkut pesawat NATO.
Kapal selam bersaiz besar ini dilengkapi dengan peluru berpandu pelayaran jarak jauh, menjadikannya aset strategik dalam doktrin peperangan maritim Russia.

Submarines

Bagi menangani kekangan sumber yang dihadapi selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, Tentera Laut Russia pada awal 1990-an berusaha mengekalkan keupayaan teras armada kapal selamnya.
Langkah ini termasuk program pemodenan dan penyelenggaraan kapal selam bagi memastikan Russia terus memiliki keupayaan serangan maritim yang mampu mengimbangi kehadiran tentera laut Barat, khususnya di perairan Artik dan Atlantik Utara.
Kapal selam kelas Oscar II mempunyai panjang 155 meter, mampu menyelam sehingga kedalaman 600 meter, dan mempunyai berat sekitar 24,000 tan.
 Setiap kapal selam ini direka untuk menempatkan sejumlah 107 krew, termasuk pegawai dan kelasi, bagi mengendalikan sistem persenjataan serta operasi di bawah permukaan dalam jangka masa yang panjang.
Kapal selam ini dilengkapi dengan 24 peluru berpandu kruis SS-N-19 Granit (kod nama NATO: “Shipwreck”) yang mempunyai jangkauan sehingga 550 kilometer.
Peluru berpandu ini mempunyai panjang 10.5 meter dan berat sekitar 6.9 tan, dengan peledak seberat 1,000 kilogram yang mampu memberikan daya hentaman tinggi terhadap sasaran maritim utama, termasuk kapal induk.
Oscar-Class Sub
Kapal selam kelas-Oscar
SS-N-19 Granit juga direka untuk beroperasi pada kelajuan Mach 1.5, menjadikannya senjata strategik berkelajuan tinggi yang sukar dipintas oleh sistem pertahanan udara musuh.
Keupayaan ini menjadikan kelas Oscar II sebagai ancaman utama kepada armada kapal perang NATO, khususnya dalam senario pertempuran maritim berskala besar.
Kapal selam kelas “Yasen-M”  yang mempunyai berat 14,300 tan yang digeruni oleh Barat menjadi lebih berbahaya apabila syarikat pembuatnya melengkapkan kapal selam berkuasa nuklear Russia itu dengan peluru berpandu hypersonik “Tsirkon” yang mampu terbang selaju Mach 9 dan membedil sasaran sejauh 1,000km.
Negara-negara Barat mengeruni kapal selam “Yasen-M” milik Russia itu kerana kemampuannya untuk bergerak dengan amat senyap,sekaligus menyukarkan pihak musuh untuk mengesannya selain dilengkapi dengan pelbagai peluru berpandu untuk menyerang sasaran di laut dan di daratan.
Kapal selam nuklear kelas Yasen-M direka untuk melaksanakan pelbagai misi termasuk menyerang kapal-kapal perang permukaan, kapal selam, dan sasaran di daratan.
Kapal selam Yasen-M yang pertama “Severodvinsk” telah ditauliahkan pada 2013 selepas selepas daripada sedekad ia direkabentuk dan dibina bermula ketika dunia masih lagi berhadapan dengan Perang Dingin.
Kapal selam Yasen-M itu dilengkapi dengan torpedo dan juga peluru berpandu “Kalibr” serta “P-800 Oniks” dan kini peluru berpandu hypersonik “Tsirkon” yang bakal menjadikan kapal selam berkuasa nuklear itu lebih berbahaya kepada musuh-musuhnya.
Yasen
Kapal selam kelas-Yasen-M 
Pada ketika ini, Tentera Laut Rusia mengoperasikan empat kapal selam nuklear kelas Yasen-M – K-560 Severodvinsk, yang ditauliahkan pada 2013 dan berkhidmat dengan Armada Utara, serta K-561 Kazan, yang ditauliahkan pada 2021 dan turut menjadi sebahagian daripada Armada Utara.
Kapal selam Yasen-M ketiga Tentera Laut Rusia – K-573 Novosibirsk – ditauliahkan pada 2021 dan ditugaskan ke Armada Pasifik, manakala K-571 Krasnoyarsk ditauliahkan pada 2023 dan kini berkhidmat dengan Armada Pasifik.
Turut dipanggil kelas-Severodvinsk oleh NATO, kapal selam kelas-Yasen pula seberat 15,200 tan itu diperakui oleh penganalisis pertahanan antarabangsa sebagai antara kapal selam paling berkemampuan di dunia.
Pada tahun 2018, kapal selam kelas-Yasen dikenalpasti sebagai “Severodvinsk” berjaya mengelak daripada dikesan oleh platform-platform Amerika Syarikat selama berminggu-minggu, menurut laporan media.
Leave A Reply

Your email address will not be published.