Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Benarkah F-35B Amerika Miliki DNA Pesawat VTOL Kesatuan Soviet, YAK-141?

Benarkah pesawat F-35B (Vertical Take-Off and Landing) yang dibangunkan oleh Lockheed Martin berkemungkinan besar membawa DNA pesawat VTOL Kesatuan Soviet, YAK-141 yang dibangunkan oleh syarikat Yakovlev berikutan kerjasama kedua-dua syarikat selama beberapa tahun (1991-1995).

0 3,168

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada tahun 1975, ketika Kesatuan Soviet masih berkuasa ia telah memulakan program pembangunan pesawat VTOL (Vertical Take-Off and Landing) yang dinamakan YAK-141 “Freestyle”, bagi menyaingi pesawat Super Harrier yang dibangunkan oleh British.

Pesawat VTOL merujuk kepada pesawat yang berkemampuan berlepas dan mendarat secara menegak seperti helikopter.

Kesatuan Soviet mahukan pesawat YAK-141 yang dibangunkannya itu bukan sahaja setanding dengan Super Harrier, tetapi lebih lebih daripada segi kelincahannya (agility), persenjataan dan sistem elektronik dibawanya serta berkelajuan supersonik.

Ia juga mahukan YAK-141 berkemampuan untuk beroperasi lebih jauh.

Dalam ertikata sebenar, Kesatuan Soviet mahukan suatu “lonjakan teknologi” pada pesawat VTOL YAK-141 itu.

Sebenarnya, Kesatuan Soviet telah pun membangunkan pesawat-pesawat VTOL sebelum itu iaitu YAK-36 dan YAK-38 tetapi ia tidak berpuashati dengan keupayaan pesawat terdahulu itu, menyebabkan ia melancarkan satu lagi program pembangunan pesawat VTOL.

Selepas lebih daripada sedekad dibangunkan, akhirnya YAK-141 melakukan penerbangan sulungnya pada 1987 dan pesawat VTOL terbaru Kesatuan Soviet itu telah berjaya memecahkan beberapa rekod penerbangan bagi pesawat VTOL sebagaimana didakwa oleh syarikat yang membangunkannya, Yakovlev.

 Selain itu, YAK-141 juga berjaya mencapai kelajuan supersonic.

YAK-141
YAK-141

 

Bagaimanapun detik-detik indah bagi syarikat Yakovlev dan jurutera-juruteranya tidak berpanjangan kerana pada September 1991, satu daripada dua buah pesawat prototaip YAK-141 itu mengalami kemalangan ketika ia cuba melakukan pendaratan di atas kapal perang Admiral Groshev.

Pesawat YAK-141 itu terbakar dan meletup ketika mendarat di atas kapal perang Kesatuan Soviet itu.

Kemalangan itu juga berlaku pada ketika Kesatuan Soviet sedang berhadapan dengan krisis yang berakhir pada Disember 1991 dengan terbubarnya kesatuan itu.

Tidak lama selepas terbubarnya Kesatuan Soviet dan kejatuhan Komunisme, syarikat Yakovlev juga terpaksa menerima realiti baru perniagaan dimana ia tidak lagi boleh mengharapkan bantuan kewangan daripada negara untuk membangunkan pesawat-pesawat baru.

Untuk meneruskan program pembangunan pesawat VTOL,YAK-141, syarikat terpaksa mengeluarkan belanja yang besar, di mana ia tidak mampu melakukannya dan program pembangunan pesawat VTOL itu terkubur.

yak-141

Bagaimanapun Yakovlev bertuah kerana syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin menjadi penyelamat dan mula “menabur duit” untuk menghidupkan kembali program pembangunan pesawat VTOL, YAK-141.

Sudah pasti tujuan utama “kemurahan hati” syarikat Lockheed Martin menabur duit dalam program pesawat YAK-141 itu adalah untuk mendapatkan teknologi-teknologi kejuruteraan Soviet terutamanya berkenaan sistem pesawat VTOL.

Kedua-dua syarikat, Yakovlev dan Lockheed Martin dikatakan menandatangani perjanjian kerjasama pesawat YAK-141 pada 1991 tetapi hanya didedahkan pada 1995.

Kerjasama kedua-dua syarikat tamat secara rasmi pada 1997.

Perjanjian kerjasama kedua-dua syarikat yang merupakan “musuh” sebelum kejatuhan Kesatuan Soviet itu melibatkan pembiayaan dan juga rancangan untuk menerbangkan satu-satunya pesawat prototaip YAK-141 yang masih tinggal di Pameran Udara Farnborough pada 1992.

F-35B
F-35B oleh Lockheed Martin

 

Lockheed Martin memang tidak mempunyai niat untuk meneruskan program YAK-141, tetapi tujuan utama ia menjalin kerjasama dengan Yakovlev hanyalah bagi membolehkan ia mempunyai akses kepada data-data kritikal tentang teknologi pesawat dan enjin VTOL yang dibangunkan selama bertahun-tahun oleh syarikat Yakovlev ketika ia masih lagi berada di bawah Kesatuan Soviet lagi.

Bukan hanya syarikat Lockheed Martin yang berminat dengan teknologi pesawat VTOL Kesatuan Soviet tetapi pihak pentadbiran angkasa lepas Amerika Syarikat, NASA juga mahu mengetahui dan mempelajarinya.

Ketika syarikat Lockheed Martin mengemukakan varian pesawat F-35 yang mempunyai kemampuan VTOL iaitu F-35B kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat pada 1994, rekabentuk enjin pesawat itu adalah amat berlainan berbanding rekabentuk enjin yang dikemukakannya (kepada Pentagon) sebelum ia menjalin kerjasama dengan Yakovlev.

F-35
F-35B

 

Rekabentuk enjin yang baru untuk F-35B itu dipanggil “ASTOVL Configuration 141”, yang sama ada disengajakan atau tidak sengaja berkemungkinan merujuk kepada pesawat YAK-141.

Kemungkinan besar, data-data daripada ujian pesawat prototaip YAK-141 ketika ia dibangunkan telah digunakan oleh syarikat Lockheed Martin dalam merekabentuk enjin untuk pesawat VTOL, F-35B yang kini digunakan secara meluas oleh Amerika Syarikat dan sekutunya pada ketika ini.

F-35B itu berkemungkinan besar membawa DNA sebuah pesawat VTOL Kesatuan Soviet. — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments
Loading...