Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) KAI Mula “Pasarkan” Pesawat Pejuang Gen 4.5 KF-21 “Boramae” Pada Malaysia

(VIDEO) Walaupun pesawat pejuang generasi 4.5 dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) iaitu KF-21 “Boramae” itu masih lagi dalam proses pembangunan, namun syarikat aeroangkasa Korea Selatan telah pun “memasarkannya” kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

0 10,669

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun pesawat pejuang generasi 4.5 dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) iaitu KF-21 “Boramae” itu masih lagi dalam proses pembangunan, namun syarikat aeroangkasa Korea Selatan telah pun “memasarkannya” kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dipetik sebagai berkata dalam temuramah dengan agensi berita nasional Malaysia, Bernama pada pameran DSA & NATSEC 2024 yang berakhir baru-baru ini, pegawai kanan KAI menyifatkan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” adalah pilihan terbaik kepada TUDM.

“Sudah tentu, saya percaya ia (KF-21 Borame) akan menjadi penyelesaian optimum (kepada TUDM),” kata Pengurus Wilayah KAI untuk Asia Park Shangshin,sambil menambah, buat masa ini KAI masih belum memulakan perbincangan rasmi dengan kerajaan Malaysia berkaitan tawaran pesawat pejuang dibangunkan oleh syarikat Korea Selatan.

Sebelum itu, beliau ditanya sama ada KAI berminat untuk menawarkan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada TUDM, memandangkan TUDM menerusi program pembangunan bercadang menggantikan pesawat-pesawat pejuangnya, Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet pada 2035 dan 2040.

TUDM memiliki 18 buah pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) Sukhoi Su-30MKM buatan Russia dan lapan buah pesawat pejuang pelbagai guna F/A-18D Hornet buatan Amerika Syarikat.

Kedua-dua pesawat pejuang MRCA itu adalah tulang belakang kepada TUDM tetapi telah berusia kerana ia dioperasikan oleh negara lebih daripada dua dekad.

Ditemuramah oleh media tempatan di LIMA 2023 tahun lepas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young juga dengan jelas menyatakan bahawa pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu adalah “ideal fit” untuk TUDM.

Katanya, pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu adalah “lebih daripada mampu”  untuk menggantikan pesawat-pesawat F/A-18D dan Sukhoi Su-30MKM yang bakal dibersarakan oleh TUDM pada 2035 dan 2040 sebagaimana yang digariskan di dalam program CAP 55 (Capability 2055).

“Saya percaya, ya, pesawat KF-21 lebih daripada mungkin mampu untuk menggantikan mereka (F/A-18D dan Su-30MKM) kerana waktu persaraan kedua-dua pesawat itu adalah hampir sama dengan waktu dimana pesawat KF-21 itu akan mula beroperasi,” kata beliau dalam temuramah itu.

Dengan kombinasi FA-50 dengan KF-21, TUDM menurut beliau, akan mempunyai kemampuan sistem pertahanan udara yang amat strategik dan taktikal.

KF-21
KF-21

 

“Pesawat KF-21 (Boramae) adalah pesawat pejuang generasi 4.5 tetapi ia akan mempunyai platform generasi ke-5, bermakna ia bukan sahaja generasi ke-5 tetapi boleh dinaiktaraf kepada pesawat pejuang generasi ke-6 di masa depan.”

“Sebab itulah, saya percaya bahawa pesawat pejuang KF-21 adalah amat ideal untuk TUDM”, kata orang nombor satu KAI itu.

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” terbabit dianggar melibatkan kos US$6.59 bilion (RM26.36 bilion).

KAI merancang untuk membekalkan 40 pesawat KF-21 Block 1 yang direka bentuk untuk misi udara-ke-udara pada 2026, disusuli 80 pesawat KF-21 Block 2 untuk misi udara-ke-darat pada fasa berikutnya.

Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu turut dilaporkan berhasrat untuk memulakan eksport pesawat pejuang KF-21 “Borame” kepada pelanggan berminat selepas memenuhi keperluan ROKAF.

Laporan-laporan media daripada Korea Selatan menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” itu akan mula dibina secara besar-besaran (mass production) pada tahun ini.

KF-21

KAI dilaporkan akan berbelanja sebanyak US$178 juta (RM800 juta) untuk mula membina 40 buah pesawat KF-21 “Boramae” itu.

“Pembinaan secara besar-besaran (mass production) pertama pesawat KF-21 Boramae itu dijangkakan akan mengisi vakuum kekuasaan yang ditinggalkan apabila Tentera Udara Korea Selatan menamatkan pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia,” menurut menteri pertahanan negara itu dalam satu kenyataan Disember lalu.

Menurut KAI, fasa kejuruteraan dan pembinaan pesawat pejuang  KF-21 itu akan akan selesai pada 2026.

Media negara itu, Korea Times menjangkakan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” yang pertama dijangka akan dioperasikan oleh ROKAF pada separuh tahun 2026.

ROKAF bercadang mengoperasikan sehingga 120 buah pesawat pejuang KF-21 “Boramae” menjelang tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang berusianya, F-4 “Phantom” dan F-5 yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu. — DSA

 

Comments
Loading...