KAI, Lockheed Martin Bakal Bangunkan Varian FA-50 Lebih Berkemampuan?
Pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan oleh KAI kepada Malaysia secara amnya dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti “Sniper Advance Targeting Pod,” 20mm gun, peluru berpandu AIM-9, GBU-12 LGB Integration, GBU-38 JDAM (Joint Direct Attack Munitions) dan peluru berpandu AGM-65 Maverick.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Adakah syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) dan Lockheed Martin bakal membangunkan varian pesawat FA-50 yang lebih berkeupayaan untuk ditawarkan negara-negara yang berpotensi di seluruh dunia?
Beberapa hari lepas, syarikat Korea Selatan itu telah menandatangani perjanjian dipanggil “teaming agreement” dengan Lockheed Martin di Texas di mana kedua-dua syarikat pertahanan itu akan menubuhkan sebuah jawatankuasa pemandu (steering committee)
Jawatankuasa pemandu ini sebagaimana dilaporkan oleh portal berita Korea Selatan, “The Korea Times” akan memfokuskan kepada usaha-usaha merekabentuk, menghasilkan dan mempromosi versi dipertingkat pesawat FA-50 dan memasarkannya untuk memenangi projek-projek perolahan tentera Amerika Syarikat.

Perjanjian itu juga akan membolehkan kedua-dua syarikat memasarkan FA-50 kepada seluruh dunia.
Pesawat pejuang ringan FA-50 merupakan varian pesawat latihan T-50 yang dibangunkan secara bersama diantara KAI dan Lockheed Martin, menggunakan beberapa beberapa komponennya termasuk sistem avionik.
Kedua-dua syarikat itu mahu menawarkan pesawat latihan T-50 yang dibangunkan bersama untuk merebut kontrak perolehan pesawat latihan lanjutan Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika Syarikat yang dijangka bermula pada tahun depan dan 2025.
KAI juga merancang untuk memasarkan T-50 untuk memenuhi keperluan FLIT Tentera Udara Kanada.
Tentera Udara Amerika dijangka memesan sehingga 240 buah pesawat latihan manakala Tentera Laut negara itu pula memesan sehinga 220 buah pesawat latihan.

Menurut syarikat Korea Selatan itu, sekiranya ia berjaya memperolehi kontrak tentera Amerika Syarikat, maka ia akan muncul sebagai pembekal pesawat latihan lanjutan terbesar dunia.
Pada ketika ini, KAI telah berjaya mengeksport kira-kira 200 buah pesawat latihan T-50 dan variannya seperti FA-50 kepada lima buah negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Iraq dan Tentera Udara Korea Selatan itu sendiri.
Comments are closed.