Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jurutera Dihukum Mati Kerana Bocor Rahsia Tentang Pesawat Pejuang Gen-5 China, J-35A

Berita itu yang disahkan oleh Kementerian Keselamatan Negara China (Ministry of State Security) menerusi satu kenyataan yang mengesahkan tentang aktiviti memudaratkan negara yang dijalankan oleh jurutera terbabit.

0 1,680
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerana membocorkan rahsia tentang pesawat pejuang halimunan generasi kelima China,  J-35A kepada agensi-agensi perisikan asing, seorang pembantu jurutera bernama “Liu” telah dihukum mati oleh pihak berkuasa China.
Berita itu yang disahkan oleh Kementerian Keselamatan Negara China (Ministry of State Security) menerusi satu kenyataan yang mengesahkan tentang aktiviti memudaratkan negara yang dijalankan oleh jurutera terbabit.
Sebelum ini, kes membabitkan “Liu” itu telah menjadi bahan spekulasi di dalam media-media sosial China.
“Kes yang sekian lama menjadi spekulasi di media sosial China akhirnya disahkan melalui kenyataan rasmi Kementerian Keselamatan Negara (MSS), yang mendedahkan aktiviti Liu serta tahap kebocoran keselamatan yang berlaku.”
Menurut akhbar Global Times yang dimiliki kerajaan China, Liu merupakan bekas pembantu jurutera di sebuah institut penyelidikan tempatan yang fokus terhadap teknologi pertahanan.
Sumber daripada Kementerian Keselamatan Negara mendedahkan bahawa Liu mula berasa tidak puas hati selepas gagal mendapat kenaikan pangkat, yang mendorongnya untuk menyalin dan menyimpan sejumlah besar dokumen sulit berkaitan teknologi pertahanan negara secara rahsia.
Selepas meletakkan jawatan di institut penyelidikan tempatan itu, Liu pada mulanya menyertai sebuah firma pelaburan.
J-35A
J-35A 

 

Liu didakwa telah menghubungi sebuah agensi perisikan asing dan menawarkan maklumat sulit sebagai pertukaran wang.
Bagi melancarkan urus niaga tersebut, beliau memecah dan menyusun dokumen sensitif ke dalam beberapa bahagian sebelum membuat katalog terperinci. Liu juga membuka beberapa akaun dalam talian bagi menerima bayaran secara tersembunyi.
Untuk mengelakkan dikesan, beliau menggunakan kad pengenalan dan kad SIM tanpa nama, selain kerap menukar kaedah komunikasi, serta menggunakan pelbagai identiti samaran dengan kod rahsia yang telah ditetapkan bagi memastikan pertukaran maklumat dilakukan secara sulit, menurut Kementerian Keselamatan Negara sebagaimana dipetik oleh Global Times.
Sepanjang tempoh enam bulan, Liu telah melakukan perjalanan ke beberapa negara, dipercayai membocorkan maklumat pertahanan kritikal China kepada pihak asing.
Bagaimanapun, agensi perisikan asing yang pada awalnya membeli maklumat sulit daripadanya telah bertindak memutuskan hubungan selepas memperoleh data-data dan maklumat berharga pada kos yang rendah.
Liu tidak menghentikan aktiviti pengintipannya, malah memperhalusi taktiknya dan cuba sekali lagi menjalin hubungan dengan ejen perisikan asing.
Tindakannya itu menarik lebih banyak perhatian daripada agensi keselamatan negara China, yang mula memantau setiap pergerakan dan komunikasinya sebelum akhirnya menahannya dalam satu operasi khas.
Menurut Kementerian Keselamatan Negara China, Liu didapati bersalah atas kesalahan mengintip dan membocorkan rahsia negara kepada pihak asing.
Mahkamah menjatuhkan hukuman mati, selain penafian hak politik sepanjang hayatnya, sebagai hukuman setimpal dengan tahap keseriusan jenayah yang dilakukan.
Pihak berkuasa China menegaskan bahawa keselamatan negara kekal sebagai keutamaan utama, sambil memberi amaran bahawa sebarang aktiviti pengintipan atau penyebaran maklumat sulit tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang paling tegas.
Pada Airshow China 2024 yang berlangsung di Zhuhai November lalu,China telah mendedahkan gambar rasmi pertama pesawat pejuang generasi kelima J-35A.
J-35A merupakan pesawat pejuang generasi kelima kedua buatan China selepas J-20 Mighty Dragon, yang tidak dieksport ke luar negara kerana sensitiviti komponen dan teknologinya.
Dengan pesawat pejuang J-35A itu, China juga muncul sebagai negara kedua di dunia selepas Amerika Syarikat yang berjaya membangunkan dua jenis pesawat pejuang generasi kelima iaitu J-35A dan J-20 Mighty Dragon.
Amerika Syarikat juga mempunyai dua jenis pesawat pejuang generasi kelima dan halimunan yang berlainan itu F-35 dan F-22 Raptor.
Pesawat J-35A yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation, merupakan pesawat pejuang halimunan generasi kelima yang direka untuk operasi udara-ke-udara dan udara-ke-darat. 
J-35A
Perbandingan antara J-35A (atas) dengan F-35 (bawah) buatan Amerika Syarikat.
Walaupun spesifikasi teknikal rasmi masih terhad, maklumat yang tersedia termasuk:
Reka Bentuk dan Peranan:
J-35A adalah pesawat pejuang halimunan dua enjin yang mampu beroperasi dalam semua keadaan cuaca. Ia direka untuk misi penguasaan udara dan serangan darat. Pesawat ini adalah pesawat pejuang generasi kelima kedua China selepas J-20 “Mighty Dragon.”
Kelajuan:
Laporan menunjukkan bahawa J-35A mampu mencapai kelajuan sehingga Mach 2.0, melebihi kelajuan maksimum F-35 yang hanya Mach 1.6.
Enjin:
Pesawat ini dilengkapi dengan dua enjin, meningkatkan daya tujahan (thrust) dan keupayaan manuvernya.
Ciri Halimunan (Stealth):
J-35A dilengkapi dengan teknologi halimunan canggih, termasuk radar cross section yang dikurangkan dan ruang senjata dalaman untuk meminimumkan pengesanan musuh.
Avionik dan Sensor:
Pesawat ini dilengkapi dengan avionik dan sistem sensor moden yang direka untuk meningkatkan kesedaran situasi dan keupayaan sasaran.
Varian:
Terdapat dua varian yang dilaporkan: versi darat untuk Tentera Udara Pembebasan Rakyat (PLAAF) dan versi berasaskan kapal pengangkut yang dioptimumkan untuk pelepasan menggunakan catapult bagi Tentera Udara Lautan Pembebasan Rakyat (PLANAF).
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.