Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Agensi Perisikan Asing Dalang Serangan Terhadap Pekerja China Di Pakistan

Dalam serangan itu, sembilan jurutera China dan empat pekerja Pakistan disahkan terbunuh, manakala 27 lagi rakyat negara itu mengalami kecederaan termasuk seorang yang parah.

0 946

(DEFENCE SECURITY ASIA)  — Akhbar milik Parti Komunis China, “Global Times” mendakwa bahawa serangan berani mati kumpulan penganas terhadap sebuah bas membawa jurutera China dan pekerja ke tapak projek Empangan Dasu di Pakistan pada bulan lepas telah didalangi oleh agensi perisikan India.

Dalam serangan itu, sembilan jurutera China dan empat pekerja Pakistan disahkan terbunuh, manakala 27 lagi rakyat negara itu mengalami kecederaan termasuk seorang yang parah.

Dua hari lepas, satu lagi kejadian serangan berani mati yang mensasarkan motorcade kenderaan dinaiki warga China di projek Gwadar Eastbay Expressway telah menyebabkan dua kanak-kanak Pakistan dan seorang warga China cedera.

Kumpulan bersenjata, Balochistan Liberation Army mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terbabit.

Akhbar itu turut mendakwa kumpulan itu terlibat dalam insiden serangan terhadap pejabat konsul-general China di Karachi pada 2018 yang mengakibatkan dua orang anggota polis Pakistan terbunuh.

Kumpulan-kumpulan penganas di Pakistan menurut akhbar nasionalis yang dikatakan adalah jurucakap tidak rasmi kerajaan China, mula mensasarkan pekerja-pekerja China yang bekerja di Pakistan sebagai salah satu cara untuk memberi tekanan kepada kerajaan Pakistan.

“Projek-projek di bawah Belt and Road Initiative (BRI) telah menjadi sasaran kepada kumpulan-kumpulan pengganas di Pakistan, akibat hasutan daripada kuasa-kuasa antarabangsa.”

“Dirantau ini, terdapat di antara agensi-agensi perisikan Amerika Syarikat dan India yang mempunyai sikap bermusuhan dengan BRI telah berusaha untuk menembusi Pakistan. Menghalang pembangunan projek BRI telah menjadi sasaran mereka (agensi-agensi perisikan) untuk menghalang kemaraan China,” kata Global Times.

Hasrat dan objektif agensi-agensi perisikan terbabit kata akhbar terbabit, adalah mempengaruhi dan menghasut kumpulan-kumpulan penganas di Pakistan.

Pakistan
Serangan berani mati terhadap sebuah bas telah membunuh sembilan pekerja China dan empat Pakistan.

 

“Adalah kemungkinan besar agensi-agensi perisikan itu telah mempengaruhi dan menghasut kumpulan-kumpulan penganas di Pakistan. Mereka mungkin telah bekerjasama dalam menyokong kegiatan penganas di negara itu.”

“China harus bersedia untuk berperang secara jangka panjang bersama-sama dengan kerajaan Pakistan,menentang keganasan di Pakistan. China perlu menyokong kerajaan Pakistan dalam usaha mereka untuk membanteras (aktiviti) keganasan,” kata akhbar nasionalis China itu.

Ia juga menyeru kumpulan militan Taliban yang kini berkuasa di Afghanistan supaya bertindak tegas terhadap kumpulan-kumpulan penganas yang ditubuhkan dan beroperasi di negara itu tetapi bergerak aktif di Pakistan pada ketika ini.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...