Bom Pintar Amerika Gagal Temui Sasaran Akibat “Jamming” Sistem EW Russia
Pegawai-pegawai Pentagon mengesahkan kepada media Amerika Syarikat bahawa bom-bom pintar seperti JDAM dan JDAM-ER yang dibekalkan oleh Washington kepada tentera Ukraine telah gagal mengenai sasarannya akibat “gangguan" (jamming) terhadap signal GPS oleh sistem peperangan elektronik tentera Russia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan rahsia oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) yang didedahkan kepada umum minggu lepas telah menyatakan kebimbangan berkenaan kegagalan bom-bom pintar (smart bombs) yang dibekalkan kepada tentera Ukraine dalam memusnahkan sasaran tentera Russia.
Pegawai-pegawai Pentagon mengesahkan kepada media Amerika Syarikat bahawa bom-bom pintar yang dibekalkan oleh Washington kepada tentera Ukraine telah gagal mengenai sasarannya akibat “diganggu” (jamming) oleh sistem peperangan elektronik (Electronic Warfare – EW) tentera Russia.
Sistem peperangan elektronik Russia telah menganggu (jamming) signal GPS (Global Positioning System) yang digunakan oleh bom-bom pintar, menyebabkan kegagalan bom-bom itu mengenai sasaran mereka.
Sejak beberapa bulan lepas, Amerika Syarikat telah membekalkan bom-bom pintar terdiri daripada bom JDAM-ER (Joint Direct Attack Munitions-Extended Range) kepada tentera Ukraine bagi membolehkan mereka menyerang sasaran tentera Russia dengan lebih tepat daripada jarak yang lebih jauh.
Sasaran tentera Russia di Ukraine yang menjadi sasaran bom-bom pintar buatan Amerika Syarikat termasuklah jambatan dan kubu-kubu pertahanan yang diperkukuhkan.
Laporan media Ukraine mengatakan bahawa pesawat-pesawat pejuang tentera Ukraine mula menggunakan bom-bom pintar JDAM-ER pada awal bulan Mac lepas terutamanya di kedudukan tentera Russia di Bakhmut.
Laporan rahsia Pentagon yang didedahkan kepada awam minggu lepas itu memberi contoh bagaimana pesawat-pesawat pejuang Ukraine telah menggugurkan sembilan buah bom pintar JDAM-ER tetapi empat daripadanya gagal menemui sasaran selepas signal GPS bom itu “diganggu” oleh peperangan elektronik tentera Russia.
Laporan itu menyatakan kadar bom-bom pintar itu mengenai sasarannya adalah amat rendah berbanding daripada apa yang dijangkakan mereka, membuktikan bahawa kesan sistem peperangan elektronik tentera Russia terhadap keberkesanan bom pintar dibekalkan oleh Amerika Syarikat itu adalah amat tinggi.

Bom-bom pintar JDAM menggunakan kombinasi sistem panduan INS (Inertial Navigation System) dan GPS serta kit-kit JDAM untuk menukar “bom-bom bodoh” menjadi bom-bom pintar.
Bergantung kepada altitude di mana bom-bom JDAM itu digugurkan daripada pesawat pejuang, bom yang dilengkapi dengan kit standard JDAM boleh membedil sasaran sejauh 24km manakala jika dilengkapkan dengan kit JDAM-ER pula, sasaran sejauh 72km boleh dibedil.
Comments are closed.