Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Waris Sultan Sulu” Mahu Jadikan Malaysia “Tebusan”

Jikalau tuntutan terhadap kerajaan Malaysia berjumlah RM62 bilion oleh lapan individu mengaku sebagai "waris Sultan Sulu" itu berjaya, maka kelapan-lapan individu bakal menjadi “amat kaya” dengan RM62 bilion itu bersamaan dengan 16 peratus daripada belanjawan yang dibentang oleh kerajaan setiap tahun.

0 2,425

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kes tuntutan lapan individu yang mengaku bahawa mereka adalah “waris Sultan Sulu” merupakan suatu penyalahgunaan secara licik proses arbitrasi dan undang-undang antarabangsa, dengan menjadikan sebuah negara berdaulat, Malaysia sebagai “tebusan”.

Menurut laman web https://malaysia-sulucase.gov.my/ yang dilancar dua hari lepas,  penerusan kes tuntutan terhadap Malaysia itu telah menjejaskan reputasi sistem arbitasi antarabangsa.

“Malaysia kini berhadapan dengan perjuangan mendapatkan keadilan di seluruh dunia dan (negara) tidak akan berhenti sehinggalah tuntutan (waris Sultan Sulu) itu dibatalkan,” menurut laman web itu.

sulu
Kumpulan bersenjata Sulu

 

Laman web itu turut menamakan kelapan-lapan individu yang mengaku diri mereka sebagai “waris Sultan Sulu Sultan Jamalul Kiram II” dan melakukan tuntutan berjumlah US$14.9 bilion (RM62 bilion) terhadap kerajaan Malaysia.

Individu-individu itu dikenali sebagai Nurhima Kiram Fornan, Fuad A. Kiram, Sheramar T. Kiram, Permaisuli Kiram – Guerzon, Taj – Mahal Kiram – Tarsum Nuqui, Ahmad Nazard Kiram Sampang, Jenny K.A. Sampang dan Widz – Raunda Kiram Sampang.

Menurut laman web itu juga, mahkamah-mahkamah di Eropah setakat ini tidak berusaha untuk mengesahkan identiti sebenar kelapan-lapan individu yang mendakwa mereka sebagai “waris Sultan Sulu”

Seorang daripada lapan individu, Fuad A.Kiram juga dikenal pasti sebagai antara pengasas Royal Sulu Force (RSF) yang merupakan entiti pengganas terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata Fuad A Kiram telah disenaraikan sebagai pengganas.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa Fuad A Kiram merupakan seorang pengasas RSF.

Sulu

“Kumpulan terbabit sebelum ini sudah diklasifikasikan sebagai entiti pengganas oleh kerajaan,” katanya baru-baru ini.

RSF telah dihukum oleh mahkamah susulan kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah dan diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Malaysia sejak April 2022.

Pencerobohan pada 2013 itu mengakibatkan 12 anggota pasukan keselamatan negara selain 56 anggota kumpulan pengganas dan enam orang awam terbunuh.

Kelapan-lapan individu itu menuntut sebanyak RM62 bilion atau 16 peratus daripada belanjawan tahunan Malaysia.

Jikalau tuntutan terhadap kerajaan Malaysia itu berjaya, maka kelapan-lapan individu yang mengaku mereka sebagai “waris Sultan Sulu” bakal menjadi “amat kaya.”

Sulu
Sultan Jamalul Kiram III yang melancarkan pencerobohan terhadap Sabah pada 2013.

 

“Ia akan menjadikan kelapan-lapan penuntut itu menjadi individu yang amat kaya, sehingga memudaratkan rakyat Malaysia, dengan tuntutan itu adalah bersamaan dengan 16 peratus daripada belanjawan tahunan negara.”

“Oleh itu, kerajaan Malaysia komited untuk melawan tuntutan itu, untuk mengelak apa sahaja bentuk pampasan daripada diterima oleh mereka,” menurut laman web itu.

Mengenai persoalan tentang pihak manakah yang membiayai kelapan-lapan individu itu, laman web itu menyatakan bahawa tindakan perundangan “waris Sultan Sulu” terhadap kerajaan Malaysia itu itu dibiayai oleh syarikat dikenali dengan nama “Therium.”

“Kelapan-lapan individu terbabit dibiayai oleh perniagaan antarabangsa yang memiliki sumber kewangan yang besar dan akan mendapat keuntungan sekiranya kes dimana mereka melabur itu berjaya.

Therium
Kumpulan yang membiaya aktiviti perundangan individu mengaku sebagai “waris Sultan Sulu”.

 

“Ini termasuklah membayar peguam-peguam di Manila dan London yang mewakili individu-individu berkenaan. Ia masih tidak pasti sama ada Therium,telah melakukan usaha yang wajar untuk mengenalpasti identiti sebenar mereka yang mendakwa sebagai “waris Sultan Sulu” dan hubungan mereka terhadap Kesultanan Sulu,” kata laman web itu.

Syarikat Therium itu dilaporkan telah membelanjakan sejumlah US$10 juta (RM40 juta) terhadap usaha tuntutan terhadap kerajaan Malaysia itu dan berharap untuk “mengekstrak” jutaan dollar daripada kerajaan Malaysia.

Menurut Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laman web tersebut diwujudkan bagi membolehkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengetahui fakta sebenar kes tersebut. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...