Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal China Ronda 316 Hari Di Beting Patinggi Ali Tahun Lepas

“Bilangan hari di mana kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali berhampiran dengan operasi minyak dan gas penting Malaysia telah meningkat daripada 279 hari pada tahun 2020 kepada 316 hari pada tahun lepas,” menurut badan penyelidik yang berpengkalan di Washington, Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI).

0 1,698

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal-kapal pengawal pantai China didapati melakukan rondaan di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) yang terletak di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia hampir sepanjang masa pada tahun lepas, kata sebuah badan penyelidikan yang memantau keadaan di Laut China Selatan. 

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpengkalan di Washington, Amerika Syarikat, kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali sebanyak 316 hari pada tahun lepas, yang merupakan suatu peningkatan daripada 279 hari pada tahun 2020.

“Bilangan hari di mana kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali berhampiran dengan operasi minyak dan gas penting Malaysia telah meningkat daripada 279 hari pada 2020 kepada 316 hari pada tahun lepas,” menurut badan penyelidik itu.

Luconia Shoals

Beting Patinggi Ali hanya terletak  84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan secara jelas berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia mengikut takrifan United Nations Convention on the Law of The Sea 1982 (UNCLOS).

Menurut AMTI, bilangan hari di mana kapal-kapal peronda pantai China meronda di Beting Patinggi Ali adalah kedua tertinggi di antara kelima-lima ciri maritim di Laut China Selatan.

Lima ciri maritim yang dipantau oleh AMTI itu adalah Second Thomas Shoal, Beting Patinggi Ali,Scarborough Shoal, Vanguard Bank dan Thitu Island.

Hasil kajian oleh badan penyelidikan itu menunjukkan Beting Patinggi Ali hanya berada dibelakang Scarborough Shoal yang menyaksikan bilangan hari rondaan kapal-kapal China meronda pada tahun lepas meningkat kepada 344 hari daripada 287 hari pada 2020.

Sementara itu, bilangan hari kapal-kapal pengawal pantai China meronda di Vanguard Bank, yang merupakan lokasi utama minyak dan gas Vietnam telah meningkat sekali ganda daripada 142 hari pada 2020 kepada 310 hari pada tahun lepas.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) yang terletak hanya 84 Batu Nautika daripada pantai Sarawak.

 

Bagi Second Thomas Shoal pula, rondaan kapal-kapal pengawal pantai China telah meningkat daripada 142 hari pada 2020 kepada 310 hari pada 2022, manakala bagi Pulau Thitu milik Filipina, rondaan kapal-kapal China telah meningkat kepada 208 hari pada tahun lepas, menurut AMTI.

Analisis oleh badan penyelidik antarabangsa mendapati rondaan oleh kapal-kapal pengawal pantai milik China pada tahun lepas di beberapa ciri maritim di Laut China Selatan termasuk yang jelas terletak di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia,  adalah lebih meluas dan agresif.

Ia berkata kapal-kapal pengawal pantai China didapati melakukan rondaan di beberapa ciri maritim di Laut China Selatan termasuk Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) hampir setiap hari sepanjang tahun lepas.

“Tahun lepas telah menunjukkan peningkatan secara menyeluruh rondaan kapal-kapal pengawal pantai China di ciri-ciri maritim Laut China Selatan,” menurut AMTI.

Kapal-kapal pengawal pantai China bersama-sama bot militia maritim miliknya kekal meronda hampir setiap hari di beberapa lokasi Laut China Selatan pada tahun lepas, sekaligus membuktikan kesungguhan Beijing untuk menguatkuasakan kawalan terhadap kawasan maritim yang termasuk dalam “Nine Dash Line”.

Kasawari
Kapal pengawal pantai China, CCG 5901 atau lebih dikenali dengan panggilan “The Monster” berada hampir dengan Projek Pembangunan Gas Kasawari yang diusahakan oleh Petronas di perairan ZEE Malaysia. (kredit AMTI)

 

Memandangkan data-data yang diperolehi oleh AMTI itu adalah daripada sistem AIS (Automatic Identification System) kapal-kapal yang tidak lengkap, terdapat juga berkemungkinan bilangan hari kapal-kapal pengawal pantai China meronda di Laut China Selatan itu adalah lebih tinggi daripada laporannya.

Terdapat kapal-kapal pengawal pantai China tidak dapat dipantau menerusi platform AIS — samada kerana transceiver AIS itu ditutup atau tidak dapat dikesan oleh satelit.

Monster
“The Monster”, CCG 5901 yang beratnya mencecah 12,000 tan, merupakan kapal pengawal pantai terbesar dunia.

 

Sementara itu, seorang penyelidik dengan sebuah universiti ternama di Amerika Syarikat, Kolonel (B) Raymond M. Powell memberitahu Defence Security Asia bahawa walaupun dakwaan Nine Dash Line oleh China itu telah ditolak oleh Tribunal Arbitral Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2016, namun Beijing meneruskan kempen agresifnya untuk menguasai dan mengawal perairan ZEE milik negara-negara jirannya.

Di dalam jangka masa panjang, China menerusi penonjolan kuasa yang berterusan akan melemahkan tentangan negara-negara terbabit dan memaksa mereka melupuskan hak-hak maritim mereka yang sah itu, kata beliau yang juga merupakan bekas pegawai kanan angkatan tentera Amerika Syarikat.

Powell merupakan ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...