Iran Tempatkan Peluru-Peluru Berpandu di Tiga Pulau Strategik di Selat Hormuz
Pasukan tentera elit Iran itu telah mengerahkan peluru berpandu itu di Pulau Greater Tunb, Lesser Tunb dan Abu Musa, yang terletak berhampiran Selat Hormuz – laluan perkapalan penting yang menjadi nadi perdagangan global terutamanya kapal-kapal membawa minyak kepada pasaran dunia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran telah menempatkan peluru-peluru berpandu di tiga pulau strategik di Teluk dikuasai oleh Tehran dan melaungkan bahawa ia berkemampuan untuk menyerang “pangkalan, kapal dan aset musuh” berhampiran.
Pasukan tentera elit Iran itu telah mengerahkan peluru berpandu itu di Pulau Greater Tunb, Lesser Tunb dan Abu Musa, yang terletak berhampiran Selat Hormuz – laluan perkapalan penting yang menjadi nadi perdagangan global terutamanya kapal-kapal membawa minyak kepada pasaran dunia.
Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran itu turut mengadakan latihan ketenteraan di kawasan berkenaan.
“Kami mempunyai strategi untuk melengkapkan pulau-pulau ini dengan sistem persenjataan (peluru berpandu) dan menjadikannya beroperasi sepenuhnya,” kata Komander Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, Laksamana Muda Alireza Tangsiri, yang mengetuai cabang ketenteraan ideologi negara itu.
“Kami berkeupayaan untuk menyerang pangkalan musuh, kapal serta aset mereka di rantau ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sistem peluru berpandu yang ditempatkan di ketiga-tiga pulau strategik itu mampu “memusnahkan sepenuhnya sebarang sasaran dalam lingkungan 600 kilometer (370 batu).”
Pihak Iran bagaimanapun tidak mendedahkan jenis sistem peluru berpandu yang ditempatkan di pulau-pulau strategik itu.

Bagaimanapun terdapat laporan mengatakan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran telah menempatkan sistem peluru berpandu pertahanan udara yang canggih, dipercayai 15th Khordad, di ketiga-tiga pulau yang menjadi pertikaian di Teluk itu.
Sistem 15th Khordad mempunyai keupayaan mengesan dan memintas pelbagai ancaman udara seperti pesawat pejuang, dron dan peluru berpandu jelajah, dengan jarak pengesanan sehingga 150 kilometer dan jarak serangan sehingga 200 kilometer apabila dilengkapi dengan peluru berpandu Sayyad-3.
Baru-baru ini, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan bahawa sebarang ancaman dari Amerika Syarikat terhadap Iran “tidak akan membawa sebarang hasil,” sambil memberi amaran bahawa “jika mereka melakukan sesuatu yang memudaratkan Iran, mereka (Amerika Syarikat) akan menerima tamparan hebat sebagai balasan.”
Pihak Iran bagaimanapun tidak mendedahkan jenis sistem peluru berpandu yang ditempatkan di pulau-pulau strategik itu.
Iran menguasai ketiga-tiga pulau di Teluk itu sejak tahun 1971, namun begitu, terdapat pertikaian berterusan antara Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhubung pemilikan pulau-pulau berkenaan.
Greater Tunb, Lesser Tunb dan Abu Musa ialah tiga buah pulau kecil yang terletak di bahagian selatan Teluk Parsi, berhampiran dengan Selat Hormuz — salah satu laluan perkapalan paling strategik di dunia kerana sebahagian besar bekalan minyak global melalui kawasan ini.
Pulau Greater Tunb dan Lesser Tunb ini terletak berdekatan dengan wilayah Ras Al Khaimah di UAE), di mana secara geografi ia adalah pulau-pulau kecil, namun sangat strategik dari segi ketenteraan dan geopolitik.
Pulau-pulau ini dikawal oleh Iran sejak 30 November 1971, hanya beberapa hari sebelum penubuhan rasmi UAE pada 2 Disember tahun yang sama.
UAE, khususnya Emiriah Ras Al Khaimah, telah lama menuntut semula hak kedaulatan ke atas pulau-pulau ini.
Pulau Abu Musa pula terletak lebih dekat dengan pantai Iran berbanding dua pulau Tunb, tetapi juga dekat dengan pantai Emiriah Sharjah (salah satu emiriah dalam UAE).
Pada tahun 1971, satu perjanjian sementara telah dibuat antara Iran dan Sharjah, yang memberikan kehadiran bersama di pulau itu.
Namun, sejak itu Iran telah memperkukuh kehadiran tenteranya dan mengendalikan Abu Musa secara unilateral, sesuatu yang ditentang oleh UAE.
