Tentera Iran Mula Terima Kereta Kebal Soleiman-402, Dinaiktaraf daripada M-60 Patton Buatan Amerika
Kereta kebal Soleiman-402 dijangka memberikan kelebihan strategik kepada Angkatan Tentera Iran melalui peningkatan dari segi persenjataan, perlindungan perisai dan sistem kawalan tembakan yang lebih canggih.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Iran telah mula menerima kereta kebal utama (MBT) Soleiman-402 yang dibangunkan hasil daripada program pemodenan menyeluruh terhadap kereta-kereta kebal M60 Patton yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepadanya pada tahun-tahun 1970-an.
Pemodenan ini merupakan sebahagian daripada usaha Iran untuk meningkatkan keupayaan ketenteraannya dengan mengadaptasi teknologi moden ke dalam aset sedia ada.
Kereta kebal Soleiman-402 dijangka memberikan kelebihan strategik kepada Angkatan Tentera Iran melalui peningkatan dari segi persenjataan, perlindungan perisai dan sistem kawalan tembakan yang lebih canggih.
Langkah ini juga mencerminkan komitmen Iran dalam mengukuhkan keupayaan pertahanan tempatan, terutama di tengah-tengah ketegangan geopolitik serantau.
Kereta kebal utama (MBT) M60, yang pada asalnya dibangunkan oleh Amerika Syarikat pada tahun 1950-an dan mula berkhidmat pada tahun 1960, telah menjadi aset penting dalam kekuatan darat Iran selama beberapa dekad.
Iran mula memperoleh sejumlah besar kereta kebal M60 pada tahun 1970-an sebagai sebahagian daripada program pemodenan ketenteraan di bawah pemerintahan Shah Mohammad Reza Pahlavi.

Pembelian ini dilakukan menerusi kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat sebelum berlakunya Revolusi Islam 1979.
Bagaimanapun, selepas revolusi tersebut, bekalan ketenteraan daripada Amerika Syarikat telah dihentikan.
Namun, M60 terus memainkan peranan penting dalam pasukan perisai Angkatan Darat Iran.
Sejak itu, Iran telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengekalkan serta menaik taraf kereta kebal ini bagi memastikan ia kekal beroperasi dan berkesan dalam pertempuran selama beberapa dekad.
Angkatan Tentera Iran dipercayai masih memiliki kira-kira 150 buah kereta kebal M60 buatan Amerika Syarikat, yang diwarisinya daripada era sebelum kebangkitan Revolusi Islam pada 1979.
Jumlah 150 buah kereta kebal M60 itu telah jauh berkurangan daripada kira-kira 460 yang dimiliknya pada era pra-Revolusi Islam 1979.
Untuk memastikan kereta-kereta kebal M60 yang diwarisinya daripada era sebelum 1979 itu terus berkeupayaan menangani cabaran peperangan zaman kini, Angkatan Tentera Iran telah menaiktarafnya dan melengkapkannya dengan kelengkapan-kelengkapan moden serta dinamakan “Soleiman-402”.

Apa yang pasti, kereta-kereta kebal M60 milik Iran yang mula dibangunkan pada akhir 1950-an itu adalah amat berbeza daripada segi rekabentuk dan juga kelengkapannya.
Menurut pemerhati, antara yang menarik perhatian adalah turret kereta kebal M60 milik Iran yang telah dinaiktaraf dan mengalami perubahan mendadak, berkemungkinan telah ditukar sepenuhnya dengan turret yang baru.
Walaupun sukar untuk mengenalpasti secara spesifik perubahan-perubahan dilakukannya, namun apabila dibandingkan dengan turret milik kereta kebal M60 yang asal, apa yang dilakukan oleh pakar-pakar Iran itu adalah amat berlainan.
Selain itu turret kereta kebal M60 Iran yang dinaiktaraf itu turut dilengkapi dengan modul kombat moden dengan Remote Control Weapon System (RCWS) bersenjatakan mesingan yang menunjukkan ia mengikuti rekabentuk kereta kebal moden.
Selain itu, terdapat juga kemungkinan bahawa kereta kebal M60 yang telah dinaiktaraf oleh Iran itu kini memiliki meriam yang berkaliber lebih besar, berbanding meriam 105mm yang melengkapi kereta kebal M60 yang asal.
Spekulasi mengatakan bahawa Iran berkemungkinan telah melengkapkan kereta kebal M60 yang dinaiktarafnya dengan meriam berkaliber 125mm, yang merupakan kaliber meriam yang standard bagi kereta-kereta kebal buatan Russia.
