Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Arab Saudi, UAE Bakal Miliki Kereta Kebal Utama K2ME Dibangunkan Hyundai Rotem ???

Baru-baru ini semasa pameran IDEX 2025, syarikat terbabit telah memperkenalkan kereta kebal utama K2ME (Middle East) yang merupakan varian kepada kereta kebal K2 Black Panther,  tetapi telah diubahsuai untuk memenuhi keperluan spesifik negara-negara pengguna di rantau Timur Tengah itu dalam berhadapan dengan konflik di padang pasir.

0 4,794
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Korea Selatan telah muncul sebagai pemain utama sektor pertahanan di Timur Tengah dengan beberapa sistem pertahanannya daripada pesawat pejuang sehingga kepada sistem pertahanan udara menjadi pilihan negara-negara di rantau itu.
“Dominasi” syarikat pertahanan Korea Selatan di rantau Timur Tengah bakal diperkukuhkan lagi menerusi varian kepada kereta kebal utama K2 Black Panther yang dibangunkan oleh syarikat, Hyundai Rotem.
Baru-baru ini semasa pameran IDEX 2025, syarikat terbabit telah memperkenalkan kereta kebal utama K2ME (Middle East) yang merupakan varian kepada kereta kebal K2 Black Panther,  tetapi telah diubahsuai untuk memenuhi keperluan spesifik negara-negara pengguna di rantau Timur Tengah itu dalam berhadapan dengan konflik di padang pasir.
Malah sudah terdapat laporan menyatakan bahawa kereta kebal K2ME itu telah pun menarik minat dua buah negara Timur Tengah, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sememangnya sedang mencari kereta kebal baru sama ada untuk menggantikan kereta kebal yang sudah usang miliknya atau bagi memperkuatkan lagi armada armor mereka.
Dengan Arab Saudi dan UAE berusaha menggantikan armada kereta kebal mereka yang sudah usang, Korea Selatan melihat peluang besar untuk membekalkan kereta kebal generasi baru seperti kereta kebal K2ME dibangunkan oleh Hyundai Rotem itu.
Penganalisis menganggarkan pasaran perolehan kereta kebal di Arab Saudi dan UAE bernilai sekitar US$ 12.42 billion (RM54.6 billion), sekaligus menjadikannya sasaran utama bagi eksport pertahanan Korea Selatan.
Antara yang paling menarik kepada kereta kebal K2ME buatan Hyundai Rotem itu adalah ia dilengkapi dengan enjin dan sistem transmisi yang dibangunkan sepenuhnya oleh Korea Selatan, sekaligus membebaskan Korea Selatan dan syarikat terbabit daripada sebarang sekatan eksport oleh negara-negara tertentu.
K2ME
K2ME
K2ME
K2ME
Tanpa sekatan eksport terhadap enjin dan sistem transmisi itu, ia bermakna Korea Selatan bisa mengeksport kereta kebal itu kepada mana-mana negara di Timur Tengah tanpa bimbang.
Perubahan kepada melengkapkan kereta kebal K2ME dengan enjin dan transmisi sepenuhnya buatan Korea Selatan dikenali sebagai (Mobility and Transmission Optimisation) atau MTO merupakan strategi kritikal oleh industri pertahanan negara Asia Timur itu.
Perubahan kepada enjin dan sistem transmisi buatan tempatan MTO itu diambil selepas kereta kebal utama K2 Black Panther berhadapan dengan sekatan eksport kerana menggunakan enjin MTU dan sistem transmisi RENK buatan syarikat Jerman.
Penggunaan enjin dan sistem transmisi buatan syarikat-syarikat Jerman bermakna Hyundai Rotem memerlukan kelulusan eksport daripada kerajaan Jerman terlebih dahulu sebelum ia boleh menjual kereta kebal itu ke mana-mana negara.
Tanpa kebenaran daripada kerajaan Jerman, Hyundai Rotem tidak boleh menjual kereta kebal K2 Black Panther ke mana-mana negara yang berminat memilikinya, kecuali ia boleh menggantikan enjin dan sistem transmisi kereta kebal itu dengan buatan tempatan sebagaimana yang dilakukannya ketika ini menerusi kereta kebal K2ME.
Negara-negara Barat kerap kali menggunakan kelulusan eksport untuk menghalang penjualan senjata kepada negara-negara tertentu.
Arab Saudi telah pun berhadapan dengan masalah ini apabila permohonannya untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dihalang oleh Jerman yang enggan memberikan kelulusannya kerana tidak berpuashati dengan rekod hak asasi manusia Arab Saudi serta insiden pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Selain itu, usaha Turkiye untuk menjual helikopter penyerang ATAK kepada Pakistan juga terpaksa dibatalkan selepas Amerika Syarikat yang membekalkan enjin kepada helikopter dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) itu enggan memberikan kelulusan eksportnya.
Kereta kebal utama K2ME dilengkapi dengan meriam smoothbore 120mm manakala senjata sekundernya termasuk mesingan Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm pada penutup komander dan mesingan 7.62mm.
Black Panther
K2 Black Panther
K2ME direka dengan sistem penyejukan dan penapisan yang dipertingkatkan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang pasir bersuhu tinggi, memastikan prestasi yang diyakini.
Ia dikendalikan oleh tiga orang krew: seorang pemandu di bahagian hadapan serta seorang komander dan penembak di turet.
Kereta kebal ini mempunyai berat kira-kira 60 tan dengan ukuran 10.9 meter panjang, 3.6 meter lebar, dan 2.5 meter tinggi.
Ia dilengkapi dengan enjin diesel 1,500 kuasa kuda dari HD Hyundai Infracore, dipadankan dengan transmisi automatik sepenuhnya.
K2ME mampu mencapai kelajuan sehingga 68 km/j di jalan raya dan 50 km/j di jalan tidak berturap.
Ia turut dilengkapi Sistem Suspensi Dalam Lengan (hidropneumatik) dan Sistem Ketegangan Rantai Dinamik, yang meningkatkan mobiliti di kawasan berbukit dan mencabar.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.