Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Dedah Peluru Berpandu Kruis Terbarunya “Paveh”

Komander Kor Pengawal Republikan Iran berkata bahawa peluru berpandu kruis "Paveh" dan peluru-peluru berpandu milik Iran yang lain berkemampuan membedil mana-mana kedudukan tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah dengan amat tepat. 

0 1,735

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Iran telah mendedahkan buat pertama kalinya kepada umum peluru berpandu kruis dinamakan “Paveh”, sebuah lagi sistem persenjataan yang dibangunkan secara sendiri oleh industri pertahanan negara itu untuk mendepani “musuh-musuhnya” daripada Israel kepada Amerika Syarikat. 

Menurut salah seorang komander Kor Pengawal Republikan Iran Amirali Hajizadeg berkata peluru berpandu kruis itu berupaya membedil sasaran sejauh 1, 651km.

“Kami telah berjaya membangunkan peluru berpandu dinamakan ‘Paveh’ yang kini menjadi sebahagian daripada sistem persenjataan yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Iran,” kata beliau baru-baru ini.

Qaim-1

Beliau juga berkata visual peluru berpandu kruis “Paveh” telah didedahkan kepada awam baru-baru ini, dimana menunjukkan ia telah berjaya memusnahkan sasaran.

Kor Pengawal Republikan Iran sebelum mendakwa ia memiliki beberapa jenis peluru berpandu yang mempunyai jarak sasaran daripada sejauh 1,000km sehingga 2,000km untuk membedil sasaran “musuhnya” termasuk Israel.

Beliau juga berkata bahawa peluru berpandu kruis “Paveh” dan peluru-peluru berpandu milik Iran yang lain berkemampuan membedil mana-mana kedudukan tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah dengan amat tepat. 

Bukan sahaja tentera Iran telah berjaya membangunkan pelbagai jenis peluru berpandu, tetapi ia juga telah mencapai kejayaan dalam dalam teknologi hypersonik.

Beliau mendakwa peluru berpandu hypersonik memiliki kelajuan maksimum sehingga mencecah 12 Mach.

Menurutnya, Kor Pengawal Republikan Iran telah berjaya mengurangkan berat peluru-peluru berpandu kepada satu perempat manakala meningkatkan keberkesanannya kepala peledaknya sebanyak 10 kali ganda.

Selain itu katanya, proses penyediaan peluru berpandu sebelum pelancaran juga telah berjaya dikurangkan kepada hanya satu per-enam sahaja.

Pada awal bulan ini Iran telah mendedahkan pangkalan udara bawah tanahnya yang pertama kali dibina untuk melancarkan sebarang serangan balas terhadap Israel atau mana-mana pihak. 

“Apa-apa serangan terhadap Iran daripada musuhnya termasuk Israel, akan menerima respons daripada banyak pangkalan udara tentera udara kami termasuk ‘Eagle 44’ ,” kata Ketua Staf Angkatan Tentera Iran Jeneral Mohamed Bagheri kepada agensi berita negara itu, IRNA.

IRNA menyatakan bahawa “Eagle 44” merupakan antara kemudahan tentera paling penting Iran dan bakal digunakan untuk menempatkan pesawat pejuang yang dilengkapkan dengan peluru berpandu kruis jarak jauh.–DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...