Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kumpulan Sulu Hanya Mahukan Wang – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu turut mempersoalkan mengapa Kumpulan Sulu itu membuat tuntutan mereka melalui prosiding arbitrasi dan bukannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). 

0 1,171

(DEFENCE SECURITY ASIA) –Datuk Seri Azalina Othman Said berkata  tindakan Kumpulan Sulu yang memfailkan tuntutan melalui prosiding arbitrasi, adalah untuk mendapatkan wang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu turut mempersoalkan mengapa Kumpulan Sulu itu membuat tuntutan mereka melalui prosiding arbitrasi dan bukannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). 

“Saya rasa locus itu perlu dipersoalkan, maknanya dia menggunakan strategi guaman dia nak buat duit,” katanya selepas mengadakan Sesi Taklimat Mengenai Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu di Bangunan Parlimen, hari ini.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara tersebut kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan, membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Sulu
Azalina Othman Said

 

Keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg. 

Malaysia kemudiannya telah menggunakan semua remedi undang-undang yang ada, untuk membatalkan dua anugerah yang diberi oleh Stampa.

Azalina turut menzahirkan harapan untuk mendapat sokongan padu semua Ahli Dewan Rakyat tanpa mengira aliran politik, dalam menegakkan kedaulatan negara Malaysia dalam isu tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Sulu berkenaan.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan, serta tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia, pada setiap masa.

“Kita akan terus mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan Sulu dengan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada,” katanya.

Dalam pada itu Azalina berkata kumpulan berkenaan dikhuatiri akan cuba menjadikan aset lain negara yang bersifat mudah terdedah, sebagai sasaran tuntutan selepas ini.

PETRONAS

“Mana-mana (syarikat) boleh menjadi sasaran. Kita perlu sangat-sangat peka tentang (perkara) ini,” katanya.

Sehubungan itu katanya kerajaan sentiasa serius dan tidak berdiam diri dalam memperjuangkan dan menjaga kedaulatan serta aset negara, daripada cubaan dirampas oleh kumpulan berkenaan.

Terdahulu, taklimat yang dihadiri lebih 50 Ahli Dewan Rakyat itu, bertujuan memberi latar belakang kepada isu tuntutan ini, berkenaan perkembangan berkaitan tindakan undang-undang di mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda serta Pelan Komunikasi Strategik tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, taklimat ini juga bertujuan mendapatkan pandangan daripada Ahli Dewan Rakyat, serta menjawab sebarang persoalan wakil kerajaan serta ahli Sekretariat Khas, bagi menangani isu tuntutan Sulu berkenaan. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

Comments
Loading...