Indonesia Timbang Kemungkinan Perolehan Kapal Pengangkut Pesawat ??
Selain kapal pengangkut pesawat yang sedang dikaji pemilikannya oleh TNI-AL, beliau juga berkata bahawa pihaknya sedang meninjau kemungkinan pemilikan beberapa aset termasuk dua buah kapal friget daripada Itali.
(DEFENCE SECURITY ASIA) –Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) menyatakan bahawa ia sedang menimbangkan kemungkinan untuk memiliki kapal pengangkut pesawat untuk meningkatkan lagi kemampuan operasi ketenteraan bukan peperangannya (non-war operations).
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Staf TNI-AL Laksamana Muhammad Ali baru-baru ini.
“Nampaknya kita memerlukan kapal pengangkut pesawat untuk operasi ketenteraan bukan peperangan,” katanya dalam sidang media yang dipetik oleh agensi berita ANTARA sebelum menghadiri mesyuarat kepimpinan Tentera Laut di Markas Besar TNI-AL, Jakarta Timur baru-baru ini.
Selain kapal pengangkut pesawat yang sedang dikaji pemilikannya oleh TNI-AL, beliau juga berkata bahawa pihaknya sedang meninjau kemungkinan pemilikan beberapa aset termasuk dua buah kapal friget daripada Itali.
Selain itu pihaknya juga bakal menerima kapal serang laju peluru berpandu daripada Turkiye.
Mengenai pemberian kapal dua buah kapal peronda daripada kerajaan Jepun, Muhammad berkata TNI-AL bercadang menempatkan kedua-dua kapal itu di pangkalan laut di Balikpapan, Kalimantan Timur untuk meningkatkan pertahanan Ibu Kota Nusantara yang bersempadan dengan Balikpapan.

Memandangkan Ibu Kota Nusantara bakal menjadi ibu negara Indonesia pada masa hadapan, maka ia memerlukan lebih banyak aset ketenteraan untuk meningkatkan pertahanannya.
Sementara itu, Ketua Biro Informasi Pertahanan Kementerian Pertahanan Indonesia Frega Wenas sebagaimana dipetik oleh media tempatan menjelaskan bahawa rancangan pembelian kapal induk ini didorong oleh faktor geografi Indonesia.
Sebagai negara kepulauan yang kerap mengalami bencana alam katanya, kapal induk berperanan sebagai platform yang dapat mempercepatkan penghantaran bantuan dengan lebih berkesan.
Beliau menegaskan bahawa kapal induk yang dimaksudkan bukanlah kapal bersaiz besar dengan landasan untuk menerbangkan pesawat tempur.
Indonesia katanya tidak merancang kapal induk ini untuk tujuan projeksi kuasa (power projection) ke luar wilayah negara.
“Sebaliknya, kapal induk ini lebih kepada platform yang menyokong operasi short take-off and vertical landing (STOVL), seperti helikopter yang digunakan untuk mengangkut logistik semasa bencana. Segala aspek masih dalam kajian, dan salah satu opsyen yang dipertimbangkan adalah Landing Helicopter Dock (LHD),” kata Frega.
Kajian ini dijalankan bagi memastikan perolehan sistem persenjataan pada masa hadapan adalah selaras dengan keperluan pertahanan Indonesia, katanya.

Selain itu, beliau juga berkata perolehan sistem persenjataan itu perlu menyokong pelbagai operasi, sama ada dalam konteks persiapan Operasi Ketenteraan untuk Peperangan (OMP) mahupun Operasi Ketenteraan Selain Peperangan (OMSP).
Beliau menjelaskan bahawa setakat ini, belum ada keputusan rasmi mengenai pembelian kapal induk.
“Keputusan akhir mengenai perolehan sistem persenjataam sentiasa berpandukan pelbagai faktor, termasuk keutamaan strategik negara, ketersediaan bajet, serta kesiapan infrastruktur dan tenaga kerja bagi pengoperasiannya,” kata beliau.
Ketua Program Penyelidikan Keselamatan dan Pertahanan Asia Tenggara di International Institute for Strategic Studies (IISS) Evan Laksamana sebagaimana dipetik oleh akhbar Kompas pula berkata berpendapat bahawa sekiranya tujuan utama adalah untuk Operasi Ketenteraan Selain Peperangan (OMSP), seperti untuk menangani bencana alam, terdapat banyak platform lain yang lebih berkesan dan efisien.
Kapal pengangkut pesawat direka khusus untuk membawa pesawat tempur atau helikopter bagi tujuan projeksi kuasa di luar sempadan negara dan pengoperasiannya juga memerlukan penglibatan kapal selam dan kapal-kapal pengiring seperti friget untuk melindungi operasinya.
Beliau memberi peringatan supaya Indonesia tidak mengulangi pengalaman Thailand, yang memperolehi sebuah kapal pengangkut pesawaat HTMS Chakri Naruebet tetapi akhirnya hanya digunakan untuk Operasi Ketenteraan Selain Peperangan (OMSP) dan terbengkalai kerana kekurangan sumber serta ketiadaan keperluan untuk menggunakannya secara optimum.

Pada 1992, Thailand memulakan usaha membina sebuah kapal pengangkut pesawat yang dianggarkan bernilai US$285 juta (RM1.14 bilion) dinamakan “HTMS Chakri Naruebet” (CVH-911) yang bermaksud Kedaulatan Dinasti Chakri.
Kerja-kerja pembinaan HTMS Chakri Naruebet mengambil masa selama lima dan siap sepenuhnya pada 1997 bagi membolehkan Thailand muncul sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang memiliki kapal pengangkut pesawat di rantau ini.
Bagaimanapun, malang menimpa negara Asia Tenggara itu kerana sebaik sahaja ia selesai membina kapal pengangkut pesawatnya itu pada 1997, Thailand sebagaimana negara-negara Asia yang lain telah dilanda masalah kewangan dan ekonomi yang serius dalam apa yang dipanggil “Krisis Kewangan Asia” (Asia Financial Crises).
Disebabkan masalah kewangan dan ekonomi serius dihadapi oleh kerajaan Thailand akibat krisis kewangan serantau itu, maka kapal “HTMS Chakri Naruebet” yang sepatutnya menjadi simbol kebanggaan negara dan tentera laut negara itu lebih banyak menghabiskan masanya di Pangkalan Laut Sattahip daripada belayar di laut.
Dengan berat mencecah 11,400 tan (full load), panjang keseluruhan kapal kebanggaan tentera laut Thailand adalah 182 meter.
— DEFENCE SECURITY ASIA