Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Keseimbangan Kuasa Udara Asia Tenggara Bakal Berubah. Kita?

Dengan apa yang bakal berlaku di Singapura, Thailand dan Indonesia menerusi perolehan-perolehan aset udara terkini dan moden bernilai berbilion dollar, keseimbangan kuasa udara di Asia Tenggara bakal berubah dalam tempoh beberapa tahun ini. Apa yang tidak berubah, hanyalah kita.

0 4,875

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keseimbangan kuasa udara di Asia Tenggara di dalam beberapa tahun akan datang ini “tidak lagi akan seimbang”  dengan beberapa negara serantau (bakal) berada jauh ke depan dalam kekuatan tentera udara mereka manakala “beberapa negara lain” kekal di belakang.

Pada ketika ini keseimbangan kuasa udara di Asia Tenggara masih lagi agak seimbang kecuali Singapura, yang sememangya dua tiga langkah berada di hadapan negara-negara lain di dalam bentuk “qualitative military edge.”

Sebagaimana Israel, Washington menjadikan dasar untuk membantu sekutu paling rapatnya di sesuatu rantau itu mengekalkan kelebihan ketenteraan (military edge) mereka berbanding negara-negara jiran yang lain. (yang tidak bersekutu dengannya)

Sebab itu, Amerika Syarikat tidak menjual pesawat pejuang tercanggihnya, F-35 kepada semua negara, tetapi ia memilih negara-negara sekutu rapatnya sahaja kerana ia adalah antara cara untuk mengekalkan kelebihan ketenteraannya berbanding negara lain yang bukan bersekutunya dengannya.

Singapura dijangka memperolehi pesawat F-35 pertamanya dalam tahun 2026.

F-35
Singapura bakal mengoperasi 12 buah F-35B (Short Take-Off and Vertical Landing) bermula pada tahun 2026.

 

Bagi Singapura,  Israel dan Amerika Syarikat memainkan peranan yang penting dalam membantu Singapura mengekalkan “qualitative military edge” negara pulau itu berbanding negara-negara jirannya di Nusantara.

Selain itu, ia turut dibantu dengan kemampuan kewangan yang ampuh Singapura serta komitmen kerajaan mereka terhadap pembangunan dan pemodenan angkatan tentera.

Di dalam beberapa tahun ke depan ini, beberapa negara  Asia Tenggara yang berkongsi sempadan dengan Malaysia akan cuba menyeimbangi keseimbangan kuasa udara di rantau menerusi beberapa perolehan aset-aset udara.

Beberapa negara itu tidak termasuk Malaysia kerana kita masih lagi kekal dengan lapan buah F/A-18D Hornet dan 18 buah Sukhoi Su-30MKM serta pesawat-pesawat Hawk (yang bakal dibersarakan).

Adakah perolehan 18 buah pesawat Fighter Lead In Trainer dan Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) akan membantu kita mengimbangi keseimbangan kuasa udara di Asia Tenggara yang jurangnya semakin jauh meninggalkan kita?

Sudah tentu tidak.

Hornet
Pesawat Hawk 208 dengan F/A-18D Hornet TUDM dalam satu latihan dengan pesawat B-52 Amerika Syarikat.

 

Selagi tiada perolehan Multi Role Combat Aircraft (MRCA) di pihak kita, jurang antara kita dengan negara-negara jiran terutamanya Indonesia dan Singapura kekal jauh di dalam beberapa tahun akan datang ini.

Penggantian pesawat pejuang F/A-18D dan Su-30MKM akan hanya berlaku pada tahun 2035 dan 2040. Kena tunggu ldi antara 15 hingga 20 tahun lagi untuk melihat pesawat MRCA baru TUDM.

Apa yang boleh diharapkan kita dalam tempoh beberapa tahun ini adalah perolehan pesawat pejuang terpakai (second hand) F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait, itupun sekiranya Kuwait bersetuju untuk menjualnya kepada kita.

Malah, jiran utara kita, Thailand juga sudah bergerak untuk “meninggalkan” kita dalam aspek kuasa udara.

Krueger
Pesawat Sukhoi Su-30MKM (TUDM)

 

Tentera Udara Singapura dengan lebih 40 buah pesawat pejuang F-15SG, 60 buah F-16 serta 12 buah F-35B (short take-off and vertical landing)  dan pesawat-pesawat sokong lain sememangnya sukar untuk ditandingi daripada segi keseimbangan kuasa udara.

Ia akan mengambil masa berdekad dan puluhan billion dollar untuk bersaing dengan Singapura dan mengekalkan keseimbangan kuasa udara dengan negara pulau yang kerap kali digelar termasuk oleh kita sebagai “The Little Red Dot.”

Bagi Indonesia pula, dalam beberapa hari ini, ia juga sudah memulakan langkah untuk mengimbangkan diri dalam aspek kekuasaan udara di Asia Tenggara yang selama ini dikuasai oleh Singapura.

Perolehan 42 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis bernilai RM32 bilion dan kelulusan untuk memperolehi sehingga 36 buah pesawat F-15EX buatan syarikat Boeing (sekiranya perolehan direalisasikan) bernilai RM55 bilion sudah semestinya merapatkan jurang serta mengimbangi kuasa udara di Asia Tenggara yang kini dipegang oleh Singapura.

Selain pesawat pejuang Rafale dan F-15EX (bakal dikenali sebagai F-15ID sekiranya penjualan itu menjadi), Tentera Udara Indonesia juga bakal dilengkapi dengan sejumlah pesawat generasi 4.5 buatan Korea Aerospace Industries (KAI) iaitu “KF-21 Boramae.”

KF-21
Salah sebuah pesawat prototaip KF-21 “Boramae” yang akan melakukan penerbangan sulung pada tahun ini.

 

Sebagai rakan kongsi pembangunan pesawat KF-21, Indonesia bakal menghasilkan dalam negara 48 buah pesawat terbabit di dalam negara.

Di dalam beberapa tahun akan datang ini, Tentera Udara Indonesia bakal dilengkapi dengan 42 buah Rafale, 48 buah KF-21 dan 36 buah F-15EX (sekiranya rundingan Jakarta dengan Washington berkenaan penjualan pesawat itu berjalan lancar).

Indonesia sememangnya mahu menjadi kuasa udara di Asia Tenggara dan ia sedang berusaha melakukannya.

Bagi Thailand pula,  Jemaah menteri negara itu telah meluluskan peruntukan sebanyak US$413.7 juta (RM2.8 bilion) untuk untuk memperolehi empat buah pesawat pejuang baru dipercayai F-35 Joint Strike Fighter.

F-15EX
Indonesia bakal membeli sehingga 36 buah F-15EX daripada Boeing, sekiranya rundingan dengan Amerika Syarikat berjaya.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Proses pembelian empat pesawat pejuang baru itu akan dilaksanakan pada tahun fiskal akan datang.

Secara keseluruhannya, Thailand merancang untuk memiliki sehingga lapan buah F-35 (sekiranya diluluskan oleh Amerika Syarikat) bagi menambah kekuatan udaranya yang kini bergantung kepada 12 buah Gripen C/D serta puluhan F-16.

Dengan apa yang bakal berlaku di Singapura, Thailand dan Indonesia dengan perolehan-perolehan aset udara terkini dan moden, keseimbangan kuasa udara di Asia Tenggara bakal berubah dalam tempoh beberapa tahun ini.

Apa yang tidak berubah, hanyalah kita. — DSA

 

Comments
Loading...