Filipina Gantung Operasi Pesawat Pejuang FA-50. Ruang Udara “Terlopong” Pada Pencerobohan Asing
Jurucakap Tentera Udara Filipina memberi jaminan kepada rakyat negara itu bahawa walaupun baki pesawat pejuang FA-50 telah digantung operasi, namun ia masih mampu memantau dan mempertahankan ruang udara negara itu dengan menggunakan pesawat lain, radar serta sistem pertahanan udara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ruang udara Filipina kini “terlopong” dan terdedah kepada pencerobohan pesawat asing selepas Manila bertindak menggantung operasi pesawat pejuang utamanya, FA-50 buatan Korea Selatan selepas sebuah daripada pesawat miliknya itu terhempas beberapa hari lalu.
Sebuah daripada pesawat pejuang FA-50 buatan Korea Aerospace Industries (KAI) milik Tentera Udara Filipina (PAF) itu terhempas berhampiran Gunung Kalatungan, Bukidnon dan mengorbankan dua daripada juruterbangnya.
Filipina menandatangani perjanjian pembelian 12 unit FA-50PH dengan KAI bernilai US$421 juta (RM1.9 bilion) pada Mac 2014, dengan penghantaran pertama dilakukan pada November 2015. Kesemua pesawat ini siap dihantar sepenuhnya pada 2017.
PAF berharap untuk menamatkan penggantungan operasi pesawat pejuang tersebut melalui siasatan yang pantas dan menyeluruh,” katanya.
“Kami memerlukan pesawat ini untuk beroperasi bagi mengawal perairan wilayah serta memberikan sokongan kepada operasi darat apabila diperlukan,” kata jurucakap PAF Kolonel Ma Consuelo Castillo sebagaimana dipetik oleh media tempatan.
Jurucakap Tentera Udara Filipina itu memberi jaminan kepada rakyat negara itu bahawa walaupun baki pesawat FA-50 telah digantung operasi, namun ia masih mampu memantau dan mempertahankan ruang udara negara dengan menggunakan pesawat lain, sistem radar, serta sistem pertahanan udara.

Beliau tidak menetapkan tempoh masa bagi siasatan tersebut tetapi menegaskan ia perlu dipercepatkan kerana peswat pejuang FA-50 itu juga digunakan untuk mengawal perairan wilayah negara, yang kini berhadapan dengan pencerobohan daripada negara asing terutamanya China.
“Kami perlu memastikan pesawat ini (FA-50) dapat beroperasi untuk mengawal perairan wilayah serta memberikan sokongan kepada operasi darat apabila diperlukan,” tambahnya.
Nahas pada hari Selasa itu merupakan insiden pertama yang direkodkan sejak kerajaan Filipina memperolehi 12 unit pesawat pejuang FA-50 daripada KAI.
Pesawat FA-50 Filipina sebelum ini telah menyertai rondaan udara bersama sekutu perjanjian mereka, Amerika Syarikat, di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, di mana ketegangan antara Filipina dan China semakin meningkat berhubung kawasan terumbu dan perairan yang dipertikaikan.
China menuntut hampir keseluruhan perairan strategik itu, yang menjadi laluan perdagangan bernilai trilion dolar setiap tahun, meskipun keputusan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa di The Hague menyatakan tuntutan Beijing tidak mempunyai asas perundangan.
Tentera Udara Filipina kini mengoperasikan 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50PH yang dibangunkan oleh KAI dari Korea Selatan.
Pesawat FA-50PH itu diperolehi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemampuan tempur PAF setelah kekurangan pesawat pejuang selama lebih satu dekad.

Pesawat FA-50PH digunakan oleh PAF dalam pelbagai operasi strategik dan taktikal bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
Antara peranan utamanya adalah untuk — Operasi Serangan Udara (Air-to-Ground Attack) — dengan pesawat pejuang FA-50PH berperanan penting dalam melaksanakan serangan udara ke atas sasaran di darat, termasuk misi pengeboman dan serangan tepat terhadap sasaran strategik.
Keberkesanan pesawat ini terbukti semasa Pertempuran Marawi pada tahun 2017, di mana ia digunakan secara aktif dalam operasi membanteras kumpulan militan pro-ISIS di selatan Filipina.
Selain itu, FA-50PH turut digunakan untuk misi-misi Pengawasan dan Peronda (Surveillance and Patrol) termasuk menjalankan rondaan udara di kawasan perairan maritim dan sempadan udara negara.
Ia berfungsi sebagai aset penting dalam memperkukuh kawalan keselamatan dan memastikan kedaulatan ruang udara Filipina terpelihara.
Sebagai pesawat tempur ringan, FA-50PH efektif dalam menangani ancaman bersenjata kecil serta operasi memerangi pemberontakan di darat. Peranannya amat bersesuaian dengan keperluan operasi ketenteraan Filipina dalam menghadapi ancaman dalaman.
Pada Januari lalu bahawa kerajaan Filipina menyatakan bahawa ia sedang mempertimbangkan untuk membeli 12 lagi pesawat FA-50.

Jabatan Pertahanan Filipina dilaporkan bercadang memperolehi 12 buah lagi pesawat pejuang ringan FA-50 buatan KAI, bagi membangunkan skuadron kedua pesawat pejuang itu di dalam tentera udara negara itu.
Manila menyatakan ia bercadang memperolehi 12 buah FA-50 daripada varian Block 20, varian yang sama diperolehi oleh Poland dan Malaysia.
Varian Block 20 adalah varian yang paling berkeupayaan dan berkemampuan berbanding varian-varian lain FA-50.
Cadangan perolehan 12 buah pesawat pejuang tambahan FA-50 itu adalah sebahagian daripada program pembangunan pertahanan Angkatan Tentera Filipina dinamakan Re-Horizon 3.
Jabatan Pertahanan Filipina berharap kontrak perolehan 12 buah FA-50 Block 20 itu dapat dimeterai pada separuh tahun 2025.
Selain itu, PAF juga sedang dalam proses untuk memperoleh pesawat pejuang pelbagai guna (Multi-Role Combat Aircraft, MRCA) bagi meningkatkan keupayaan pertahanan udara negara.
