Sapura,ASELSAN Kerjasama Dalam Bidang Teknologi Komunikasi dan Kawalan, Pemerintahan (C2)
Sapura dalam satu kenyataan media berkata, kerjasama penting itu dijangka memacu inovasi teknologi dan kerjasama ekonomi dalam sektor pertahanan dan keselamatan awam.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sapura Secured Technologies (Sapura) dan syarikat elektronik pertahanan berpangkalan di Turkiye, ASELSAN telah menjalin kerjasama strategik untuk memajukan keupayaan dalam bidang teknologi Komunikasi dan Kawalan & Pemerintahan (Command and Control — C2).
Sapura dalam satu kenyataan media berkata, kerjasama penting itu dijangka memacu inovasi teknologi dan kerjasama ekonomi dalam sektor pertahanan dan keselamatan awam.
Ia berkata, Pertukaran Nota untuk Kerjasama Strategik dalam Bidang Sistem Komunikasi itu menyokong kerjasama antara Sapura dan Aselsan, dan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan Profesor Dr Haluk Gorgun, Presiden Agensi Industri Pertahanan Turki (SSB).
“Pertukaran Kerajaan-ke-Kerajaan (G2G) itu disaksikan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana pada Selasa.
“Memorandum Perjanjian (MOA) Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B) untuk Kerjasama Strategik dalam Sistem Software Defined Radio (SDR) dan Teknologi Kawalan & Pemerintahan telah ditandatangani oleh Tan Sri Shahril Shamsuddin, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura dan Encik Ahmet Akyol, Ketua Pegawai Eksekutif ASELSAN pada Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),” menurut kenyataan itu lagi.
Sapura berkata, MOA tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan teknologi Software Defined Radio, yang merupakan pemacu utama untuk keupayaan C2 moden dalam infrastruktur pertahanan dan keselamatan awam Malaysia.

