Dalam Beberapa Tahun, Kumpulan Houthi Dilengkapi Pelbagai Peluru Berpandu Anti-Kapal
Di dalam tempoh beberapa tahun sahaja, kumpulan bersenjata Houthi di Yemen atau secara rasminya dikenali dengan nama “Ansar Allah” telah dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan anti-kapal terdiri daripada peluru berpandu kruis dan juga peluru berpandu ballistik.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam tempoh beberapa tahun sahaja, kumpulan bersenjata Houthi di Yemen atau secara rasminya dikenali dengan nama “Ansar Allah” telah dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan anti-kapal terdiri daripada peluru berpandu kruis dan juga peluru berpandu ballistik.
Pemerhati serantau mendakwa hampir keseluruhan peluru-peluru berpandu kruis dan ballistik yang dimiliki oleh kumpulan Houthi itu dibekalkan oleh Iran.
Apabila kumpulan Houthi menawan utara Yemen termasuk ibu negara, Sanaa pada akhir 2014 dan awal tahun 2015, ia memperolehi peluru berpandu anti-kapal lama keluaran Kesatuan Soviet iaitu P-21 dan P-22 (RS-SSC-3 Styx).
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu anti-kapal buatan China yang lebih baru seperti C-801, yang diperolehi mereka daripada stok tentera Yemen serta Rubezh B21/B22.
Dalam perbarisan-perbarisan tentera pada 2022 dan tahun lepas, kumpulan bersenjata Houthi telah menampilkan beberapa peluru berpandu anti-kapal termasuk “Quds” dan “Sayyad” yang dipercayai telah dibekalkan oleh Iran.
Kedua-dua, “Quds” dan “Sayyad” itu dikatakan memiliki kemampuan untuk membedil sasaran sejauh 800km.
Perbarisan-perbarisan tentera Houthi itu juga menampilkan beberapa jenis peluru berpandu ballistik anti-kapal yang menggunakan teknologi infrared dan juga imaging infrared seeker.
Antara yang dipamerkan untuk tuntutan awam oleh Houthi adalah “Asef” yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 450km dan merupakan peluru berpandu ballistik anti-kapal yang dijenamakan semula daripada peluru berpandu “Fateh 313”milik Iran.
Sementara itu ia juga menunjukkan “Tankil” yang juga dijenamakan semula daripada peluru berpandu anti-kapal “Zohayr” Kor Pengawal Revolusi Islam Iran yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 500km.
Kedua-dua peluru berpandu itu, “Asef” dan “Tankil” yang dijenamakan semula daripada peluru berpandu Iran adalah peluru berpandu paling berkuasa dengan bahan peledak dibawa masing-masing adalah 300kg.
Comments are closed.